Make your own free website on Tripod.com

Turki: Khazanah Islam

KALAU anda melihat peta dunia, jelas Turki merentangi dua benua bersejarah, Eropah dan Asia. Sebahagian Turki adalah Eropah dan sebahagian lagi dalam Asia. Hanya Selat Bosporus dan Darnanelles yang sempit itu sahaja memisahkan kedua tanah besar itu.

Dalam tahun 1987 sebagai Ahli Parlimen Kok Lanas saya dijemput oleh pemerintah Turki melawat negara tersebut tetapi saya menolaknya kerana masa lawatan bertembung dengan Perhimpunan Agung UMNO yang terpenting. Awal 1990-an saya dan isteri melawat Istanbul dan agak kesal kerana tidak terlintas pergi ke Turki sebuah negara Islam yang maju, indah dan amat bersejarah itu.

Turki ditubuhkan oleh Osman I (1258-1326), langsung empayarnya dipanggil ''Ottoman Empire.'' Setelah orang Islam mengalahkan Rom dan menukar nama ibu kota Roman Empire Constantinople menjadi Istanbul. Sulaiman, the Magnificent (1494-1566) telah meluaskan Empayar Ottoman ke Timur Tengah, Utara Afrika dan Eropah.

Empire Ottoman mulai pecah selepas kekalahan perang Balkans (1912-13) dan selepas kekalahan Peperangan Dunia Pertama, Ottoman Empire terus hancur. Maka, tinggalah Turki yang kini seluas, 300,948 batu persegi. Turki telah bersekutu dengan Jerman dalam Peperangan Dunia Pertama dan kalah teruk. Kamal Ataturk merampas kuasa dan mengisytiharkan Turki sebuah republik tahun 1923 lalu menggugurkan dakwaan kononnya Turki di bawah Ottomon adalah Khalifah Islam dan sumber inspirasi Islam.

Di bawah ''program modenisasikan Turki'' wanita dilarang bertudung, juga tarbus bagi lelaki dan Parti Islam diharamkan. Pada tahun 1928 tulisan jawi (Arab) diganti dengan tulisan tulisan rumi.

The League of Nations dalam tahun 30-an mengiktiraf Turki sebagai sebuah negara Eropah tetapi kini Turki dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah sebagai sebuah negara ''Islam dan Asia''. Apabila Ataturk kembali ke rahmatullah tahun 1938 Ismet Inonu menggantinya dan dalam Perang Dunia Kedua Turki berkecuali tetapi dekat peperangan tamat Turki isytihar perang dengan Jerman. Turki adalah pengasas PBB apabila badan dunia itu ditubuhkan selepas perang tahun 1945.

Apabila Perang Dingin bermula Turki memihak kepada Barat dan Amerika Syarikat (AS) menghantar askarnya berperang menentang komunis di Korea, jadi anggota NATO dan kini ingin memasuki Kesatuan Eropah. Tetapi baru-baru ini permohonan Turki diketepikan sekali gus memalukan Turki.

Berlatarbelakangkan yang ringkas itu saya harap anda dapat mengikuti perkembangan politik Turki dan perhubungan antarabangsanya dengan jelas sedikit. Kini di AS dan Eropah Turki menjadi satu subjek penting di kalangan pemikir politik, tentera, ekonomi dan geopolitik dan ahli strategis.

Turki penting kerana sejarahnya, kedudukannya yang strategik, pergolakan politik antarabangsa kini dan potensinya. Penolakan oleh Persidangan Kemuncak Kesatuan Eropah di Luxembourgh (Disember 13-14 lalu) permohonan Turki menjadi ahli kesatuan itu, pada fikiran saya, adalah satu kesalahan politik yang akan menghantui Kesatuan Eropah pada masa hadapan. Sekali lagi peminangan Turki tidak diterima. Apa yang meradangkan Turki dan wajar begitu kerana pinangan lewat negara-negara lain seperti Bulgaria dan Slovakia mendapat lebih perhatian; negara-negara ini mendapat jaminan akan diterima lebih awal dari Turki untuk jadi ahli keluarga Kesatuan Eropah.

Kegagalan Turki ini mengikut setengah pendapat di AS dan Eropah adalah membawa risiko kepada kewibawaan pemerintahan Turki sekarang yang pro-Barat dan menentang Islam yang melampau dan sebaliknya memperkukuhkan pihak-pihak di Turki yang mahu Turki pandang ke Timur dan kembali kepada Islam dan bersama negara-negara Islam lain menentang Barat.

Tidak keterlaluan jika rakyat Turki amat tersinggung dengan penolakan ini berdasarkan sumbangan Turki kepada Barat dan Eropah semasa perang dingin. Masa itu Turki dilihat sebagai sebuah negara Islam yang berpengaruh. Sudah ada, saya dengar dan melalui bacaan ramai rakyat Turki mendesak agar Turki lupakan sahaja Kesatuan Eropah kerana ia tidak akan terima sebuah negara Islam dalam kesatuan yang anggotanya terdiri dari negara yang berasaskan tamadun Yahudi Kristian.

Andainya desakan ini diterima, Barat akan kehilangan sebuah negara sekutu yang teruji di Timur Tengah; sebuah negara besar, yang penduduknya 65 juta, lokasinya strategik, potensi ekonomi dan tenteranya amat besar. Tiada bala tentera di Timur Tengah yang lebih berwibawa, teruji mempunyai sejarah lama lagi berpotensi daripada Turki.

Apabila itu berlaku ''imbangan kuasa'' akan timbul di Timur Tengah, Wilayah Balkan (zaman Ottoman dahulu negara-negara Balkan seperti Bulgaria, Bosnia dan Serbia dan lain adalah di bawah Turki) dan di Lautan Caspian dan Teluk Parsi. AS sedar hakikat ini dan nampaknya AS menyokong keanggotaan Turki dalam Kesatuan Eropah tetapi AS juga mahu Turki selesaikan masalahnya dengan Greece dan Cyprus. Washington seperti biasa mempunyai dasar yang berkait-kaitan. Dasar luar sebuah negara kuasa besar lazimnya tidak lurus.

Pada pendapat saya, Turki bagi Kesatuan Eropah, tiada ubah seperti kata pepatah Melayu, apabila sampai ke tebing seberang sungai perahu pun dihanyutkan. Zaman Perang Dingin Eropah pujuk Turki memihaknya pada hal komunis Rusia yang telah membantu Turki memperkukuhkan revolusi yang dilancarkan oleh Kamal Ataturk. Tanpa peranan Turki membantu Barat semasa Perang Dingin dasar AS-Eropah mengepungkan terhadap kemaraan pengaruh Rusia dan komunisme mungkin tidak berjaya.

Kini Kesatuan Eropah melihat Turki dari kaca mata lain; banyak rugi dari keuntungan membawa Turki ke dalam Kesatuan Eropah. Hujah-hujah lahir menolaknya nipis; pemberontakan Kurdish, perbalahannya dengan Greece dan Cyprus, rekod hak asasi manusia Turki tidak baik; tiada demokrasi tulen dan berbagai-bagai lagi. Tetapi keadaan demokrasi di negara-negara yang pinangannya diterima adalah lebih buruk dari Turki tetapi bezanya mereka adalah negara Kristian.

Kata Zalmay Khalizad, bekas Timbalan Setiausaha Kementerian Pertahanan Amerika (bahagian perancangan) penggal 1991-1993, ''beberapa buah negara Eropah segan (reluctant) menerima sebuah negara Islam sebagai sebuah negara Eropah, tetapi yang mengejut ialah perubahan di Jerman. Bonn tidak mahu Turki kerana takut ramai orang Turki berhijrah ke Jerman.''

Sayugia diingat Jerman dan Turki adalah sekutu dalam Perang Dunia Pertama dan Empayar Turki hancur bersekali Jerman; Jerman bangkit kembali melalui Hitler dan hancur pula pada tahun 1945. Pada tahun 70-an Jerman menjemput ramai pekerja-pekerja asing bekerja di sana, ramai datang dari Turki, sehingga kini sudah ada lebih tiga juta orang Turki lahir di Jerman dan ramai orang Jerman yang bencikan orang Jerman-Turki-Islam ini. Jerman sekarang, selepas kalah dua peperangan dan dalam hanya 52 tahun sahaja, sudah menjadi satu super ekonomi. Tiga ekonomi terbesar dalam dunia kini adalah AS, Jepun dan Jerman. Seperti Jerman, Jepun juga kalah perang tetapi kedua negara ini telah mengatasi negara-negara yang menang perang seperti Britain, Perancis, China dan Rusia. Hanya AS terus maju dan meningkat.

Tegas Khalizad: ''Jerman takut nanti berjuta-juta orang Turki (baca Islam) membanjiri Jerman setelah Turki menjadi anggota Kesatuan Eropah.'' Inilah sebenarnya sebab penolakan Turki.

Perhubungan antara Turki-AS tidak serapat dahulu lagi tetapi sedang berubah. Turki dan AS sekata tentang Bosnia dan merestui hubungan yang sedang berkembang antara Israel dengan Turki dalam segala bidang. Turki juga berpengaruh dengan negara-negara bekas tanah jajahan Rusia di Asia Tengah.

Kesatuan Eropah, satu ketika akan berkehendak kepada sebuah Turki yang bersahabat dengannya, apabila sesuatu yang teruk berlaku di Wilayah Timur Tengah yang mengancam Eropah seperti permasalahan dengan Iraq, Iran dan negara-negara Islam yang baru di Asia Tengah, Seperti kata Economist, ''kesalahan (rebuff) Kesatuan Eropah harus diperbetulkan secepat mungkin; menolak permohoan Turki adalah satu perkara yang tidak bijak.''

Peranan Greece (Yunani) juga berpengaruh. Greece adalah ahli Kesatuan Eropah dan menentang keras kehadiran Turki namun keduanya anggota NATO. Turki adalah musuh bersejarah Greece. Kesatuan Eropah meletakkan risiko kepada Eropah jangka panjang kerana keghairahannya memihakkan Greece. Isu berpihak Greece dan Cyprus sebenarnya adalah helah sahaja. Isu yang sebenarnya, yang tidak tersirat ialah masa belum tiba lagi sebuah negara Islam ''boleh jadi Eropah'' walaupun dari segi ilmu alam Turki berhak.

Washington, seperti saya katakan tadi, nampaknya mahu Turki ''menjadi Eropah'' tetapi perbuatannya pula tidak menunjukkan begitu. Washington harus menunjukkan kerjasama yang lebih erat lagi dengan Ankara bagi keselamatan Wilayah Timur Tengah dan Asia Tengah; kedua harus bekerjasama tentang senjata membahaya, minyak gas dan menjadikan Turki sebuah lambang demokrasi. Iran, Iraq dan Israel (Israel sudah ada senjata nuklear) sedang bergiat memperkuatkan pertahanan masing-masing. Apakah jaminan Turki juga tidak mahu mempunyai senjata nuklear?

Helmut Kohl, Chancellor Jerman, berjanji bulan September lepas kepada Mesut Yilmaz, Perdana Menteri Turki, waktu Yilmaz melawat Bonn bahawa ia akan menyokong kemasukan Turki ke dalam Kesatuan Eropah dalam mesyuaratnya Disember lalu tetapi dalam masa itu dia berkata ''orang-orang Islam Turki akan membanjiri Jerman apabila sempadan diketepikan.'' Kesatuan Eropah membenarkan rakyat negara anggotanya keluar masuk Kesatuan Eropah secara bebas.

Kini jelas seperti kata Khalizad Kohl telah menukar pendiriannya dalam masa tiga bulan sahaja. Turki sekarang kerana malu dan terhina nampaknya tidak berminat lagi hendak memburu keanggotaan Kesatuan Eropah (buat sementara waktu saya yakin) dan telah berusaha merapatkan hubungan dengan Washington.

Turki membatal pembelian kapal terbang dari Eropah dan telah menandatangani perjanjian membeli kapal terbang Boeing berharga AS$2.5 bilion. Yilmaz berkata hubungan dengan Kesatuan Eropah kini dibekukan. Membeli Boeing adalah satu tindakan balas pertama. Saya yakin akan ada lagi tindakan-tindakan lain sebelum persidangan Kemuncak Kesatuan Eropah di London pada Jun akan datang.

Yilmaz telah berkata andainya pada bulan Jun permohonan Turki ditolak juga ia akan menarik balik permohonan. Tegasnya: ''Masa depan Turki bukan bergantung kepada Kesatuan Eropah.''

Sesungguhnya ketika ini Turki nampaknya berada di persimpangan jalan. Jun akan menentukan ke arah mana Turki menuju.

Sebelum itu kalau ada peluang dan mampu, orang Melayu harus melawat Istanbul, sebuah kota raya yang indah di mana tamadun, perbendaharaan dan khazanah Islam amat mengagumkan.

* Datuk Abdullah Ahmad ialah Wakil Khas Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)