Make your own free website on Tripod.com

Berita Harian Online

Penobatan semula latihan belia

FENOMENA yang meresahkan kini dibimbangi melahirkan 'zurriatun dhuafa' atau generasi longlai yang tidak ada tanggungjawab moral dan sosial terhadap negara. Tanda kepupusan generasi ini dinyatakan oleh usahawan Amerika, Norman Cousins: "Kematian adalah suatu kehilangan besar dalam kehidupan tetapi kematian akal budi adalah kehilangan yang lebih parah lagi."

Selaras dengan penobatan kembali martabat latihan belia, ada tiga aliran perubahan yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Pertama, peningkatan mutu latihan ke arah pengantarabangsaan. Dua dekad lalu organisasi latihan awam dan swasta lebih terbuka ke arah meninggikan kualiti produk mereka di peringkat antarabangsa. Tidak ada tempat bagi individu, kumpulan dan industri melarikan diri daripada perspektif itu. Kecanggihan teknologi moden, komunikasi, pendidikan jarak jauh dan universiti terbuka diiktiraf sebagai kejayaan gemilang di peringkat antarabangsa. Persaingan ini menyebabkan organisasi latihan belia perlu melahirkan pekerja yang lebih berketrampilan untuk memenuhi kehendak pasaran. Kualiti sistem latihan, reka bentuk kurikulum, teknologi canggih dan kecemerlangan pakar latihan 'dibeli' dan dipasarkan. Negara maju bersedia menjual kepakaran mereka dalam bidang multi media, accelerative learning dan enhancement technology. Negara membangun seperti negara kita perlu berkembang lebih jauh supaya tidak menjadi negara pengguna dalam bidang latihan.

Kedua, berlakunya pemusatan kuasa dalam pembelajaran. Kebelakangan ini juga terpamer jelas suatu revolusi besar dalam bidang pengurusan latihan. Pertambahan masa latihan, kakitangan, kos pengurusan dan kumpulan sasaran yang lebih terdidik membawa kepada pemusatan kuasa dan autoriti dalam pembelajaran. Syarikat latihan dan juru perunding muncul dengan pelbagai nama dan kepakaran. Ada kebaikan dan keburukan kehadiran mereka. Di sinilah pentingnya kebijaksanaan pengurus organisasi menyaring konsultan, memilih latihan praktis terbaik, menilai master trainers secara hands on management dan keberkesanan konsep latihan secara menyeluruh. Kebijaksanaan ini penting kerana pelaburan modal dalam bidang latihan belia tidak lagi dianggap membazir dibandingkan pada masa lalu. Perubahan minda dan iklim pelaburan yang sihat membawa refleksi dan pengukuhan idea bagi menghadapi cabaran industri latihan terutama yang akan membabitkan beberapa isu pokok seperti peningkatan kualiti dan kreativiti, pembelajaran berkesan berasaskan ISO 9000 dan penemuan baru penyelidikan dan pembangunan.

Ketiga, permintaan tinggi terhadap competency-based training dalam pelbagai bidang kemahiran. Fokusnya bagi menilai kecekapan sebenar berasaskan input, proses dan output yang dirancang. Latihan itu akan terus berfungsi secara insitu dalam semua sektor pekerjaan bagi meningkatkan keupayaan 4H (head, heart, hand and health) semua pihak terbabit dalam industri latihan. Proses melatih semula kumpulan sasaran perlu dipercepat sesuai dengan perubahan teknologi untuk menghasilkan manusia baru yang lebih cekap dan berilmu.

Walau apapun yang berlaku dalam pelbagai bidang latihan belia, suatu persoalan besar masih menjadi tanda tanya ialah bagaimanakah mewujudkan kejayaan training miracles? Malek Ben Nabi menjelaskan kita harus memiliki idea pendorong dan idea penggerak yang dapat menentukan arah hidup dan masa depan kita. Ia bukan semata-mata idea yang disogok orang lain. Idea ini harus asli walaupun harus mencari kekuatan dari Barat dan Timur daripada sejarah zaman lampau dan pengalaman masa kini. Saranan itu bersesuaian dengan sabda Rasulullah bermaksud: "Ambillah hikmat itu walau dari mana datangnya." Apa yang dipentingkan bukan kekayaan maklumat tetapi bagaimana kebenaran dan keberkesanan ilmu diterapkan. Jika sekadar maklumat saja tidak membawa makna kerana Allah menempelak golongan ini seperti 'keldai membawa lembaran kertas'.

Idea konseptual ini perlu diberikan penekanan khusus kerana latihan belia secara keseluruhannya belum memberikan fokus terhadap kemahiran berfikir. Kesan latihan kemahiran berfikir sangat penting untuk menobatkan latihan belia kerana Rasulullah bersabda bahawa berfikir sejam itu adalah lebih baik daripada 70 tahun solat sunat.

Proses ke arah mewujudkan latihan menakjubkan bukan saja berdasarkan ketinggian ilmu dan strategi pembelajaran berkesan tetapi bergantung kepada ketekalan peribadi guru dan murid. Sifat penting seperti faham, ikhlas, amal, jihad, pengorbanan, taat, tetap pendirian, tajarrud, persaudaraan dan thiqah perlu disemadikan ke dalam jiwa masyarakat latihan.

Untuk merealisasikan aspirasi itu, ke manakah arah latihan belia? Ini memerlukan jawapan bukan saja dari segi konseptual, visi dan operasi tetapi mekanisme pengukuhan sistem latihan secara menyeluruh. Dari segi realitinya, negara menyaksikan pelbagai program kemahiran, keusahawanan, kepemimpinan dan rakan muda. Keberkesanannya masih boleh diperdebatkan. Masalah remaja, lepasan sekolah, pekerja dan wanita tidak diuruskan secara profesional. Namun organisasi awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan terus berbangga dapat menganjurkan ratusan kegiatan keilmuan dan kursus setiap tahun tetapi kualiti dan pemantauannya entah ke mana? Menurut hemat penulis, ada tiga tindakan yang perlu diberikan perhatian serius:

  • Mutu kurikulum pembangunan belia hendaklah dikaji semula. Falsafah kurikulum tidak seharusnya mementingkan falsafah hedonisme, liberalisme, eksistensialisme dan idealisme saja. Model pembangunan insan berteraskan weltanschaaung Islam perlu diketengah dan dilaksanakan secara bersepadu. Usaha ini ada dilaksanakan tetapi tidak menyeluruh.
  • Masanya belum terlewat untuk negara memikirkan idea penubuhan Majlis Perundingan Latihan Kepemimpinan Negara. Iadiiktiraf sebagai penyelaras, integrasi modul dan input, penyeragaman sistem latihan dan pentauliahan. Selama ini agensi kerajaan, universiti, swasta, badan sukarela dan politik menguruskan program latihan mereka lebih bersifat boundary management dan self-centered.
  • Program Lima Agenda Perdana yang dipopularkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu dilaksanakan sepenuh hati sebagaimana yang dikehendaki dalam Rancangan Malaysia Ketujuh.

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]