Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Selasa 20 Januari 1998 21 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

Rasullullah mencari kayu...

Rehal Ramadan

PADA suatu hari, Rasulullah sedang dalam perjalanan bersama sahabat. Apabila tiba waktu makan tengah hari, sahabat berkenaan bercadang menyembelih kambing untuk hidangan mereka. Salah seorang daripada mereka berkata: "Biarlah aku menyembelihnya." Seorang sahabat lain pula berkata: "Baiklah, aku yang memasaknya." Belum lagi mereka selesai berbincang, tiba-tiba Rasulullah bersabda: "Biarlah aku yang mencari kayu bakarnya."

Mendengar itu, sahabat terperanjat dan berkata: "Wahai Rasulullah, biarkanlah kami saja yang bekerja, cukup sudah tenaga kami ini." Nabi Muhammad lalu menjawab: "Aku tahu bahawa tenaga kalian sudah cukup. Tetapi, aku tidak suka jika diistimewakan melebihi kalian. Sesungguhnya, Allah benci melihat hamba-Nya diberi keistimewaan tersendiri melebihi kawan-kawan lain."

Dalam kisah di atas, kita perhatikan bagaimana Rasulullah tidak mahu ketinggalan dalam bergotong-royong dan memikirkan hal-ehwal semasa. Ketika sahabatnya bersiap-sedia untuk memasak dan masing-masing mempunyai tugas sendiri, Rasulullah masih memikirkan bahawa ada satu perkara yang belum diselesaikan iaitu kayu bakar untuk memasak. Baginda pun menawarkan diri untuk mencarinya. Sesungguhnya, ia adalah suatu tanda kebesaran dan keagungan kepemimpinan Rasulullah.

Menurut seorang cendekiawan Islam, Fathi Yakan, kepemimpinan adalah sejenis seni hubungan perilaku manusia, pengaruh gaya tindaknya serta penghalaannya ke arah matlamat yang tertentu, dengan cara yang boleh menjamin kepatuhan, kepercayaan dan penghormatannya.

Kejayaan pemimpin dalam peranannya ini terletak di atas sejauh manakah keistimewaan dan ciri-ciri utama yang dimiliki. Kita sedia maklum bahawa ada sesetengah sifat semula jadi mungkin boleh membantu untuk mengembangkan bakat-bakat kepemimpinan, tetapi ia hanya sekadar tertentu saja. Oleh itu, untuk menyempurnakan watak kepemimpinan ini, haruslah ada potensi-potensi lain dari segi fikiran, rohani, jasmani, keorganisasian, akhlak dan peribadi.

Jika kita amati lagi kisah di atas, kita juga mendapati bahawa Rasulullah memiliki ciri-ciri yang perlu ada bagi seseorang pemimpin iaitu mengenali ladang, mengenali jiwa, memberi perhatian kepada orang yang dipimpin, teladan yang baik, pandangan yang tajam, kemahuan yang kuat, daya tarikan semula jadi dan optimisme.

Hubungan antara pemimpin dan yang dipimpin mestilah berdasarkan kepada kepercayaan, taat, ikhlas dan tanggungjawab yang dengannya keharmonian dan gotong-royong boleh dibina dan dikembangkan, manakala keharmonian dan gotong-royong adalah teras kejayaan sesuatu masyarakat.

Perkara di atas sangat jelas isyaratnya berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Dan pada masa orang yang beriman melihat tentera al-Ahzab, berkata mereka: 'Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya.' Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. Di antara orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid) dan di antaranya ada yang menuggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." (Al-Ahzab: 22-23).

Pemimpin dan yang dipimpin adalah dua sendi masyarakat yang tidak boleh dipisahkan. Islam menganggap ketaatan kepada pemimpin sebagai tanda taat kepada Allah, manakala keadilan dan keihsanan pemimpin terhadap yang dipimpin sebagai tanda keredaan Allah.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang taat kepada-Ku sesungguhnya dia telah taat kepada Allah dan sebaliknya yang derhaka terhadap-Ku, dia telah derhaka terhadap Allah. Sesiapa yang taat kepada pemimpin, sesungguhnya dia taat kepada-Ku dan sesiapa yang menderhakainya, maka dia telah menderhakai-Ku." (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]