Make your own free website on Tripod.com

Rahmat di sebalik krisis ekonomi

KATA orang, pengalaman adalah guru yang sebaik-baiknya bagi manusia. Para pakar biasanya berfikir, merancang dan bertindak berdasarkan teori dan andaian tertentu. Tetapi akhirnya manusia akan mengetahui setakat manakah teori atau andaian itu benar atau salah, berfaedah atau tidak berfaedah kepada manusia dan alam sekitarnya, melalui dan berdasarkan pengalaman. Sejarah merupakan pengalaman yang cukup baik bagi manusia. Seringkali krisis yang sama berlaku berulang kali kerana manusia tidak belajar dan tidak mahu belajar daripada sejarah, dan sejarah bererti pengalaman.

Kemelut ekonomi dan nilai ringgit yang kita alami sekarang adalah contoh pengalaman yang perlu dijadikan pelajaran dengan tujuan untuk mengelakkan berlakunya krisis yang sama di masa akan datang. Di saat kita menghadapi masalah ekonomi yang gawat inilah banyak orang tiba-tiba menjadi pandai dan bijak membincangkan sebab-sebab mengapa krisis ini berlaku.

Orang yang pandai ini bukan sahaja terdiri daripada pakar, perancang dan penggubal dasar atau pembangunan ekonomi tetapi juga para usahawan dan pengguna yang menjadi ''mangsa'' krisis ini. Mereka mula menuding jari, menyalahkan semua pihak. Pihak yang menganggap diri mereka pakar dan mengetahui segala hal bukan sahaja mula lebih lantang bercakap tentang kesalahan teori atau kesalahan dasar atau kelemahan fundamental ekonomi tetapi juga turut menyalahkan orang yang menjadi mangsa kesalahan dasar itu.

Pakar teori 'ekonomi pasaran', khususnya yang bertugas di Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), menegaskan bahawa negara yang mengalami krisis ekonomi itu perlu melakukan pembaharuan atau reform. Mereka berkata bahawa negara itu mesti membebaskan ekonomi atau pasaran mereka, menghapuskan segala peraturan kerajaan yang dianggap boleh menyekat kebebasan pasaran (ini namanya deregulation), menyusun semula struktur ekonomi mereka, membatalkan segala bantuan subsidi (agaknya termasuk subsidi sektor pengeluar seperti kaum petani), membenarkan pemodal asing membeli aset negara itu, menghapuskan amalan memberi perniagaan monopoli kepada sanak saudara dan sahabat handai, dan memberhentikan amalan rasuah.

Beberapa fatwa IMF itu, misalnya amalan rasuah dan memberikan perniagaan monopoli kepada sanak saudara dan sahabat handai, memang jelas salah, bukan sahaja kerana buruk padahnya kepada ekonomi negara tetapi kerana amalan itu memang salah dari segi moralnya. Orang tidak perlu menjadi pakar ekonomi dan pembangunan untuk berdakwah bahawa perbuatan seperti itu memang salah. Bagaimanapun, tidak semua dasar atau tindakan yang diambil oleh kerajaan negara membangun dapat dianggap salah dari segi 'peraturan' ekonomi pasaran atau dari segi tujuan pembangunan.

Misalnya, apa salahnya kerajaan memberikan bantuan (subsidi) kepada kaum petani jikalau tujuannya ialah untuk menolong kaum petani mengeluarkan hasil tanaman dan makanan yang lebih banyak untuk kepentingan negara?

Di Eropah masalah subsidi yang diberikan kepada petani, misalnya di Perancis, pernah dibantah oleh Amerika Syarikat dan beberapa buah negara Eropah kerana menganggap bahawa dasar itu menimbulkan persaingan yang tidak adil atau tidak saksama, maksudnya, dasar itu memungkinkan eksport pertanian dari Perancis menjadi lebih murah daripada harga hasil pertanian yang diimport dari AS dan negara-negara Eropah yang lain.

Bantahan seperti itu sebenarnya didorong oleh ideologi atau politik perdagangan atau oleh kepentingan ekonomi negara yang membuat bantahan itu, bukan kerana dasar subsidi itu melanggar hukum ekonomi pembangunan. Kalau tujuan kita ialah untuk mengurangkan import barang makanan dan hasil pertanian, apa salahnya subsidi yang diberikan kepada petani kita? Jadi, kita boleh mengesyaki apakah tujuan atau muslihat IMF dalam hal ini.

Tentang fatwa bahawa pasaran mesti bebas dan dibebaskan daripada segala peraturan dan kawalan kerajaan atau campur tangan kerajaan, hal ini juga tidak dapat kita terima sebagai hukum yang mutlak. Pasaran bebas mungkin dapat dibiarkan bergerak tanpa kawalan dalam ekonomi yang sudah maju dan mantap tetapi bagi ekonomi yang sedang membangun, kawalan, bantuan dan pimpinan kerajaan tentu perlu untuk menjaga kepentingan negara dan pengguna.

Di dunia ini tidak ada persaingan dagangan yang adil, yang bebas sebebas-bebasnya. Setiap negara dan blok ekonomi cenderung membina tembok perlindungan dagang masing-masing. Apabila negara yang maju berasa bahawa pasaran dalam negerinya (pasaran domestiknya) sudah menjadi kecil dan sendat mereka akan mendesak orang lain supaya membuka pasaran seluas-luasnya supaya ekonomi dan perdagangan negara maju itu dapat diperluas ke serata dunia untuk menjamin keterusan kemakmuran rakyat mereka. Kita jangan lupa bahawa Tanah Melayu dijajah melalui syarikat East India Company yang menjadi alat kerajaan Inggeris. Setelah syarikat itu membeli atau menyewa atau menduduki kawasan kita untuk dijadikan pangkalan perdagangan kaum pedagang mereka barulah penjajahan politik bermula apabila kawasan itu diserahkan kepada kerajaan British untuk dijadikan tanah jajahan. IMF boleh jadi merupakan topeng baru bagi penjajahan ekonomi dan ideologi Barat.

Jadi, dalam usaha kita untuk mencari penyelesaian terhadap krisis ekonomi dan nilai ringgit sekarang janganlah kita membiarkan diri kita dijajah oleh kuasa-kuasa ekonomi dunia melalui ideologi ekonomi pasaran dan pertolongan cemas badan seperti IMF. Formula IMF untuk kononnya menyelamatkan negara Asia yang mengalami krisis ekonomi dan nilai wang dikritik oleh banyak pihak. Negeri China, misalnya, berkata bahawa IMF menggunakan kesempatan krisis ekonomi di Korea Selatan, bagi pihak Amerika Syarikat untuk memperoleh segala konsesi perdagangan yang tidak dapat diperoleh daripada negara Korea itu melalui perundingan dagang yang biasa. Seorang ahli ekonomi dari Universiti Harvard, AS, Jeffrey Sachs, mengkritik IMF dengan berkata bahawa badan itu telah memburukkan krisis sistem perbankan di negara-negara Asia. Sachs berkata bahawa sistem perbankan di negara Korea Selatan, negara Thai dan Indonesia mungkin ada kelemahannya tetapi pada dasarnya sistem perbankan itu selama ini telah beroperasi dengan baik.

Perspektif kita akan menjadi lebih kacau jikalau kita menganggap bahawa krisis yang kita hadapi sekarang ialah krisis ekonomi semata-mata. Bahayanya ialah dalam usaha untuk mencari penyelesaiannya seluruh perhatian kita akan tertumpu kepada soal ''pembaharuan ekonomi'' atau menurut istilah yang digunakan oleh pihak IMF, economic reform menurut perspektif atau ideologi ekonomi pasaran dan ekonomi fizikal atau physical economy yang ditaja oleh dunia Barat. Kita tidak bertanya secara serius di manakah silapnya dasar dan matlamat pembangunan kita. Kita juga tidak memikirkan tentang kesilapan manusia atau budaya manusia sebagai punca krisis ini. Semasa ekonomi fizikal atau ekonomi materialistik negara sedang ''mewah'' (pada suatu ketika dikatakan sedang ''panas'') wang menjadi matlamat utama kehidupan manusia. Manusia asyik memburu wang untuk maju, untuk cepat kaya, untuk berlagak. Manusia menggunakan wang sebagai bahan spekulasi, seolah-olah seperti ''chip'' di meja kasino. Wang diperoleh dengan mudah melalui pasaran saham, melalui institusi peminjam wang (seperti bank dan lain-lain) dan melalui wang asing yang melabur dalam perusahaan dan perniagaan di negara ini.

Manusia menjadi boros, tamak, gelojoh, sombong dan berlagak. Wang yang berlebih-lebihan dijadikan alat untuk membeli kuasa politik dan kepentingan (maka timbul krisis ''politik wang'' dan rasuah menjadi-jadi), untuk membina projek-projek gergasi dan mewah yang menelan beribu juta ringgit (kebanyakannya wang pinjaman). Ekonomi seperti ini ialah ekonomi buih - boleh menggelembung dengan cepat tetapi dengan mudah juga boleh meletup apabila asas pembangunan tidak kuat. Ekonomi pasaran bebas menggalakkan ekonomi bebas ala buih ini.

Dasar negara pun membiarkan ekonomi ini ''bergerak menurut kehendak pasaran bebas''.

Apabila wang ringgit jatuh dan ekonomi negara mengalami krisis baru kita sedar bahawa yang menjadi puncanya bukanlah faktor ekonomi semata-mata tetapi juga faktor manusia; manusia yang tidak menguruskan dasar dan pembahagian kekayaan negara secara jujur dan adil, manusia yang merosakkan kekayaan negara melalui sifat tamak, boros dan membazir, dan manusia yang tidak bersyukur dengan rezeki Tuhan yang melimpah-limpah. Barulah kita merayu kepada penduduk negeri supaya berjimat cermat, supaya jangan membuang duit di luar negara, jangan menghantar anak-anak mereka belajar di Britain dan di Amerika Syarikat, jangan mengadakan majlis-majlis rasmi di hotel mewah, dan sebagainya. Barulah kita memberitahu institusi kewangan supaya jangan memberikan pinjaman kepada orang yang hendak membeli kereta mewah, rumah mewah dan sebagainya.

Kita membaca berita baru-baru ini bahawa tiap-tiap bulan 1,000 buah kereta ditarik balik oleh sebuah institusi peminjam wang kerana si berhutang tidak mampu membayar hutang. Dikatakan bahawa si berhutang itu gelojoh. Siapakah yang bersalah? Si piutang atau di berhutang? Mengapakah semasa ekonomi sedang ''mewah'' kita dengan mudah memberikan pinjaman itu dan tidak berkata bahawa si berhutang itu gelojoh? Ini bukan kali pertama kita mengalami ''krisis ekonomi''. Kita pernah mengalami krisis yang sama dalam tahun 1980-an dahulu. Waktu itu kita mengadakan kempen jimat cermat. Manusia tidak belajar daripada pengalaman dan sejarahnya.

Semasa ekonomi sedang mewah manusia lebih asyik melihat ke atas, ke angkasa, ke alam maya, alam siber, dan seolah-olah percaya bahawa apa-apa yang naik ke atas tidak akan turun ke bumi lagi. Baru sekarang kita mengajak manusia supaya berbudi kepada bumi: menanam sayur, bertani dan sebagainya. Kita mengutamakan perusahaan mewah daripada perusahaan makanan. Sepatutnya kita menjadi negara pertanian dan pengeluaran makanan yang maju. Bayangkan, Malaysia yang kaya dengan bumi yang subur, apabila mengalami krisis ekonomi, terpaksa mengimport makanan dari negara asing.

Sekarang kita bercakap tentang perlunya disiplin ekonomi. Tetapi apakah dasar kita yang tekal dan jelas tentang disiplin budaya kepenggunaan?

Jadi, di sebalik ''krisis ekonomi'' ini ada rahmatnya. Kita dikejutkan oleh keadaan yang kita wujudkan sendiri, menyebabkan kita sekurang-kurangnya menyedari akan kesalahan budaya kita. Tetapi membentuk disiplin budaya kepenggunaan di kalangan penduduk Malaysia belum tentu dapat menjamin bahawa manusia tidak akan menimbulkan ''krisis ekonomi'' lagi di masa akan datang sekiranya dasar pembangunan ekonomi negara masih tidak berubah secara fundamental. Lebih baik kita membangunkan atau memajukan negara kita berdasarkan prinsip pertengahan: tidak terlalu melampau ke arah satu-satu sektor pembangunan ekonomi sahaja (misalnya perindustrian) tidak terlalu mewah dan tidak terlalu ''growth-oriented'' tetapi ''development-oriented''. Pembangunan yang sederhana tetapi yang dapat melahirkan masyarakat ummatun wasatan (yakni, yang adil dan saksama, tiada golongan yang terlalu kaya dan mewah dan tiada golongan yang terlalu miskin dan daif) dan tahan cabaran ''turun-naik'' perjalanan pasaran, adalah lebih baik daripada ''kemajuan'' berdasarkan pertumbuhan yang linear sehingga berkemungkinan akan sampai ke tahan ''panas'' lalu meletup dan terbakar.

Inilah jaminan untuk kita mengelak berlakunya krisis ekonomi yang sama atua yang lebih buruk lagi di masa akan datang. Perlu juga diingat bahawa krisis yang berlaku sekarang bukan bersifat ''cyclical'' tetapi lebih bersifat sistemik,, yakni berpunca dari dalam sistem dan dasar ekonomi itu sendiri. Ini termasuklah budaya ekonomi itu.

* Datuk Hassan Ahmad ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan.

Oleh: DATUK HASSAN AHMAD