Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Rabu 21 Januari 1998 22 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

PKAUM tetap bantah lokasi McDonald

KUALA LUMPUR, Selasa - Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) akan membuat bantahan besar-besaran jika pengurusan universiti itu terus membenarkan McDonald's beroperasi di bangunan berhampiran pintu masuk utamanya.

Presidennya, Prof Madya Dr Mahadzir Khir menemui Timbalan Naib Canselor (Pembangunan dan Penyelenggaraan Harta Benda) UM, Prof Madya Dr Hamzah Abdul Rahman di Bangunan Canselori, meminta pengurusan mengubah pendirian dengan membatalkan kebenaran McDonald's beroperasi di pintu masuk universiti.

Ketika ditemui selepas itu, Dr Mahadzir berkata, pihaknya akan mengadakan beberapa lagi pertemuan dengan pengurusan universiti bagi membincangkan lebih mendalam mengenai isu berkenaan.

"PKAUM tidak mahu dianggap sebagai pencetus masalah tetapi jika usaha pandangan tidak diendah pengurusan, kami tidak teragak-agak mengadakan kempen bantahan secara besar-besaran yang membabitkan ahli persatuan dan Alumni UM.

"Pengurusan UM sememangnya tidak telus. Jika telus, mereka tentu menyebarkan perkara ini kepada kami lebih awal atau menjelaskannya dalam buletin universiti," katanya.

Dr Mahadzir berkata, jika perkara kecil seperti itu tidak diberitahu kepada PKAUM, mungkin pengurusan boleh membuat apa saja yang mereka suka di universiti itu.

"Ini membuktikan mereka (pengurusan) membelakangi kakitangan akademik," katanya sambil menambah, PKAUM tetap dengan pendiriannya bahawa restoran McDonald's tidak patut dibina berdekatan pintu masuk UM kerana ia boleh menjejaskan imejnya sebagai menara gading tertua di negara ini.

"Kita bukannya anti McDonald's, cuma kita tidak setuju dengan lokasinya saja. Tambahan pula restoran itu mengikat kontrak selama 15 tahun dengan UM. Jadi, simbol McDonald's akan berada di UM selama 15 tahun dan semua pihak akan melihat simbol restoran berkenaan agak lama. Saya berpendapat keputusan orang atasan UM tidak bijak," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM), Saharuddin Mohd Kia, berkata pengurusan akan berbincang dengan McDonald's supaya turut menyediakan makanan bercita rasa tempatan.

Pemimpin pelajar itu berkata, MPMUM diberitahu mengenai perkara itu dalam perbincangan berasingan dengan Dr Hamzah hari ini.

Beliau berkata, tindakan sedemikian tidak mustahil kerana McDonald's sudah terikat dengan syarat-syarat kontrak.

"Jika McDonald's enggan bekerjasama, pengurusan UM bercadang menyediakan kantin menjual makanan tempatan di tempat berkenaan bagi memberi pilihan seimbang kepada pelanggan.

"Walaupun lokasi restoran McDonald's akan tetap dikekalkan di pintu masuk UM, papan tanda besar sudahpun diturunkan dan pengurusan memberi jaminan bahawa hanya logo kecil dibenarkan sepanjang tempoh kontrak operasi berlangsung," katanya.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]