Berita Harian Online
Selasa 20 Januari 1998 21 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

Kelantan terlalu ramai pengemis

Oleh Mohd Shah Abdullah

'TANGAN di atas lebih mulia daripada tangan di bawah' adalah maksud sebuah hadis Nabi bagi menggambarkan perbuatan memberi sedekah atau infak lebih mulia daripada meminta-minta. Memang menjadi tanggungjawab orang kaya dan berkemampuan menghulurkan sumbangan bagi membantu orang miskin.

Kaya-miskin adalah terminologi dalam al-Quran. Ada lebih 20 ayat dalam al-Quran membicarakan mengenai zakat dan kewajipan membantu orang susah. Khususnya pada Ramadan ini, pahala berganda bagi orang yang rajin bersedekah untuk menambah amalan.

Namun miskin tidak pula boleh dijadikan tiket untuk mengemis, mengharap belas ihsan dan simpati orang ramai sepanjang masa. Namun itulah fenomena yang sedang berlaku di Kelantan. Beberapa teguran melalui pendedahan di media sudah dibuat sebelum ini, malangnya masuk saja Ramadan dan menjelang Aidilfitri, semakin ramai peminta sedekah.

Mereka berkeliaran di kawasan tumpuan awam seperti masjid, gerai makan dan pasar Ramadan. Pada bulan puasa ini, masjid yang menjadi tumpuan pengemis ialah Masjid Besar Muhammadi dan kawasan sekitar Padang Merdeka, di bandar Kota Bharu.

Setiap Jumaat, berpuluh pengemis menunggu sambil menadah tangan memohon simpati jemaah. Malah ada yang membawa bekas khas menadah wang.

Lebih mengecewakan, ada yang membaca surah tertentu daripada al-Quran dengan lancar, ada juga yang beratib dan berzikir dengan kuat untuk meraih simpati jemaah supaya menghulurkan derma.

Mengikut laporan, kebanyakan pengemis itu adalah rakyat asing. Namun, sebenarnya ramai juga rakyat tempatan. Kalau benar kedua-dua fakta itu, ada beberapa persoalan timbul. Jika kebanyakan pengemis itu adalah rakyat asing, bagaimana mereka boleh terlepas masuk ke negara ini begitu mudah. Adakah mereka masuk secara sah, mempunyai permit atau mungkin ada permit meminta sedekah dikeluarkan? Pihak Jabatan Imigresen sepatutnya menyiasat perkara ini kerana didapati kanak-kanak rakyat asing juga nampaknya dijadikan umpan mudah untuk mengutip derma atau sedekah orang ramai. Apakah mungkin ada sindiket di belakang mereka kerana kanak-kanak itu biasanya berjalan dari sebuah meja makan ke meja makan, sekali gus mengganggu ketenteraman awam. Warga tua yang mengutip sedekah juga menimbulkan pertanyaan, apakah anak tidak sayang kepada ibu bapa lagi? Sudah lunturkah nilai kasih sayang dalam amalan budaya Melayu dan tradisi luhur agama?

Benarkah semua pengemis itu hidup melarat sehingga terpaksa merempat dan bergantung hidup dengan meminta sedekah.

Bagi pihak pengurusan masjid, khususnya Masjid Besar Muhammadi pula tidak harus berdiam diri. Sebagai sebuah masjid negeri yang menjadi tumpuan umum, lokasinya berhampiran tempat kunjungan pelancong, imej pengemis banyak merosakkan nama baik kesucian rumah ibadah itu. Mengapa sehingga sekarang tiada tindakan diambil, misalnya bekerjasama dengan pihak berkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) menangkap pengemis itu.

Sudah dua Jumaat dalam bulan puasa ini, Sultan Kelantan berangkat menunaikan solat Jumaat di masjid Muhammadi tetapi di luar pengetahuan beliau, di kaki lima masjid itu ada berpuluh pengemis meminta sedekah. Ini sudah tentu menjejas nama baik sultan sebagai ketua agama bagi negeri yang mendapat jolokan Serambi Makkah. Tindakan pengemis itu pula memalu dan menjatuhkan kewibawaan agama dan nama baik umat Islam, sedangkan al-Quran menyifatkan umat Islam sebagai 'Khaira Ummah' (Umat Terbaik), mempunyai kemuliaan tinggi yang harus dihormati dan disegani.

Kita menyambut baik langkah beberapa agensi diketuai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk melancarkan operasi gerak gempur membanteras kebanjiran pengemis di bandar ini. Operasi itu akan turut disertai MPKB, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis.

Usaha membanteras sepatutnya sudah dilakukan sejak dulu tetapi kata ungkapan lebih baik lambat daripada tidak berbuat apa-apa, amat sesuai bagi menyokong langkah operasi itu.

Kelantan kini menyambut Tahun Melawat Kelantan '98 (TMK '98), sayang sekali ikrar untuk membersihkan imej bandar itu daripada ancaman pengemis belum menjadi kenyataan.

Jika tiada langkah menangani masalah itu dibuat, imej semua pihak boleh terjejas, terutama bagi kerajaan Kelantan yang mendakwa memartabatkan Islam dalam urusan pentadbiran dan kehidupan rakyatnya. Tidakkah kita belajar daripada kisah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz?

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]