Make your own free website on Tripod.com

Rundingan Palestin-Israel masih buntu

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton tidak mengharapkan kemajuan besar dalam proses damai Palestin-Israel, sekali pun beliau mendesak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin, Yasser Arafat supaya menunaikan janji mereka kepada satu sama lain di Washington pada minggu ini.

Netanyahu berkunjung ke White House semalam, manakala Arafat menyusuli beliau dua hari kemudian untuk mengadakan rundingan dengan Clinton ketika Israel semakin berdegil dengan dasar-dasarnya dan Palestin pula memberi amaran akan mencetuskan semula intifada.

Pengumuman kerajaan Israel pada 14 Januari lalu bahawa ia tidak akan melepaskan sebahagian besar wilayah Tebing Barat merupakan berita yang tidak disenangi oleh White House, yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu tentang keputusan tersebut.

Jurucakap Clinton, Michael McCurry tidak cuba menyembunyikan suasana pesimis yang menyelubungi Washington.

''Secara terus-terang, kami tidak menaruh harapan menggunung pada ketika ini,'' katanya.

''Kepada kedua-dua pihak, Presiden akan menekankan betapa penting mereka menunaikan komitmen yang telah dibuat kepada satu sama lain.''

Setiausaha Negara AS, Madeleine Albright menyatakan, komitmen tersebut di televisyen NBC kelmarin.

Katanya, kemajuan dalam proses damai ''bererti bahawa Arafat perlu melakukan usaha 100 peratus dalam memerangi keganasan,'' manakala Netanyahu pula mesti ''mengkaji langkah yang boleh diambil dari segi komitmen yang telah dibuat untuk mengundurkan tenteranya, dan kemudian melangkah ke dalam rundingan status muktamad'' berhubung Tebing Barat.

''Presiden akan meningkatkan usaha untuk mendesak mereka supaya berdepan dengan pilihan sukar yang mesti mereka buat sekarang jika proses damai hendak dimajukan,'' tegas McCurry.

Samuel Berger, penasihat keselamatan negara pentadbiran Clinton, berkata, Presiden akan menggesa kedua-dua pemimpin ''supaya kembali menjalankan rundingan serius'' dan memulihkan proses damai yang terumbang-ambing itu.

''Sekarang ini sangat penting bagi kedua-dua pihak untuk mengambil keputusan sukar, kembali ke meja rundingan, dan memulakan rundingan status muktamad. Segala langkah ini dapat memulihkan proses damai dan mencapai keamanan berkekalan,'' katanya di televisyen CBS.

Selain menamatkan dasar pembangunan kawasan penempatan haram Yahudi, matlamat utama Washington sejak berbulan-bulan lalu ialah mendapatkan persetujuan Netanyahu untuk mengundurkan tentera Israel dari Tebing Barat.

Pada Ahad lalu, kerajaan Israel sekali lagi gagal memutuskan skop pengunduran itu dan minggu lepas, meletakkan 40 syarat sebelum sebarang pengunduran boleh dilaksanakan.

Dalam temu ramah dengan CNN pada Ahad lalu, Netanyahu mengulangi pendirian bahawa Israel hanya menunggu Arafat mematuhi perjanjian Hebron yang ditandatangani pada Januari 1997 sebelum melaksanakan pengunduran tentera.

Beliau menafikan bahawa beliau berkunjung ke Washington tanpa sebarang tawaran untuk memecahkan kebuntuan dalam proses damai.

Jika Netanyahu datang dengan tangan kosong, beliau boleh menjangkakan sambutan dingin daripada Clinton.

Dalam lawatan pemimpin Israel itu kali ini, tiada majlis makan malam diatur untuknya dan tiada sidang media dijadualkan bersama-sama Clinton.

Netanyahu juga tidak menginap di Blair House, rumah tetamu kerajaan yang dikhaskan untuk tokoh kenamaan asing yang datang berkunjung.

Kata McCurry, rundingan dijalankan ''secara terus-terang'' iaitu menandakan Clinton bercakap dengan Netanyahu tanpa berselindung-selindung.

Arafat sekali lagi akan didesak untuk memberi jaminan kepada Israel bahawa beliau mampu menangkis ancaman puak pelampau.

Kegagalan Arafat untuk berbuat demikian menjadi salah satu rungutan utama Israel terhadap beliau.

Sebelum ketibaannya di sini, pemimpin Palestin itu berkata, beliau akan memberi komitmen 100 peratus ke arah mencapai matlamat itu.

Dengan menyedari bahawa beliau mempunyai kelebihan moral ke atas Netanyahu, Arafat telah menggambarkan rundingan di White House itu sebagai titik peralihan dalam proses damai sambil menegaskan, Palestin semakin hilang sabar dengan Israel.

Berikut adalah kronologi peristiwa yang berlaku dalam proses damai sejak Netanyahu mula berkuasa.

1996:

29 Mei- Netanyahu, pemimpin parti Likud yang berhaluan kanan, dipilih sebagai Perdana Menteri Israel dengan menewaskan Shimon Peres.

2 Julai- Netanyahu mencabar dasar menukar tanah untuk keamanan, asas yang digunakan untuk proses damai.

2 Ogos - Israel menarik balik larangan berhubung aktiviti penempatan, sebagaimana yang diarahkan oleh kerajaan Yitzhak Rabin pada 1992.

4 Sept.- Sidang kemuncak pertama di antara Arafat dengan Netahyahu.

24 Sept.- Israel membuka pintu masuk baru ke sebuah terowong di sebelah Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. Tiga hari kemudian, berlaku rusuhan di antara Israel dan Palestin mengakibatkan 80 orang terbunuh, di antaranya 61 penduduk Arab dan 15 askar Israel.

1-2 Okt. - Netanyahu mengadakan pertemuan dengan Clinton dan Arafat di White House.

1997:

15 Jan.- Tentera Israel berundur dari empat perlima daripada Hebron, menamatkan 30 tahun kependudukan oleh tentera Israel.

7 Mac- Krisis baru meletus apabila Israel mengumumkan pengunduran kedua sebanyak 9 peratus dari Tebing Barat, sedangkan Palestin menuntut pengunduran sebanyak 30 peratus.

18 Mac- Israel memulakan kerja-kerja pembinaan 6,500 unit rumah untuk pendatang Yahudi di timur Baitulmaqdis menyebabkan berlaku keganasan yang mengorbankan lapan penduduk Palestin. Lembaga Berkuasa Palestin (PA) membekukan semua bentuk hubungan tertinggi dengan Israel, manakala masyarakat antarabangsa mengutuk kerja-kerja pecah tanah yang dijalankan itu.

21 Mac - Peristiwa pengeboman berani mati di Tel Aviv yang membunuh tiga warga Israel dan mencederakan 42 yang lain. Israel menutup sempadannya dengan Palestin.

6 April- Sidang kemuncak Netanyahu dan Clinton di Washington gagal.

7-16 Mei - Misi ketiga dalam masa dua bulan wakil khas AS, Dennis Ross yang dihantar untuk menggerakkan rundingan damai gagal.

27 Jun - Seorang wanita Israel menampal poster di jendela sebuah kedai di Hebron yang menggambarkan Nabi Muhammad sebagai khinzir, mengakibatkan berlaku rusuhan Israel-Palestin.

30 Julai- Israel mengantung perundingan dan menutup sempadan dengan wilayah Palestin setelah dua serangan pengebom berani mati di Baitulmaqdis yang membunuh 15 rakyat Israel.

4 Sept. - Tiga peristiwa pengeboman berani mati di Baitulmaqdis, yang didakwa dilakukan oleh Hamas, membunuh lapan orang termasuk tiga penyerang yang membawa bom. Israel menutup semula kawasannya dengan wilayah Palestin.

5 Sept.- Israel menolak semua bentuk pengunduran tentera dari Tebing Barat. Seramai 11 orang tentera Israel terbunuh dan 12 lagi hilang, dipercayai mati dalam satu pertempuran di Lebanon.

10-15 Sept.- Albright mengadakan lawatan serantau, mengumumkan permulaan semula hubungan Palestin-Israel.

6 Okt.- Rundingan damai bermula setelah ditangguhkan selama tujuh bulan.

4 Disember - Albright melancarkan beberapa siri perbincangan di Eropah dengan Netanyahu dan Arafat. Beliau gagal untuk membawa kedua-dua pihak meneruskan rundingan.

1988:

4 Jan.- Menteri Luar Israel, David Levy meletak jawatan, meninggalkan parti gabungan Netanyahu.

6-10 Jan. - Usaha damai oleh Ross gagal. Israel berundur dalam dua fasa setelah perjanjian yang menetapkan pengunduran dibuat dalam tiga fasa ditolak oleh Palestin.

13 Jan. - Israel menetapkan senarai syarat yang panjang untuk dipatuhi oleh Palestin sebelum sebarang pengunduran dibuat, tetapi ia ditolak oleh Palestin.

14 Jan. - Israel mengambil keputusan untuk terus mengawal sebahagian besar kawasan Tebing Barat dalam mana-mana perjanjian terakhir dengan Palestin. - Agensi.