Make your own free website on Tripod.com

Kegunaan teknologi nuklear

Hakikatnya, rakyat tidak tahu bahawa teknologi radiasi nuklear menyebabkan bawang dan kentang yang disimpan kini tidak bercambah. Ini kerana, bawang dan kentang yang dijual itu telah disterilkan melalui teknologi nuklear menggunakan sinaran gama. Keistimewaan bawang dan kentang masa kini merupakan sebahagian daripada catatan pentingnya teknologi nuklear dalam menambah nilai produk pertanian dan pelbagai lagi industri moden di pasaran.

Produk lain yang mendapat 'khidmat' teknologi nuklear ialah pembuatan sarung tangan getah, wayar, bandage luka diperbuat daripada uri (jika melecur), pisang Novoria, kacang tanah dan banyak lagi.

Semuanya ini dapat dilakukan apabila Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear Malaysia (MINT) mengkomersialkan semua teknologi nuklear yang dihasilkannya untuk kegunaan industri dan pertanian tempatan sejak 10 tahun lalu. Daripada situ MINT mampu memperolehi pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada kerajaan. Justeru itu, kemampuannya memperolehi pendapatan terkumpul sebanyak RM23 juta ketika menyambut jubli perak pada tahun lalu seharusnya membuka mata banyak pihak tentang peranan positif nuklear dalam sektor industri.

Daripada sebuah pusat yang dikenali Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (Puspati), namanya ditukar kepada MINT dengan matlamat mengkomersialkan teknologi nuklearnya supaya boleh digunakan oleh pihak swasta dalam meningkatkan mutu pengeluaran barangan. Hasil kegigihan menjalankan penyelidikan dan pembangunannya, MINT kini berjaya memindahkan teknologi nuklearnya dari tahap makmal kepada loji skala perintis pelbagai tujuan.

Kini terdapat lima buah loji perintis nuklear di Taman Teknologi MINT iaitu Loji Raymintex, Loji Singama, Loji Alutron, Loji Sterifeed dan Loji Pengoksidan Termal. Setiap loji mempunyai keistimewaannya kerana masing-masing menggunakan teknologi nuklear untuk menghasilkan sesuatu produk atau untuk menambah nilai sesuatu produk tempatan. Loji-loji berkenaan terletak di satu kawasan seluas 150 hektar, kira-kira 1 kilometer dari MINT.

Loji Raymintex menggunakan teknik nuklear bagi proses pemvulkanan lateks getah asli terutamanya sarung tangan tempatan yang kini menguasai 70 peratus pasaran dunia. Loji Singama pula membekalkan khidmat pensterilan untuk produk herba dan tumbuh-tumbuhan untuk tujuan perubatan dan kosmetik. Loji Alutron menggunakan kemudahan penyinaran elektron untuk pelbagai jenis perkhidmatan pemerosesan. Ia berpotensi besar untuk nilai tambah bagi wayar dan kabel supaya lebih tahan panas.

Loji Sterifeed memproses tandan kelapa sawit untuk dijadikan makanan haiwan seperti lembu, kambing dan rusa selain dapat menyelesaikan masalah alam sekitar akibat pembuangan tangkai kelapa sawit.

MINT juga mempunyai pusat kecemerlangan teknologi yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat swasta. Antaranya ialah Pusat Penilaian Tanpa Musnah, Pusat Rawatan Sisa Radioaktif, Teknologi Pengeluaran Radioisotop, Makmal Standard Dosimetri Sekunder, Bank Tisu, Pusat Biosains & Bioteknologi dan Pusat Teknologi Insinerasi. Pusat-pusat ini menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada syarikat swasta dan jabatan kerajaan.

Produk-produk radioisotop MINT telah digunakan dengan meluas di hospital-hospital kerajaan dan swasta bagi menggantikan radioisotop yang diimport. Perkhidmatan Penilaian Tanpa Musnah MINT telah digunakan oleh industri berat seperti syarikat-syarikat petroleum dan gas. Kemampuan MINT untuk berkembang dengan lebih pesat serta lebih berfaedah kepada negara dalam membantu industri tempatan tentunya membanggakan semua pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika merasmikan MINT Tech-Park baru-baru ini turut berbangga dengan kejayaan MINT berbanding lebih sedekad yang lalu. ''Semenjak lawatan ke MINT lebih sedekad lalu saya dapati MINT telah mencapai banyak kemajuan bukan sahaja dari segi pembinaan infrastruktur tetapi juga kejayaannya menguasai teknologi yang diperlukan oleh industri-industri di Malaysia,'' katanya.

Tegasnya, teknologi dan kepakaran institusi penyelidikan berkenaan dan yang lain-lain boleh digunakan untuk meningkatkan daya saing industri.

''Mungkin suatu masa nanti teknologi tempatan berupaya menggantikan teknologi asing untuk syarikat-syarikat Malaysia,'' ujarnya.

Katanya, beliau tidak nampak mengapa bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) memerlukan pelbagai insentif kerajaan untuk menggalakkan mereka membuat penyelidikan supaya dapat diaplikasi dalam industri tempatan.

Malah ketika ditanya mengenai insentif yang boleh diberikan oleh kerajaan dalam bidang penyelidikan, Perdana Menteri dengan tegas menjawab: ''Orang selalu tanya mengenai insentif, insentif adalah keuntungan, kalau agensi kerajaan boleh untung melalui penyelidikan, mengapa pula sektor swasta tidak boleh,'' ujarnya. Menurut beliau walaupun loji-loji berkenaan dibina melalui peruntukan kerajaan, beliau berharap pembinaan loji perintis akan datang dapat dilaksanakan secara kerjasama di antara MINT dan syarikat swasta.

''Perkongsian pintar di antara badan kerajaan dengan pihak swasta untuk membangunkan teknologi sangat diperlukan dan kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk menggalakkannya,'' jelas beliau.

Sebab itulah beliau berasa kecewa kerana hasil pelbagai penyelidikan oleh agensi kerajaan tidak digunakan sepenuhnya untuk kemajuan negara seperti yang berlaku di negara-negara maju umpamanya Jepun. Menurut beliau kebanyakan pihak terutama sektor swasta suka mencari keuntungan dalam masa yang singkat berbanding usaha memajukan hasil penyelidikan yang boleh membawa keuntungan jangka panjang.

Dalam hubungan ini, Timbalan Ketua Pengarah (Korporat) MINT, Dr. Daud Mohamad berkata, operasi perniagaan MINT dijalankan oleh Unit Perkhidmatan Pengguna (UPP) yang bertindak sebagai one stop center bagi semua urusan MINT dengan pelanggannya. UPP bertanggungjawab memasarkan semua produk, proses dan perkhidmatan MINT termasuk perkhidmatan pakar runding dan latihan.

Sehubungan itu MINT merancang menubuhkan beberapa lagi loji berkaitan untuk mengembangkan lagi perniagaan MINT pada masa depan. Menurutnya kerajaan telah memberi kepercayaan kepada MINT untuk membina dua lagi loji perintis di MINT Tech-Park pada masa depan yang menelan belanja kira-kira RM8.13 juta. Dua loji berkenaan ialah Loji Pusat Bioteknik dan Loji Pusat Teknologi Plastik.

''Projek ini tidak akan ditangguhkan walaupun negara mengalami kemelesetan ekonomi, kerana ia penting untuk penyelidikan,'' ujarnya. Menurutnya, dengan adanya Loji Pusat Teknologi Plastik, MINT mampu mengeluarkan plastik untuk kegunaan umum yang boleh dimusnahkan dengan menggunakan kaedah radiasi selepas digunakan.

''Jika kaedah ini dapat dikembangkan kita tidak akan menghadapi masalah membuang plastik kerana plastik biasa tidak akan musnah walaupun bertahun-tahun tertanam dalam tanah,'' ujarnya.

''Tetapi dengan kaedah radiasi yang sedang diusahakan ini plastik berkenaan akan musnah dalam masa satu hingga dua bulan sahaja, jadi tidak timbul masalah alam sekitar,'' katanya.

Dr. Daud berkata, MINT akan terus menjalankan penyelidikan dari semasa ke semasa sehinggalah masyarakat yakin bahawa MINT adalah pusat penyelidikan untuk kebaikan manusia. Katanya, memang menjadi harapannya agar orang awam memandang positif terhadap MINT selaras dengan tindakan pihak pengurusan mengubah nama Puspati kepada MINT.

''Orang selalu mendapat gambaran Puspati kaji atom untuk berperang, itu tidak benar sama sekali, kita ubah namanya menjadi MINT, dengan harapan masyarakat lebih memahami dan menerimanya,'' tegas beliau.