Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Selasa 20 Januari 1998 21 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

IMF hanya beri nasihat

SEPANG, Isnin - Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) hanya memberi nasihat dan bukan mengarahkan Malaysia melaksanakan sebarang langkah untuk mengatasi masalah ekonomi.

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, IMF adalah sebuah badan antarabangsa yang bertanggungjawab dan hanya memberi nasihat, sama ada diminta atau tidak oleh sesebuah negara.

"Saya tidak fikir kita diarahkan oleh IMF. Saya juga tidak fikir IMF memberikan ugutan jika kita tidak buat, ringgit akan jatuh lagi," kata Perdana Menteri ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Urusan IMF, Michel Camdessus, ketika melawat negara ini minggu lalu.

Camdessus yang memuji langkah berhemat kerajaan dalam menangani kegawatan ekonomi menyatakan kebimbangan mengenai pertumbuhan kredit yang terlalu cepat.

Beliau dengan itu menyarankan pihak berkuasa kewangan di Malaysia menaikkan kadar faedah bagi membendung pertumbuhan kredit yang keterlaluan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pelaksanaan projek Koridor Raya Multimedia (MSC) di Kompleks Transit Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) di Cyberjaya hari ini, Dr Mahathir berkata:

"IMF sudah mengemukakan saranannya dan ini akan kita teliti."

Mengenai proses pembangunan MSC, Perdana Menteri berkata, projek itu tidak akan terjejas dalam kegawatan ekonomi kerana ia adalah inisiatif sektor swasta.

MSC yang disenaraikan sebagai projek produktif turut menerima keutamaan dalam mendapatkan pembiayaan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MDC, Tan Sri Othman Yeop Abdullah berkata, 50 syarikat dijadualkan memindahkan operasi ke Cyberjaya menjelang akhir tahun ini.

Mereka adalah sebahagian daripada 103 syarikat yang memperolehi status MSC dengan pelaburan berjumlah hampir RM4 bilion dalam tempoh lima tahun.

Nilai pelaburan itu bernisbah 3:1 iaitu bagi setiap sejuta ringgit pelaburan, mereka boleh menghasilkan pulangan bernilai tiga juta ringgit. Perkiraan ini dibuat berdasarkan perancangan perniagaan syarikat itu sendiri.

Menurut Othman, dua syarikat teknologi, Daytech Sdn Bhd dan Infotech Sdn Bhd, yang dijadikan contoh dalam mesyuarat itu, membuktikan perancangan perniagaan dalam lingkungan MSC boleh memberikan kejayaan besar.

Kedua-dua syarikat tempatan itu beroperasi dalam pasaran serantau.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]