Make your own free website on Tripod.com

Tiada peruntukan bendung gejala murtad - Hamid

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Gejala murtad di kalangan orang Melayu di negara ini sukar dibendung kerana tidak ada undang-undang tertentu yang boleh menghalang gejala tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Abdul Hamid Othman berkata, tidak ada peruntukan khas dalam undang-undang negara ini yang boleh menghalang orang Melayu daripada murtad.

Katanya, tindakan tidak boleh diambil kerana undang-undang yang ada sekarang hanya boleh menghalang orang Melayu yang murtad daripada menukar namanya sahaja.

''Tidak ada undang-undang tertentu yang boleh menghalang pengisytiharan murtad dan tindakan tidak boleh diambil (terhadap mereka yang murtad). Tetapi mereka (yang murtad) tidak akan dibenarkan menukar nama,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada pesakit-pesakit di Hospital Kuala Lumpur di sini petang ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan seorang gadis Melayu yang mengisytihar dirinya murtad bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki beragama Kristian.

Gadis tersebut, Nor 'Aishah Bokhari turut membuat permohonan habeas corpus dari Mahkamah Tinggi supaya beliau dibebaskan daripada 'cengkaman' keluarganya.

Semalam, beberapa orang pakar perundangan Islam berpendapat peruntukan undang-undang yang longgar mengenai murtad turut menjadi punca kepada kejadian menukar agama di kalangan umat Islam yang kian meningkat kebelakangan ini.

Menurut mereka, peruntukan bagi membendung kegiatan keluar daripada agama Islam harus diperketatkan bagi mengelak masalah ini daripada menjadi tidak terkawal.

Dalam perlembagaan negara, seorang yang ditakrifkan sebagai Melayu itu menganut agama Islam.

Dalam hubungan ini, Hamid tidak menafikan bahawa peruntukan perlembagaan bahawa seorang Melayu mesti beragama Islam masih longgar.

Sehubungan itu kata beliau, satu kajian terperinci sedang dijalankan bagi menggubal satu undang-undang yang boleh menghalang gejala tersebut.

Menurut Dr. Abdul Hamid, kajian itu mengambil masa agak lama kerana ia melibatkan banyak aspek yang perlu dikaji.

Bagaimanapun katanya, orang Melayu yang mengisytihar dirinya keluar dari agama Islam atau murtad akan hilang hak keistimewaannya sebagai orang Melayu seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Katanya, Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa orang Melayu adalah seorang yang beragama Islam dan apabila murtad maka akan hilang segala hak keistimewaan yang dimilikinya.

Dr. Abdul Hamid berkata, gadis-gadis Melayu perlu lebih berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh sehingga sanggup mengisytihar diri mereka murtad.

Katanya, sekiranya mereka mahu berkahwin dengan lelaki bukan Islam, mereka perlu berusaha memujuk lelaki tersebut supaya memeluk Islam dan bukan sebaliknya.