Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Selasa 20 Januari 1998 21 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

Aishah tarik balik permohonan

KUALA LUMPUR, Isnin - Seorang gadis Melayu yang mengisytihar dirinya murtad, menarik balik permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap bapa serta keluarganya yang didakwa mengurung serta menahannya secara paksa.

Gadis terbabit, Nor Aishah Bokhari, 26, melalui peguamnya, Lee Min Choon, memberitahu mahkamah bahawa permohonan itu ditarik balik kerana Nor Aishah kini tidak lagi berada di bawah kawalan serta tahanan bapa dan keluarganya.

Nor Aishah menamakan responden yang didakwa mengurungnya secara paksa ialah bapanya, Bokhari Md Tahir; ibunya, Samiah @ Aton Taha; abangnya, Nazaruddin, dan bapa saudaranya, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Assisten Komisioner, Zainal Abidin Ali.

Semua responden terbabit melantik peguam Pawancheek Marican dan Zulkifli Nordin mewakili mereka.

Bagaimanapun, Nor Aishah tidak hadir di mahkamah hari ini.

Nor Aishah mengakui memeluk agama Kristian berfahaman Katolik dan sudah mengikrarkan surat akuan di hadapan seorang Pesuruhjaya Sumpah pada 22 Oktober 1997.

Nor Aishah kemudian dengan bantuan peguam Leonard Teoh Hooi Leong menyampaikan surat akuan pemohon kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 19 November 1997.

Difahamkan, Nor Aishah yang melarikan diri daripada keluarganya kini berada bersama teman lelakinya, Joseph Arnold Lee, 28.

Dalam afidavitnya, Nor Aishah berkata dia bercadang untuk berkahwin dengan Joseph yang beragama Kristian pada pertengahan Disember lalu, tetapi sebelum itu membuat keputusan untuk memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya.

Sebelum itu, Nor Aishah membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai seorang kakitangan Citibank di Jalan Ampang kerana bimbang keluarganya akan mencarinya selepas mengetahui dia murtad.

Pada 19 November 1997, Nor Aishah menghubungi keluarganya di Pontian, Johor, dengan memberitahu bahawa dia sudah memeluk agama Kristian. Bagaimanapun, perkara ini mendapat bangkangan daripada keluarga Nor Aishah.

Nor Aishah mendakwa pada 20 November 1997, di hadapan Bangunan AMODA, Jalan Imbi, abangnya, Nazaruddin dan bapanya, Bokhari, melarikannya daripada Joseph.

Nor Aishah mendakwa dirinya dibawa ke rumah Zainal Abidin di Petaling Jaya sebelum dibawa ke Pontian.

Menurutnya, dia kemudian cuba dipengaruhi keluarganya supaya kembali semula kepada agama Islam. Ketika ditahan, menurut Nor Aishah, dia beberapa kali menghubungi Joseph dan Leonard melalui telefon secara sulit.

Nor Aishah berkata, ketika itu, dia mengetahui peguamnya, Leonard, sedang menguruskan proses undang-undang (habeas corpus) untuk membebaskannya daripada kawalan keluarganya.

Menurutnya, pada 30 Disember lalu, dia menghubungi Joseph supaya datang ke Pontian untuk mengambilnya kerana dia mempunyai rancangan untuk melarikan diri tanpa pengetahuan keluarga.

Katanya, kira-kira jam 8 malam, ketika bapa dan abang iparnya keluar untuk sembahyang, ibu dan kakaknya berada di dapur, Nor Aishah berjaya keluar daripada rumahnya dengan melarikan diri bersama Joseph.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]