Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Selasa 20 Januari 1998 21 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

Makan besar dan muflis

Modal Selasa

DISEBABKAN kita sudah hampir kepada tarikh Hari Raya dan Tahun Baru Cina, modal kita kali ini pun berkisar pada soal perayaan. Pada kita Aidilfitri dan Gong Xi Fa Cai adalah tema dominan yang dicakapkan orang pada masa ini selain kegawatan ekonomi. Walaupun sukar macam mana sekalipun, hari kebesaran tetap disambut juga.

Hari ini kita nak cerita pasal cara menggunakan wang ketika menyambut dwi-perayaan itu. Ada orang berbelanja beribu-ribu ringgit untuk menyambut perayaan itu dan ada juga orang hanya belanja kurang RM500 tetapi tidak kurang juga meriahnya. Bagi orang yang berbelanja besar, rasanya kita tidak perlu nak bersusah payah memikirkan cara mereka berbelanja kerana pendapatan mereka mestilah besar. Cara hidup mereka agak berbeza dengan orang lain. Cita rasa mereka juga berbeza. Mereka adalah kumpulan yang banyak wang tunai. Dalam kegawatan ekonomi hari ini pun, mereka masih mampu membelanjakan wang agak banyak sedangkan belanja yang dikeluarkan tidak mendatangkan pulangan. Orang banyak wang biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja mewah. Mereka boleh makan di restoran besar dengan kos makanan yang tinggi sedangkan bagi mereka yang bergaji rendah sekali makan golongan seperti ini boleh menampung perbelanjaan sebulan. Masyarakat Cina sering mengungkapkan istilah 'makan besar' bagi merayakan sesuatu kejayaan. Tapi bagi perayaan kali ini, rasanya ramai yang 'makan kecil' saja. Kalau tak ada wang, tak payahlah nak berjudi hingga ke pagi. Mercun pun dah tak payah nak beli.

Kita tidak mahu bak kata orang 'ikut kata hati, mati'. Kalau kita tidak mampu, buat cara tidak mampu. Kalau berbuka puasa, golongan mewah bolehlah makan di hotel besar dengan suasana yang begitu meriah. Bagi golongan berpendapatan rendah, perlu terima hakikat semua itu bukanlah milik mereka. Asalkan ada makanan ketika berbuka, sudah cukup.

Tapi, sesuatu yang harus kita renungkan, golongan berpendapatan tinggi inilah yang ramai menjadi muflis. Kalau kita lihat perangkaan Jabatan Pemegang Harta, sebahagian besar daripada 6,578 orang yang diisytiharkan muflis sejak Januari hingga November tahun lalu, adalah daripada golongan ini. Kebanyakan mereka adalah ahli perniagaan dan penjamin pemiutang individu serta syarikat. Bagi pengusaha syarikat, jika mereka tidak beringat ketika zaman mewah, hari ini adalah dugaan yang begitu perit bagi mereka. Jika tidak ada simpanan yang mencukupi, mereka akan diburu bank.

Bagi golongan miskin, walaupun hidup mereka agak sukar, tapi jarang kita dengar mereka diisytiharkan muflis. Ini kerana golongan ini sentiasa beringat. Mereka tahu hidup mereka susah. Kalau terdesak, mereka tahu tidak ada orang yang boleh bantu. Adakalanya, saudara-mara juga tidak boleh diharapkan. Itulah sebabnya ibu bapa kita sering mengingatkan 'kasih saudara ketika berada'. Maksudnya, kalau kita dalam kesusahan, saudara-mara pun tidak boleh membantu. Memang betul kata mereka, ketika waktu susah, untuk mencari RM1 pun bukanlah mudah.

Dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini kita dengar ramai golongan berpendapatan rendah memikirkan apa akan jadi pada keluarga mereka seandainya keadaan seperti ini berterusan. Oleh itu, mereka perlu berjimat cermat mulai sekarang. Itulah sebabnya kebelakangan ini kita lihat tidak ramai antara mereka berbelanja mewah sebagaimana tahun sebelum ini. Kalau kita ke gedung perniagaan ternama, mereka yang membeli-belah pun hanyalah daripada golongan berada. Golongan yang berpendapatan rendah pun tidak kurang juga membuat persiapan. Tetapi, wajah mereka kita lihat di pasar malam. Pada kita, ini adalah keputusan bijak. Di pasar malam pun mereka boleh mendapatkan persalinan untuk anak dan harganya pun jauh lebih murah. Walaupun mutu pakaian yang dibeli tidak tinggi tetapi ia bukanlah menjadi ukuran, asalkan anak mereka gembira. Sekarang pun kalau kita pergi ke pasar, banyak gerai pakaian didirikan untuk menampung keperluan golongan ini. Sesuai dengan suasana ekonomi yang muram, mereka terpaksa berhati-hati membelanjakan setiap sen daripada wang mereka. Bagi yang lebih bijak, mereka tidak membelanjakan wang untuk membeli pakaian baru atau keperluan lain yang boleh ditakrif sebagai membazir. Bagi mereka, adalah lebih baik menabung.

Bagi persediaan kuih muih pun, kita lihat suri rumah tidak begitu sibuk seperti tahun sebelum ini. Daripada cerita yang kita dengar ada antara mereka yang bercadang untuk membuat kuih dua tiga jenis saja dengan dengan kadar yang agak berlebihan. Tidak perlu membuat kuih-muih yang pelbagai jenis kerana ia memerlukan belanja yang besar. Hari raya ini orang yang datang ke rumah kita bukan untuk makan sangat tetapi lebih kepada menyambung silaturrahim. Oleh itu, buat ala kadar saja sudah lebih daripada memadai.

Kita juga tidak hairan jika pada perayaan tahun ini ramai rakyat negara ini terutamanya penghuni kota, tidak pulang ke kampung. Jika pulang pun terpaksa berbelanja juga. Tidak ada salahnya tahun ini beraya di tempat mereka bekerja. Rasanya, dalam keadaan sekarang, keluarga kita di kampung pun faham masalah kita. Mereka pun tentu tidak mendesak supaya kita pulang ke kampung. Kalau terpaksa pulang ke kampung pun, kita perlu berjimat sebab kita mempunyai masa yang agak panjang lagi untuk menguruskan masalah baru yang mungkin tiba.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]