Make your own free website on Tripod.com

Tabung jaga kepentingan bumiputera di BSKL perlu

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Majlis Muafakat Pembangunan (MMP) mengesyorkan kerajaan supaya menubuhkan tabung ekuiti bagi menjaga kepentingan pelaburan bumiputera di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Pengerusi MMP, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, penubuhan tabung seumpama itu penting memandangkan tindakan-tindakan segera perlu diambil bagi membantu pelabur terbabit dalam menghadapi kegawatan ekonomi sekarang.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan perlu mencari mekanisme yang sesuai bagi memastikan pegangan ekuiti bumiputera dalam BSKL dapat terus dipertahankan.

Beliau menegaskan, langkah tegas perlu dilakukan kerana penyusutan pegangan ekuiti merupakan kegagalan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB).

''MMP amat khuatir jika aliran penyusutan ekuiti bumiputera kini tidak disekat, kaum bumiputera akan berada pada tahap yang mundur seperti ketika DEB diperkenalkan dulu.

''Sehubungan itu, MMP menggesa Kementerian Kewangan mengawasi kedudukan ekuiti bumiputera dalam BSKL agar tidak terus susut dalam keadaan kegawatan ekonomi,'' katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Azmi, Kementerian Kewangan perlu meneliti setiap perkembangan yang berkaitan dengan kedudukan pelabur bumiputera di BSKL.

Beliau menegaskan, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan permasalahan yang mungkin dihadapi oleh pelabur-pelabur bumiputera.

''Dengan ini, MMP mencadangkan suatu sistem penyatuan ekuiti bumiputera di BSKL dapat diwujudkan bagi mempertahankan peratus pemilikan keseluruhan sebanyak 20 peratus.