Make your own free website on Tripod.com

Proses migrasi bersepadu IT

KEMEROSOTAN nilai ringgit telah banyak menjejaskan agenda pembangunan negara. Ini kenyataan yang terpaksa kita hadapi sementara berusaha untuk bangun semula bagi menyambung aspirasi ke arah mencapai Wawasan 2020.

Dalam usaha kerajaan menangani krisis ekonomi, pelbagai projek besar terpaksa ditangguh atau dibatalkan demi untuk meringankan beban rakyat dan negara berikutan kesan 'contagion' masalah tersebut. Bagaimanapun, ia tidaklah perlu membabitkan kesemua projek sehingga boleh membawa kepada kelumpuhan keseluruhan jentera pembangunan.

Dalam konteks ini, antara agenda yang masih kekal ialah untuk memesat dan merancakkan lagi proses migrasi ke arah pemupukan bersepadu teknologi maklumat atau IT. Ini perlu kerana walaupun masalah ekonomi menular secara global, ia lebih membebankan negara-negara di rantau Asia Tenggara dan Timur.

IT terlalu penting untuk dikorbankan dalam apa jua situasi kerana ia merupakan insuran kita di alaf akan datang. Sekiranya kita mengambil langkah mengurangkan beberapa program dalam proses pemupukan IT, nescaya ia akan membawa padah kerana ia adalah pemangkin kepada kehidupan di zaman-zaman akan datang. Oleh itu, kita menyambut baik langkah kerajaan untuk tidak menjejaskan pembangunan di sektor IT dalam keadaan sekarang.

Kini dengan pengekalan status itu, kesemua sektor ekonomi dan rakyat dapat meneruskan proses ke arah melengkapkan diri untuk lebih celik dalam menggunakan IT. Lantaran ini membawa kita kepada satu persoalan penting yang mencetuskan dilema. Apakah kesudahannya proses pemumpukan IT seerti yang dilaksanakan masakini?

Kita terlalu ghairah menangani IT hingga mengkucar-kacirkan priority atau keutamaan yang perlu diberi kepada medium baru itu. Yang dimaksudkan disini, terlalu banyak penumpuan diberikan kepada proses menggarap aspek teknikal seperti hardware dan perisian (software) hinggakan kita mengorbankan keperluan yang lebih penting, iaitu kandungan (content).

Rata-rata kita melihat jabatan, agensi kerajaan, sektor swasta dan juga orang ramai meletakkan program IT sebagai satu agenda utama berikutan kempen kesedaran yang dilancarkan baru-baru ini. Ekoran itu kita mendapati semakin ramai graduan IT diserapkan untuk mengisi kekosongan dalam unit-unit IT di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta.

Di peringkat ini, selain pengendalian tertentu yang perlu bagi memasang dan merancang rangkaian sistem komputer serta peralatan sampingan, tumpuan juga diberikan kepada usaha menaikkan taraf pentadbiran cara manual kepada yang lebih efisien menerusi rangkaian yang berasaskan database secara interactive.

Penggunaan IT untuk memudahkan pentadbiran dan mengurangkan birokrasi memang tidak dapat dinafikan keperluannya. Ia begitu cepat menjadi kenyataan. Lihat saja disekeliling - mesin ATM, telefon selular, pengautomasian pentadbiran dan banyak lagi.

Kesedaran masyarakat terhadap pentingnya IT telah mempengaruhi ramai ibubapa, terutama yang berkemampuan, menghantar anak mereka ke luar negara untuk memperolehi ijazah dalam IT atau disiplin-disiplin berkaitan.

Kini ramai graduan IT telah pulang ke negara untuk menyandang jawatan sebagai penganalisis sistem, pengatur cara, dan lain-lain. Sementara itu, majikan dan ibubapa yang hanya setakat memahami kepentingan IT tanpa mereka sendiri mampu menggunakannya menganggap kakitangan atau anak-anak mereka sebagai cure-all atau maha tahu dalam semua aspek bidang yang begitu meluas itu.

Maka disinilah terletak kesilapan besar. Ramai majikan berpendapat kakitangan yang sedia ada mampu menangani kesemua keperluan IT syarikat. Contoh paling ketara ialah apabila syarikat-syarikat atau jabatan kerajaan memerlukan laman Internet atau website sendiri.

Kebanyakan ketua jabatan dan syarikat yakin ia mampu dilakukan oleh kakitangan IT mereka dari A hingga Z tanpa mengambil kira bahwa aspek kandungan laman Internet adalah sesuatu yang khusus. Ia merupakan lapangan yang lebih berkesan jika dilaksanakan oleh pembekal kandungan web yang profesional.

Maka disebabkan 'kejahilan' ini, banyak laman Internet atau homepage yang lahir seperti cendawan lepas hujan mempunyai kepincangan serius. Sebahagian besar daripadanya mempunyai kandungan yang cetek dan tidak bernilai walaupun kosnya boleh mencapai sehingga ratusan ribu. Ini mencerminkan had kemampuan kakitangan IT dalaman atau penyelesaian luaran yang berusaha melahirkan laman Internet tersebut.

IT sebenarnya menjangka lebih jauh dan mendalam daripada hanya kebolehan mengkonfigurasi sistem komputer atau mendirikan sesuatau database atau rangkaian. Apa ygan lebih penting ialah memapar dan mengutarakan kandungan yang bermakna (intelligent content).

Satu lagi contoh ialah kandungan yang terdapat pada laman atau homepage negeri, jabatan kerajaan dan organisasi di Malaysia. Sebahagian besarnya mempunyai kandungan hambar dan tidak menarik. Apa yang nyata pada laman-laman Internet ini ialah transmutasi kandungan risalah atau brochure yang sedia ada kepada homepage itu sendiri tanpa mengambil kira kesesuaian.

Tidakkah terlintas difikiran bahawa di luar sana terdapat begitu ramai pakar kandungan seperti penulis web, pereka grafik web, dan webmaster profesional yang cekap dalam menghasilkan kandungan web profesional dan bermutu?

Oleh itu, dalam usaha menangani keperluan IT seperti mendirikan homepage untuk sesebuah syarikat atau organisasi pertimbangan wajar perlu diberikan kepada mutu kandungan.

Kandungan laman Internet yang berkualiti dapat menjamin hits yang tinggi lantaran membawa kepada promosi berkesan kepada sesebuah syarikat atau jabatan. Dalam konteks yang sama ada juga syarikat pembekal penyelesaian (solutions provider) yang mendakwa mampu mewujudkan homepage atau laman web yang bermutu tetapi hasilnya masih dipersoalkan. Dalam kebayakan kes, yang mereka maksudkan dengan kualiti ialah pemaparan dan grafik serta animasi canggih tanpa is sebenar, iaitu kandungan maklumat yang berkualiti.

Grafik dan animasi memang perlu untuk memaparkan interface menarik bagi sesebuah laman web. Bagaimanapun, ia tidak boleh keterlaluan kerana kemampuan talian telefon biasa dengan bandwidth yang rendah dan modem 'lemah' akan melambatkan proses beban turun (downloading) paket maklumat kepada sebahagian besar komputer peribadi (PC).

Kita perlu sedar bahawa lebuhraya maklumat (inernet terutama World Wide Web, begitu popular hingga kini ia mempunyai puluhan ribu homepage dan laman web individu, syarikat, kerajaan dan organisasi yang masing-masing ingin menonjolkan diri.

Sekiranya kandungan laman web atau homepage kita lemah dan tidak profesional ia tidak akan dapat menarik pengunjung dan meningkatkan promosi.

Laman web atau homepage adalah kenderaan penting bagi mempromosi atau memaparkan sesebuah syarikat atau organisasi. Jika dilihat dari prospektif yang lebih luas, penggunaan laman web dikira jauh lebih meluas berpandukan nisbah pengguna daripada penggunaan media tradisional seperti iklan akhbar, majalah, papan tanda atau risalah.

Sesebuah homepage akan dengan sekelip mata disampaikan kepada berjuta individu di seluruh dunia berbanding media tradisional yang memakan masa.

Memang ada golongan yang menafikan ini dan mempersoalkan keberkesanan promosi melalui Internet.

Mungkin kesangsian mereka berasas jika kita masih dibelennggu mindset dua atau tiga tahun lalu semasa Internet masih lagi sesuatu yang agak primitif. Bagaimanapun, kini Internet dan World Wide Web telah membuktikan nilai dan kepentingannya dan semakin popular sebagai cara paling berkesan untuk menyebarkan semua bentuk maklumat dengan lebih murah dan berkualiti.

Dan menyentuh tentang kualiti dan harga murah, dikira penggunaan laman web dalam keadaan ekonomi meleset sekarang ini perlu digalakkan, ia merupakan pilihan yang lebih kompetitif daripada segi kes untuk syarikat, jabatan kerajaan, parti politik, ahli politik dan sebagainya.

Selain faktor ini, penggunaan laman web dikira lebih 'bertamadun' kerana di alam siber seperti World Wide Web, semua syarikat atau organisasi adalah sama. Dalam erti kata lain, sesebuah syarikat atau organisasi kecilpun boleh mencorakkan dirinya setanding syarikat gergasi besar jika kandugan laman web atau storefrontnya dipakarkan secara profesional dan bermutu.

Memandangkan popularitinya, Internet dan Worldwide Web sudah pasti akan menjadi standard baru dalam menangani cara komunikasi di alaf akan datang.

Oleh: AZIZ AHMAD SHARIFF