Make your own free website on Tripod.com

Universiti McDonald's

AGAK besar juga tampaknya kontroversi yang timbul oleh kewujudan Restoran MacDonald's di suatu sudut yang penting lagi menonjol di kampus Universiti Malaya (UM). Namun, yang lebih menarik daripada kontroversi tersebut ialah caranya kontroversi itu mulai tercetus.

Sebenarnya tanda-tanda akan terdirinya restoran makanan segera antarabangsa itu - yang kini sudah menjadi semacam lambang atau icon pensejagatan budaya popular Amerika Syarikat (AS) - sudah dapat dilihat sesiapa sahaja yang keluar masuk kampus itu selama beberapa minggu lalu, dan mahu tidak mahu tertarik untuk mengagumi kehebatan bangunan baru yang bakal menjadi kompleks Fakulti Undang-Undang universiti itu.

Namun tidak ada orang tempatan yang tampaknya cukup terganggu kepekaan budayanya oleh serangan ''icon kolonialisme baru'' itu terhadap lambang tradisi kecendekiawanan yang ulung di negara ini.

Sampailah seorang bekas pensyarah berbangsa Inggeris yang pernah mengajar di universiti tersebut datang berkunjung ke kampus tersebut baru-baru ini.

Minggu lalu sepucuk surat daripada bekas pensyarah itu tersiar dalam surat khabar New Straits Times. Nyatalah bahawa beliau amat terganggu perasaannya oleh apa yang dilihatnya - lambang restoran makanan segera antarabangsa itu yang bukan sahaja sudah dapat menembusi tembok institusi pendidikan tinggi dan kecendekiawanan purba yang bernama universiti, malah telah dapat pula memacakkan panji-panji kemenangannya itu di tempat yang begitu penting berhampiran gerbang utama universiti tersebut.

Ada beberapa kesimpulan menarik yang dapat dibuat daripada peristiwa tersebut. Pertamanya, dengan kepesatan terlaksananya proses pengkomoditian pendidikan dan penswastaan/pengkorporatan institusi pengajian tinggi di negara ini maka penghakisan tradisi universiti dan kecendekiawanan tampaknya sudah tiba ke kemuncaknya.

Penghakisan itu telah berlangsung secara berterusan sejak beberapa lama - bolehlah dikatakan sejak diperkenalkan Akta Kolej dan Universiti pada awal tahun 1970-an lagi. Begitu lamanya proses itu berterusan sehingga kesannya sudah tidak terasa lagi, malah sudah dianggap lumrah, oleh sebahagian besar penduduk negara ini, termasuklah oleh sebahagian besar komuniti akademik di kampus sendiri.

Sekali sekala ada rungutan bahawa kebanyakan universiti di negara ini tidak dikemudikan oleh orang-orang yang mempunyai ketokohan keilmuan atau benar-benar berminat terhadap mempertahankan tradisi keilmuan. Namun, lama kelamaan orang dapat menerima kecenderungan dan kebiasaan pelantikan pemimpin universiti yang sering mengelirukan pemilikan ijazah kedoktoran dengan ketokohan dan minat keilmuan.

Sekali sekala ada rungutan tentang betapa malapnya kegiatan keilmuan di kampus-kampus kita - mahupun di kalangan para pensyarah dan para siswanya. Lama kelamaan orang menjadi biasa dengan hakikat bahawa universiti dan komuniti kampus yang tidak memainkan peranan tersebut, dan peranan tersebut sekali sekala diambil alih oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berminat.

Orang juga sudah menjadi biasa dengan universiti yang tidak begitu terlibat dengan kegiatan-kegiatan penyelidikan, penulisan dan penerbitan kerana sedikit sebanyaknya peranan-peranan tersebut dimainkan oleh institusi-institusi lain dalam masyarakat.

Padahal kegiatan penyelidikan dan penerbitan yang dilaksanakan oleh badan-badan lain itu (misalnya badan-badan penyelidikan dan think tank) sama sekali tidak sama sifatnya dengan peranan yang biasanya diharapkan dari sebuah universiti, yang sepatutnya lebih mendalam, lebih berjangka panjang dan lebih bebas sifatnya.

Bila kepimpinan universiti dipegang oleh para tokoh yang menganggap peranannya dalam kerangka natijah pengurusan - melahirkan sekian banyak lulusan dalam sekian-sekian bidang yang diperlukan untuk pembangunan negara dengan anggaran perbelanjaan yang sekian-sekian pula - maka ciri universiti dengan peranan keilmuan dan kecedekiawanannya yang telah begitu lama berkembang sesuai dengan sifat universiti itu sebagai sebuah institusi purba semakin lama semakin teresak.

Dan bila rakyat umum sendiri lama kelamaan mulai menerima (malah mulai berasa selesa) dengan ciri dan peranan universiti sebagai tidak lebih dari satu lagi tempat mengikuti pengajaran dan mendapat kelulusan (meskipun pada tahapnya yang tertinggi) maka soal mempertahankan tradisi universiti itu sebagai institusi keilmuan dan kecendekiawanan sudah tentulah tidak menjadi relevan lagi.

Oleh sebab itulah, bagi kebanyakan orang di negara ini hakikat terdapatnya restoran tersebut di kampus UM itu tidaklah menimbulkan sebarang kesan rasa.

Dalam kerangka persepsi orang kita kini, sebuah universiti tidaklah lebih daripada sebuah pusat tuisyen yang glorified dan stylised - mungkin berbeza hanya dari segi tahap pengajarannya: Yang satu untuk memperoleh ijazah dan yang satu lagi untuk lulus SPM.

Jika pusat-pusat tuisyen di sekitar Perhentian Bas Klang, misalnya, boleh wujud di kalangan Restoran McDonald's maka, menurut persepsi tersebut, mengapa pula UM tidak boleh wujud bersama restoran tersebut.

Oleh yang demikian, soal kontradiksi antara sebuah universiti sebagai institusi purba yang melambangkan usaha menyelami dan memahami jati diri, sebagai benteng terakhir yang mempertahankan tempat budaya sesebuah masyarakat itu dalam sebuah dunia yang dicirikan oleh kepelbagaian budaya (cultural diversity) dengan sebuah restoran makanan segera yang melambangkan penindasan budaya yang meruntuhkan kepelbagaian tersebut dan melahirkan semacam globalisasi budaya dangkal yang melemaskan tidaklah timbul dalam fikiran kita.

Kontradiksi yang menggusarkan itu hanya boleh timbul dalam pemikiran seseorang yang baru tiba dari Britain seperti bekas pensyarah UM itu. Dalam masyarakat beliau sendiri, tradisi universiti itu masih merupakan sesuatu yang disedari dan, di mana mampu, masih terus diperjuangkan dan dipertahankan oleh sebahagian besar anggota masyarakat kampus dan masyarakat umum pada keseluruhannya.

Sebagaimana keadaannya dengan institusi universiti di mana-manan di dunia, supaya mempertahankan tradisi purba universiti itu bukanlah senantiasa berhasil. Tuntutan dari pihak pemerintah dan industri, dan masalah membiayai kegiatan-kegiatan institusi purba universiti itu sendiri, sering kali menyebabkan universiti terpaksa menelan perubahan yang pahit. Namun perubahan-perubahan itu, apabila perlu dilaksanakan, selalu merupakan kesan pertumbuhan yang dihasilkan oleh interaksi antara tekanan keperluan semasa dan usaha mempertahankan kemurnian tradisi universiti.

Oleh kerana itulah, misalnya, bila seorang jutawan Arab membawa wang beratus juta paun untuk mengadakan pusat pengajian dan pendidikan ilmu pengurusan di Universiti Oxford maka komuniti ilmu di universiti itu tidak semudah itu melompat kegirangan, meskipun jumlah wang itu jauh mengatasi daripada yang mungkin diterima dari bahagian keuntungan sebuah restoran makanan segera. Setelah pemberian hadiah itu dipertimbangkan (malah ditolak) untuk beberapa lama maka akhirnya diterima dengan syarat bahawa ilmu pengurusan yang diajarkan akan lebih menekankan aspek keilmuannya daripada aspek teknik yang biasanya terdapat di pusat-pusat pengajian pengurusan lain.

''Peristiwa'' terbesar di London School of Economics and Political Science, Universiti London, akhir tahun lalu ialah kejayaannya melantik Anthony Giddens (''ahli sains sosial masih hidup yang teragung hari ini'') dari Universiti Cambridge sebagai Pengarahnya - dan bukannya seorang tokoh industri yang mempunyai ijazah PhD. Oleh kerana itulah kegiatan-kegiatan yang segera dilaksananya di LSE setelah dilantik lebih mantap sifat keilmuan daripada pengurusannya.

Bekas pensyarah yang datang daripada milieu sosial yang mempertahankan tradisi keilmuan universiti itulah yang merasa tidak selesa dengan ''pertembungan perlambangan dan icon'' yang dilihatnya di UM itu.

Hanya setelah tersiar suratnya itu, barulah beberapa pihak di negara ini - seperti para cendekiawan, para pengarang akhbar, para pemimpin siswa, dan para pemimpin NGO - mulai disedarkan daripada sikap selesa dan complacent mereka terhadap tradisi universiti yang telah diasuh oleh proses penghakisannya yang telah begitu lama berlangsung itu.

Reaksi dari pihak yang berwewenang pula dengan jelasnya membutikkan betapa tidak pekanya mereka akan soal mempertahankan tradisi universiti atau soal cabaran terhadap tradisi tersebut - baik yang bersifat substantif maupun yang bersifat perlambangan seperti restoran makanan segera ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Dr. Fong Chan Onn, tampaknya sekadar memperlihatkan sikap berlepas tangan Kementerian Pendidikan dalam hal ini. Saya kira kerana tidak ada unsur pandangan politik yang terlibat, maka beliau sekadar menyerahkannya kepada pihak universiti.

Yang lebih menarik lagi ialah reaksi pihak UM sendiri - seperti yang tergambar pada kenyataan Timbalan Naib Canselor dan Pegawai Perhubungan Awamnya - yang hanya melihat persoalan ini dari segi tatacara pentadbiran universiti sahaja, tanpa sedikitpun menyentuh (atau malah memikirkan dan memahami) persoalan-persoalan tradisi universiti yang telah ditimbulkan. Bukan sahaja cara berfikir mereka selaras dengan cara berfikir pihak MacDonald's - sebagaimana yang tergambar dalam surat Pegawai Perhubungan Awam syarikat itu dalam NST - malah terdapat tanda-tanda bahawa restoran tersebut sudah pada peringkat akhir dalam perkembangannya memasuki kampus-kampus lain di negara ini.

Kebetulan juga saya sendiri telah melihat ''kebangkitan'' restoran di UM itu sewaktu saya baru-baru ini mengunjungi seorang teman yang menjadi tenaga pengajar di universiti itu.

Seperti bekas pensyarah dari Britain itu, sensitiviti budaya saya memang turut tersentuh. Namun, berbeza dari pensyarah itu, saya secara berterusan sudah mengikuti dan merasa kecewa oleh penghakisan tradisi universiti di negara ini sejak tahun 1970-an lagi.

Saya kini sudah tidak lagi bersifat melawan -- malah mengalah dan berdiam -- dalam soal ini. Bagi saya, tradisi keilmuan dan kecendekiawanan universiti di negara ini (izinkan saya menterjemah peribahasa Inggeris) sudah ''pergi ke anjing''.

Namun perlu saya jelaskan bahawa sikap berdiam dan mengalah saya ini bersumber dari kekecewaan saya semata-mata. Ini tidak harus disamakan dengan berdiamnya beberapa orang lain, yang mungkin berdiam kerana mereka kini memainkan peranan besar (dan dengan saham yang mungkin juga besar) dalam proses penswastaan dan pengkomoditian pendidikan yang kini sedang rancak berlangsung di negara ini.

Oleh: RUSTAM A. SANI