Make your own free website on Tripod.com

Kaji orientasi ekonomi

KRISIS ekonomi yang berlaku hari ini sebenarnya telah menjadi fenomena global meskipun pukulan teruk hanya benar-benar dirasakan oleh negara-negara sebelah sini.

Negara-negara sebelah sini yang sering disebut sebagai ''harimau-harimau Asia'' termasuklah Korea Selatan, Thailand, Indonesia dan tidak ketinggalan negara kita Malaysia. Negara Jepun yang walaupun bukan seekor ''harimau'' kerana ia telah menjadi seekor ''singa'' juga mengalami krisis ini.

Tempias krisis ekonomi ini dirasakan oleh hampir seluruh dunia dengan tahap-tahap dan kesan-kesan yang berbeza mengikut ketahanan ekonomi masing-masing. Yang masih kekal unggul dan tidak terusik sudah pastilah ''gergasi-gergasi'' besar ekonomi yang diketahui oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Baratnya.

''Gergasi-gergasi'' ialah melalui sejenis ''alat pemancing'' bergelar IMF sedang ke sana ke mari menawarkan umpan yang merupakan ''madu beracun'' kononnya bagi ''menyelamatkan'' negara-negara yang menderita teruk kesan krisis ini. ''Madu beracun'' ini telah pun terpaksa ''ditelan'' oleh Thailand, Korea Selatan dan Indonesia. Cuma Malaysia yang masih tetap 'berdegil' mencari penawarnya sendiri.

Oleh kerana krisis ini global sifatnya maka terlalu sukar untuk membendungnya di peringkat local, dek kerana ombak yang dibawa oleh badai krisis ini terlalu besar untuk ditepis oleh ekonomi-ekonomi kecil seperti kita. Bagaimanapun berkat ketabahan yang sedia terbina dalam diri kita, pelbagai strategi jangka pendek dan jangka sederhana telah diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia sebagai formula yang sedikit sebanyak boleh membantu keadaan daripada menjadi lebih buruk.

Selain dari itu kita hanya boleh berharap agar taufan krisis ekonomi global ini akan surut dengan sendirinya dalam jangka masa terdekat. Inilah sebahagian dari senario yang sedang kita alami sekarang ini yang bahangnya telah mula dirasakan oleh segenap pelosok rakyat jelata di negara ini tak kira si kaya mahupun si miskin, tak kira si tua mahupun si muda dan tak kira si sihat mahupun si cacat.

Bagaimanapun disebalik kita sibuk berhempas pulas menggagaskan formula-formula perlu jangka pendek dan jangka sederhana, kita jangan sampai terlupa untuk melihat krisis yang sedang melanda ini dalam konteks jangka panjang dan perspektif yang lebih luas lagi mendalam.

Keperluan untuk memiliki pemikiran dan perancangan strategik dalam menghadapi krisis ini tidak harus terbatas kepada kaedah-kaedah segera bagi mengatasi masalah yang kita hadapi sekarang ini semata-mata. Apa yang jelas kelihatan sekarang ini ialah semua langkah-langkah yang diambil dan strategi-strategi yang digagas masih lagi berada dalam kerangka orientasi ekonomi yang sedia ada. Maksudnya begini, krisis ekonomi yang kita alami sekarang ini sebenarnya bukanlah berlaku secara tiba-tiba seperti mana yang kita nampak dengan mata kasar kita.

Pada hakikatnya orientasi ekonomi yang kita amalkan selama ini telah menjadi suatu yang produktif ke arah krisis yang berlaku. Orientasi ekonomi semasa sebenarnya diasaskan oleh faktor-faktor yang menjadi semacam premis-premis untuk menghasilkan natijah kepada orientasi ekonomi itu sendiri. Hal mengenai faktor-faktor atau premis-premis orientasi ekonomi semasa inilah yang perlu kita selidik, teliti dan nilai bagi melihat kelemahan yang wujud di dalamnya.

Langkah dan formula yang kita ambil sekarang ini memang perlu lagi wajar dan sebenarya merupakan kaedah paling bijaksana dalam situasi gawat sebegini tetapi ia tetap bersifat kaedah rawatan simptomatik (symptomatic cure) dan bukannya kaedah pencegahan punca (pro active preventive measures). Dalam konteks ini apa yang sedang kita lakukan sekarang ialah merawat simptom penyakit dari terus merebak dan bukan mencari punca penyakit dan mencegahnya dari berlaku. Akibatnya yang bakal kita hadapi ialah setelah krisis ini pulih nanti, potensi untuk simptom ini terjadi semula tetap ada kerana kuman penyakit ini masih tetap berada dalam orientasi ekonomi kita.

Untuk tujuan itu kita mestilah mengkaji keseluruhan orientasi ekonomi yang kita amalkan sekarang ini bagi memastikan kuman yang menyebabkan simptom krisis ini berlaku boleh dibasmi. Ini kerana kepada krisis yang berlaku, asal usulnya wujud dalam orientasi ekonomi itu sendiri. Apa yang berlaku, sebenarnya dahulu ia masih terkawal dan tidak menonjol, tetapi setelah berlaku semacam break down atau climax maka kesannya akan muncul seolah-olah tidak terduga kemunculannya walhal bibit-bibitnya telahpun sedia ada sebelum ini.

Pada pemerhatian saya orientasi ekonomi kita telah menjadi berat sebelah kepada orientasi ekonomi yang tidak produktif sifatnya. Secara mudahnya saya menyimpulkanya begini, kewujudan dan dorongan yang meluas kepada aktiviti ekonomi yang tidak produktif adalah antara punca utama kepada krisis ekonomi yang berlaku dalam konteks negara kita khususnya.

Apakah yang saya maksudkan dengan aktiviti ekonomi yang tidak produktif itu? Biar saya berikan contoh-contoh utama aktiviti ekonomi yang tidak produktif itu:

(1) Jual beli wang sebagai contoh nilai ringgit ditentukan oleh sentimen dan tekanan pasaran wang dan bukannya prestasi dan produktiviti sebenar ekonomi negara;

(2) Jual beli saham sebagai contoh pengapungan saham-saham baru dengan tawaran yang tidak munasabah berbanding dengan produktiviti syarikat terbabit telah menjadikan pasaran saham medan spekulasi;

(3) Jual beli syarikat sebagai contoh penubuhan, penyusunan dan pengambilalihan syarikat-syarikat tertentu oleh syarikat-syarikat terbabit;

(4) Jual beli hartanah sebagai contoh harga hartanah yang melambung-lambung dalam waktu yang sangat singkat sekadar dengan penukaran hak milik dan status hartanah tersebut tanpa mengambil kira produktiviti sebenar yang boleh dihasilkan oleh hartanah terbabit.

Contoh-contoh yang diberikan bagi aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak produktif ini mungkin agak simplistic dan over generalization tetapi terkandung di dalamnya kebenaran yang tidak boleh ditolak begitu sahaja. Ini kerana aktiviti-aktiviti pasaran wang, saham, syarikat dan hartanah merupakan aktiviti-aktiviti yang amat berpengaruh dalam orientasi ekonomi kita hari ini. Dalam prinsip-prinsip asas ekonomi, produktiviti biasanya dikaitkan dengan penghasilan barangan dan perkhidmatan yang sebenar dalam sebarang aktiviti ekonomi.

Tetapi dalam aktiviti-aktiviti pasaran wang, saham, syarikat dan hartanah tidaklah begitu jelas barangan atau perkhidmatan yang dihasilkan dari aktiviti-aktiviti tersebut. Malah lebih jelas yang wujud ialah apa yang sering disebut sebagai aktiviti ''atas angin''. Disebabkan orientasi aktiviti atas angin inilah maka dikatakan aktiviti-aktiviti sebegini sebagai tidak produktif dalam pengertian aktiviti ekonomi yang sebenar yang jelas di dalamnya penghasilan barangan dan perkhidmatan.

Mungkin di sana-sini masih terdapat beberapa qualifications terhadap aktiviti-aktiviti pasaran wang, saham, syarikat dan hartanah yang dikatakan tidak produktif ini, tetapi secara umumnya orientasi ekonomi yang seperti ini amat cenderung ke arah spekulasi dan manipulasi kerana ia bersifat 'atas angin'.

Kita juga tentunya sedar bahawa sektor yang teruk terjejas malah yang mula-mula menghadapi krisis ekonomi ialah sektor yang terkandung dalamnya aktiviti-aktiviti pasaran wang, saham, syarikat dan hartanah. Tidaklah keterlaluan atau emosional bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad kita ketika berada di Hong Kong mengusulkan pengharaman jual beli wang yang menurut beliau tidak produktif langsung.

Malah beliau kemudiannya mencadangkan pembentukan undang-undang yang ketat diperingkat antarabangsa bagi mengawal jual beli wang ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kita juga kerap kali mengingatkan soal-soal kewujudan saham-saham dan syarikat-syarikat segera yang tidak mencermin prestasi dan produktiviti sebenar ekonomi negara. Begitu juga dengan arahan terbaru beliau supaya bank-bank memberikan pinjaman hanya kepada aktiviti-aktiviti produktif seperti sektor teknologi, industri dan eksport.

Banyak lagi contoh-contoh yang boleh diberikan bagi menunjukkan bagaimana seriusnya penekanan kepada orientasi produktif sebagai teras kepada penyelesaian terhadap kemelut ekonomi yang kita hadapi sekarang ini. Ini juga sekali gus membuktikan bagaimana penekanan yang berat sebelah kepada orientasi ekonomi yang tidak produktif telah menghasilkan risiko yang cukup berat lagi dahsyat kepada rakyat di negara kita.

Tetapi kita masih belum terlambat. Sebagai langkah alternatif, kita mestilah memusat dan mengerahkan seluruh tenaga dan potensi kita kepada aktiviti ekonomi yang berorientasikan produktiviti dalam erti kata yang sebenar. Malah inilah yang menjadi tulang belakang kekuatan ekonomi kita. Di saat-saat cemas sebegini aktiviti ekonomi produktif merupakan penyelamat kepada kesengsaraan kita.

Apa yang saya maksudkan sebagai aktiviti-aktiviti ekonomi produktif termasuklah aktiviti-aktiviti seperti pembuatan, pertanian, perladangan, perikanan permakanan, perkhidmatan dan seumpamanya yang sering dianggap sebagai aktiviti tradisional ekonomi barangan dan perkhidmatan. Lihat sahajalah bagaimana pentingnya aktiviti ekonomi permakanan, pertanian dan perikanan kepada kita sekarang ini. Dengan jumlah import makanan yang dikatakan berjumlah sembilan billion ringgit itu, alangkah malangnya di sebuah negara yang tanahnya sungguh subur sehingga dikatakan kalau dicampak benih apa sekalipun dimana jua ia tetap akan tumbuh, kita terpaksa membeli makanan yang perlu dimakan dari luar.

Prinsip-prinsip asas ekonomi juga menyebut secara common sense bahawa satu cara memperkuatkan ekonomi ialah dengan membanyakkan eksport dan mengurang import. Justeru inilah pendekatan paling realisik yang perlu kita ambil sekarang. Maka dengan itu aktiviti-aktiviti ekonomi produktif ini mestilah dipertingkatkan ketahap yang paling maksimum dan efisien bagi menjamin kuantiti dan kualiti penghasilan barangan dan perkhidmatan yang tinggi.

Sama ada kita suka atau tidak, nilai ringgit yang rendah ini akan menjadikan barangan kita lebih murah dan lebih kompetetif berbanding dengan negara-negara lain sekaligus meningkatkan kuantiti eksport kita. Bagi tujuan mempertingkatkan tahap produktiviti negara, tumpuan serius mestilah diberikan kepada aktiviti-aktiviti produktif yang agak dikebelakangkan sebelum ini seperti aktiviti pertanian, perikanan dan perladangan.

Manakala kemantapan aktiviti-aktiviti pembuatan seperti elektronik dan automatif perlulah dipertingkatkan. Hal ini semua berkehendakkan kita semua bersatu tenaga dan bermuafakat bagi menghasilkan produktiviti yang sebenar.

Perpindahan dari orientasi ekonomi yang tidak produktif kepada orientasi ekonomi yang produktif mungkin merupakan jalan keluar terbaik bagi mengatasi krisis ekonomi ini. Di waktu yang sama kita mestilah mengkaji semula aktiviti ekonomi yang tidak produktif ini, melihat sejauh mana ia perlu dan sejauh mana ia tidak perlu, membentuk undang-undang khusus bagi menutup sebarang loopholes yang wujud dan memusnahkan terus kuman-kuman yang terdiri dari unsur-unsur tidak produktif, spekulasi, manipulasi yang terkandung di dalam aktiviti-aktiviti tidak produktif ini.

Mudah-mudahan dengan mengorientasi ekonomi produktif ini kita akan terselamat dari dikail oleh pancingan IMF yang mengumpankan madu beracun yang sekali tersangkut sampai bila-bila bisanya tetap tinggal bersama-sama kita.

* Amran Muhammad ialah Pegawai Penyelidik, ISTAC.

Oleh: AMRAN MUHAMMAD