Make your own free website on Tripod.com
Nota Wacana Intelektual
Biro Penyelidikan ABIM Pusat

Persoalan Islamisasi: Satu Analisa Kritis
Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud


ABIM merupakan sebuah gerakan Islam yang sejak dari penubuhannya telah berjaya bertindak sebagai pemangkin kepada usaha Islamisasi melalui penekanannya yang berterusan tentang keperluan menggunakan saluran ilmiah mengatasi pendekatan-pendekatan lain. Aliran sederhana inilah yang telah melahirkan ramai pemimpin gerakan yang berwibawa.

Pemimpin yang lahir daripada proses Islamisasi yang sebenar, punya rasa tawadhu' yang terserlah antara lain dengan pengakuan bahawa apa yang telah dicapainya adalah kerana beliau berdiri di atas bahu orang yang lebih tinggi daripadanya. Adab Islami yang dimiliki hampir kesemua ilmuwan agung Islam ini malangnya sudah mula luntur dewasa ini akibat dilanda gelombang kuat materialisme dan sekularisme. Kesannya yang jelas antara lain terzahir melalui penghinaan terhadap ilmu dan ilmuwan di bawah nama isme-isme di atas. Martabat golongan popular lain seperti artis dan ahli sukan telah dijulang tinggi mengatasi martabat ilmuwan.

Islamisasi dalam erti kata yang sebenar bermula daripada proses Islamisasi ilmu pengetahuan. Ini kerana Islamisasi ilmu berkisar pada dalam diri manusia yang akhirnya menjadi asas kepada proses yang seterusnya. Islamisasi yang bersifat luaran seperti institusi politik ekonomi dan politik akan bergantung kuat, malah menjadi akibat langsung daripada Islamisasi ilmu yang bermula di minda. Ini jelas menuruti fitrah Islam yang telah mula-mula mengislamisasi tasawwur dan ilmu orang-orang Arab sebelum yang lain-lain.

Dengan mengatakan bahawa Islamisasi bermula dengan ilmu di dalam diri manusia tidak bermakna ia hanya berbentuk teori semata-mata. Ini kerana di dalam Islam sesuatu yang praktikal tidak dapat dipisahkan daripada teori seperti mana yang tergambar dalam jalinan yang kuat antara iman dan amal dalam Islam. Malah kesilapan yang terjelma di dalam perlakuan dan amalan manusia tidak lain bermula daripada iman dan teori yang palsu dan merosakkan. Contoh jelas adalah perlakuan syirik yang bermula di minda dan kemudiaannya dizahirkan dalam perbuatan. Sebab itu aqidah yang letaknya dalam diri merupakan suatu yang paling penting dalam Islam.

Pengislaman ilmu sesungguhnya telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi dengan turunnya Al-Quran kepada bangsa Arab. Al-Quran telah membawa bahasa Arab yang baru, yang Islami seraya merubah melalui Rasulullah SAW, pandangan alam dan cara hidup bangsa Arab ketika itu. Proses Islamisasi yang diterajui oleh Rasulullah SAW ini telah diteruskan oleh para sahabat, tabi'in dan ulama-ulama selepasnya melalui tradisi dan roh yang sama. Oleh itu, Islamisasi dalam erti yang sebenar bukanlah agenda baru. Cuma dalam konteks pengislaman ilmu-ilmu kontemporari Barat idea awalnya telah dicetuskan secara tulen oleh Prof. Muhammad Naquib al-Attas.

Bahasa merupakan wahana yang paling penting dalam proses Islamisasi. Ini kerana melalui bahasa sesuatu pandangan hidup sesuatu bangsa dan tamadun dapat disebarkan lewat konsep-konsep penting yang diutarakan melalui bahasa. Sebagai contoh semasa Al-Quran datang, ia telah merubah pandangan hidup Arab Jahiliyyah dengan membawa makna-makna baru dalam konsep-konsep yang telah ada seperti konsep ukhuwwah, karim, taqwa dan lain-lain.

Di dalam konteks alam Melayu, proses Islamisasi telah berlaku dengan jayanya menerusi usaha gigih ulama-ulama silam. Contohnya pada zaman Nuruddin al-Raniri, telah dilaporkan bahawa Sultan teleh menitahkan beliau untuk menulis kitab untuk menceritakan tentang penyelewengan aqidah yang berlaku pada zamannya. Proses Islamisasi yang kuat terutama dalam bidang politik pada ketika itu telah menyebabkan pimpinan negara dan ulama bersama-sama berganding bahu melaksanakan Islam.

Islamisasi juga perlu dibincang selari dengna proses de-Islamisasi atau juga dikenali sebagai westernization. Proses pembaratan ini terjelma dalam pelbagai keadaan. Yang paling utama ialah wujudnya golongan sufastaiyyah (sophists) baru. Golongan yang menisbikan ilmu pengetahuan ini telah pun wujud pada zaman Greek dan diperangi dengan hebat oleh pencinta ilmu dan kebenaran. Manifestasi golongan ini walau bagaimanapun wujud sepanjang zaman. Mereka terdiri daripada 3 golongan utama:

  1. al-'Indiyyah (Relativisme)
    Golongan yang menisbikan ilmu pengetahuan dan kebenaran. Segala yang benar untuk orang lain tidak semestinya benar untuk orang yang lain. Kebenaran akan berbeza-beza berdasarkan kepada kelompok-kelompok tertentu. Contohnya orang-orang yang mengatakan bahawa ulama-ulama silam hanya benar dalam konteks masanya sahaja. Begitu juga dengan kebenaran Al-Quran dan Al-Hadith yang diturunkan hanya pada orang Arab kurun ketujuh. Fahaman ini juga dibawa oleh pejuang feminisme moden yang mendakyahkan bahawa kebenaran Islam dipengaruhi oleh jantina (gender). Di samping itu wujud juga golongan baru di kalangan intelektual muslim yang mendakwa bahawa semua agama adalah sama dan kebenaran yang hakiki wujud dalam agama masing-masing tetapi di peringkat yang lebih tinggi (transcendental unity of religion) Golongan ini akhirnya akan memperkecilkan peranan Rasulullah SAW dan merendahkan autoriti ilmu pengetahuan dan ilmuwan.

  2. al-La Adriyyah (Saya Tidak Tahu)
    Golongan ini tidak ingin membuat keputusan pada perkara-perkara yang penting dalam agama dan kehidupan. Mereka bersikap ragu-ragu terhadap kebenaran agama dan akhirnya liberal dan membenarkan apa sahaja berlaku dengan alasan kita tidak tahu dan tidak boleh memberikan hukuman terhadap apa yang berlaku. Antara manifestasinya ialah aliran fahaman pluralisme, liberalisme, skepticism dan lain-lain.

  3. al-Inadiyyah (Degil)
    Golongan ini ialah golongan yang telah pun menerima kebenaran tetapi degil dan tidak mahu menerima dan menganut kebenaran tersebut. Golongan ini akhirnya akan merosakkan umat yang betul-betul ikhlas dengan cara mengelirukan mereka. Golongan ini adalah seperti orientalis, pengengkar Sunnah di kalangan muslim dan orang-orang Islam yang tidak jujur.


[ Catatan Ilmu ]