Make your own free website on Tripod.com
Al-Hidayah

Ke Arah Pembentukan Generasi Al-Quran


Islam-Satu Cara Hidup

Mukaddimah

Ada pun bermacam-macam agama yang ada di muka bumi ini memperolehi namanya masing-masing adakalanya dibangsakan kepada nama seorang lelaki yang khas atau umat yang tertentu yang menubuhkan dan menyuburkan agama berkenaan. Agama Masehi misalnya mengambil nama daripada Al-Masih as. Agama Buddha diambil daripada nama pembawanya, Gautama Buddha. Dan agama Zarathustra dimahsyurkan demikian kerana pendirinya dan pembawa panji-panjinya bernama Zarathustra. Demikian juga agama Yahudi muncul di atas pengakuan suatu kabilah yang dikenal dengan nama kabilah Yahuda, maka agama itu pun dinamai Yahudi. Demikianlah seterusnya.

Berlainan pula dengan agama Islam. Ia tidak dibangsakan kepada seorang lelaki yang khas dan tidak kepada umat yang tertentu. Nama Islam itu menunjukkan sifat yang khas yang dikandung oleh makna perkataan 'Islam" itu sendiri. Nyatanya, nama ini tidak menunjukkan pembawa dan pengasasnya iaitu seorang lelaki di antara manusia. Ia bukan khas bagi umat yang tertentu melainkan seluruh bangsa-bangsa. Ia mempunyai matlamat untuk menghiasi seluruh penduduk bumi ini dengan sifat Islam. Siapa sahaja yang bersifat dengan sifat ini, baik manusia zaman lampau atau manusia masa kini, ia adalah Muslim; juga orang yang berhias dengannya pada masa depan adalah seorang Muslim.

Takrif Islam

Islam adalah satu perkataan Arab yang membawa maksud ketundukan, kepatuhan dan penyerahan kepada ALlah. Dengan sebab inilah agama ini dipanggil Islam.

Oleh yang demikian, setiap sesuatu yang patuh kepada kehendak ALlah adalah dikatakan Muslim. Api dikatakan Muslim adalah sebabnya ia bersifat membakar seperti mana yang telah ditetapkan oleh ALlah swt. Adakalanya ia bersifat sesuatu yang menyamankan semasa pembakaran Nabi ALlah Ibrahim as. Ini kerana api tunduk dan patuh kepada perintah ALlah seperti mana di dalam firman-Nya:

 "Kami berfirman:"Hai api, menjadi dinginlah, dan menjadi keselamatanlah bagi Ibrahim."

(Al-Anbiya': 69)
PengIslaman Manusia

Lain pula halnya dengan manusia. KeIslaman terbahagi kepada dua bahagian. Yang pertama ialah dari segi zahir, yakni bahagian fizikalnya. Setiap perjalanan anggotaa tubuh adalah menurut apa yang telah ditetapkan oleh ALlah swt. Ia tidak bernafas dan tidak merasakan hajatnya akan air, makanan, cahaya dan panas melainkan mengikut undang-undang inilah, dengan sendirinya hati manusia terpandu dalam gerak-gerinya, dalam peredaran darahnya, dalam keluar masuk nafasnya. Kepadanya tertakluk seluruh anngota tubuhnya, seperti otak, perut, paru-paru, urat saraf, urat-urat daging, dua tangan, dua kaki, lidah, dua mata, hidung dan telinga. Segala pekerjaan yang dilakukan oleh anggota-anggota ini tidak akan berlaku melainkan mengikut apa yang ditentukan oleh tabi'i, yakni penentuan ALlah swt. Mereka tidak akan berbuat apa-apa melainkan sejauh jalan yang telah ditetapkan baginya. Ini berlaku kepada sesiapa jua pun, tidak kira ianya beragama Islam atau pun sebaliknya. Sebab itulah sesuatu penyakit yang dialami oleh orang kafir boleh juga dihidapi oleh orang Islam.

Sebaliknya soal cara kehidupannya, manusia diberikan kebebasan untuk memilih seperti mana firman ALlah:

"Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya."

(Yunus: 99)
Lagi ALlah berfirman:

"Kami berfirman: Turunlah kamu semua dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati."

(Al-Baqarah: 38)
Terpulang kepada manusia itu sendiri sama ada hendak menerima cara hidup yang ditunjuki ALlah melalui Al-Quran dan As-Sunnah atau pun menolaknya sama sekali dan menciptakan satu susunan kehidupannya sendiri mengikut rentak kehendak hawa nafsunya sendiri. Di persimpangan inilah ALlah mengutarakan satu pertanyaan kepada manusia seperti mana tersebut di dalam firman-Nya:

"Maka apakah mereka mencari agama yang lain selain agama ALlah, padahal kepada-Nyalah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahu pun dengan terpaksa dan hanya kepada Allah-lah mereka dikembalikan."

(Ali Imran: 83)
Oleh yang demikian hanya ketika tindak-tanduk seseorang itu berlandaskan ajaran Islam barulah dikatakan keIslamannya adalah menyeluruh. Barulah layak memanggil dirinya seorang Muslim bersesuaian dengan firman ALlah:

"Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk ALlah, Tuhan semesta alam."

(Al-An'am: 162)
Di Antara Din Al-Islam Dengan Agama

Di sini kita perlu jelas di antara Din 'ul Islam dengan apa yang dimaksudkan dengan agama.

Agama pada hari ini mempunyai satu maksud yang tertentu. Ianya difahamkan sebagai satu amalan peribadi, yakni hubungan insan dengan Tuhannya sahaja. Ianya sesuatu yang tidak ada kaitan langsung dengan hidup bermasyarakat. Ini sebenarnya adalah pati kefahaman konsep sekularisme, satu konsep yang memisahkan urusan agama dan hal ehwal duniawi. Malah apa yang terjadi, agama itu di bawah telunjuk urusan duniawi. Dengan lebih tepat lagi, tuntutan duniawi lebih diutamakan dari agama itu sendiri.

Lain pula Al-Islam. ALlah swt telah menggunakan perkataan din untuk Islam. Di dalam bahasa Arab, istilah din itu dimaksudkan seperti berikut: a) kekuasaan, b) kepatuhan dan penyerahan, c) ganti rugi atau penebusan. Di dalam istilah Al-Quran, din itu dimaksudkan sebagai satu cara hidup atau pandangan dengan pendirian terhadap satu cara hidup atau pandangan dan pendirian terhadap satu susunan tingkah laku. Dalam erti kata yang lain, Ad Din 'ul Islam itu merupakan satu cara hidup yang menentukan gaya tingkah laku di antara manusia dengan manusia, dan manusia dengan Penciptanya. ALlah berfirman:

"Pada hari ini telah-Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku redhai Islam itu sebagai agama bagimu"

(Al-Mai'dah: 3)
Daripada ayat tersebut kita difahamkan bahawasanya ALlah swt telah menyempurnakan sistem hidup Islam, dan hanya dengan menerima cara hidup begini barulah ALlah redha dengan kita. Ayat tersebut juga menyatakan tidak ada lagi yang hendak ditokok tambahkan; ianya juga bersesuaian untuk setiap masa sehinggalah Hari Kiamat. Prinsip-prinsip hidup yang terkandung di dalam ajaran Islam merangkumi semua aspek dari segi hal keperibadian mahu pun hidup bermasyarakat. Dalam erti kata yang lain, ciri utama di dalam sistem hidup Islam ialah ianya tidak ada sebarang percanggahan serta pemisahan di antara urusan ukhrawi dengan hal ehwal duniawi.

Sesungguhnya Islam itu merupakan satu konsep hidup yang berdasarkan kepada 'ubudiyatiLlahi wahdah, pengabdian diri hanya kepada ALlah yang Maha Esa.

Tujuan Hidup Dalam Islam

Undang-undang yang mengendalikan hidup masyarakat Islam dinamakan syariah. Dan adalah syariah itu tujuan utamanya ialah untuk membangunkan satu kehidupan masyarakat yang berdasarkan kepada makrufat dan bersih dari mungkarat. Ini bermakna susunan hidup Islam dipenuhi dengan kebajikan, secocok dengan fitrah manusia dan diredhai oleh ALlah swt, bersih dari segala dosa dan maksiat yang dikutuk oleh watak manusia dan dimurkai ALlah. Dengan itu segala penyakit masyarakat akan dapat dibanteras. Pada hakikatnya syariah menganjurkan supaya makrufat berkembang sementara mungkarat mesti ditekankan dan dihapuskan pengaruhnya di dalam masyarakat Islam.

Sistem-sistem moral, politik, sosial, ekonomi dan rohani terjalin rapi, tidak memisahkan satu bidang hidup dengan yang lain, dan berada dalam keadaan yang seimbang, amat bersesuaian dengan watak semulajadi manusia. Syariah ini memandu manusia kepada kesempurnaan hidup jasmaniyyah dan rohaniyyahnya. Keseimbangan hidup akan tercapai apabila manusia mempraktikkan pedoman-pedoman hidup Islam secara menyeluruh. Keingkaran mengikut panduan hidup ini akan hanya mengakibatkan nafsu terlepas dari kendali akal, hidup tidak ubah seperti haiwan. ALlah swt berfirman:

"Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya."

(At-Tin: 5-6)
Penutup

Islam bukan suatu 'agama' dan bukan pula suatu ideologi. Tetapi Islam adalah Ad-Din yang mencakup seluruh bidang kehidupan. Ajaran-ajaran Islam adalah dalam bentuk kesatuan yang padu dan harus diterima seluruhnya dan tidak harus dipecah-pecahkan untuk diterima sebahagian dan ditolak yang sebahagian lagi. Sikap memilih-milih menerima dan menolak bahagian-bahagian tertentu mengikut selera nafsu adalah sikap yang dikutuk oleh ALlah, sikap 'opportunist' yang menempah kecelakaan. Segala cabang ajaran Islam dan kesatuannya dapat diumpamakan sebagai tubuh manusia, di mana setiap anggota tubuh itu hanya dapat berfungsi selama ia masih menjadi sebahagian dari tubuh. Tetapi jika ia sudah dipisahkan, umpamanya kaki yang sudah dipotong, maka ianya tidak mungkin lagi berfungsi sebagai kaki.

Demikian juga halnya dengan aspek-aspek tertentu dari ajaran Islam seperti aspek ekonomi atau perundangannya tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa perlaksanaan aspek-aspek lainnya seperti aspek aqidah dan sistem moralnya.