Make your own free website on Tripod.com
Al-Hidayah

Ke Arah Pembentukan Generasi Al-Quran


Aqidah Tauhid- Tiada Ilah Melainkan ALlah

Rububiyyah ALlah

Pengakuan dan persaksian insaniyyah cuma bererti sekiranya ia dilafazkan berserta kefahaman dan selaras dengan pentasyidan isi hati. Al-Quran merakamkan hakikat ini:

 "Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu, mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau benar-benar Rasul ALlah" .Dan ALlah mengetahui sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar pendusta."

(Al-Munafiqun: 1)
Persaksian yang diakui di dalam rangkaian kalimah syahadah menjadi pembeza di antara Muslim dan kafir, di antara ahli Jannah yang abadi di dalam nikmat atau ahli neraka yang berkekalan di dalam derita azab sengsara. Tentulah ketara sekali betapa pentingnya untuk kita benar-benar memahami pengertian dan implikasi kalimah syahadah ini. Untuk tujuan ini kita perlu terlebih dahulu memahami erti perkataan Ilah yang terkandung di dalam rangkaian kata La Ilaha Illa ALlah.

Sebelum itu wajar kita letakkan persoalan ini ke dalam satu perspektif yang merangkumi fitrah asasi manusia . Kita perlu bermula dari firman ALlah:

"Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan ALlah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" mereka menjawab:"Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keEsaan ALlah).

Atau agar kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya orang-orang tua kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedang kami ini adalah anak-anak keturunan yang (datang) sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan binasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang sesat dahulu"."

(Al-'Araf: 172-173)
Daripada ayat-ayat di atas jelas kepada kita adanya Yang Maha Kuasa, Maha Pencipta, sememangnya telah tersemat di dalam naluri dan tabi'I manusia. Fitrah insaniyyah sudah sedia mengenali ALlah-lah Rab iaitu Pemilik, Penguasa dan Pencipta alam ini secara mutlak.

"Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka:"Siapakah yang menciptakan mereka nescaya mereka menjawab:"ALlah", maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah ALlah)?" dan (ALlah mengetahui) ucapan Muhammad: "Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman."

(Az-Zukhruf: 88-89)
"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka:"Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab:"ALlah", maka betapakah mereka dapat dipalingkan (dari jalan yang benar)".
(Al-Ankabut: 61)
"Dan mereka mengingkari kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka menyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan."
(An-Naml: 14)
Keingkaran manusia kepada adanya Pencipta hanya kerana kesombongan dan ketakburan, bukan bererti fitrah manusia menolak adanya Pencipta. Kerana itu, apabila sudah hilang penutup dan selaput yang melingkupi fitrah ini, dan sifat sombong dan takabbur pun telah terkikis, maka tanpa disedari manusia pada suatu waktu terpaksa menyerahkan dirinya kepada kekuasaan ALlah dan meminta tolong kepada-Nya.

Hakikat ini menjadi ketara apabila manusia menempuh detik-detik genting di mana segala pengharapan terputus, kecuali yang bersandar kepada Yang Maha Esa.

Di saat sebegini manusia akur dan lantas memurnikan ketaatan dan pengabdian kepada ALlah, tetapi sayang sikap ini selalunya berakhir dengan terputus keadaan yang cemas tadi. Firman ALlah:

"Apabila mereka dilamun ombak yang (besar) seperti gunung, mereka menyeru ALlah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya. Tetapi tatkala ALlah menyelamatkan mereka sampai ke daratan, maka sebahagian mereka sahaja yang tetap menempuh jalan yang lurus. Dan tidak ada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain orang-orang yang tidak setia lagi ingkar."

(Luqman: 32)
Daya memahami adanya ALlah yang Maha Pencipta, sudah semulajadi dibekalkan ke dalam naluri manusia, jadi bukan inilah pembahasan Al-Quran. Persoalannya sama ada fitrah ini dipupuk, diseleweng atau dibanteras. Sekiranya dibanteras, insan tadi menzalimi dirinya sendiri, tertutuplah pintu hatinya dan gelap gelitalah jalan hidupnya. Sekiranya terseleweng, akan songsanglah insan tadi mengharungi hidup ini, celakalah dia di neraka nanti.

Sekiranya naluri ini dipupuk, dan dididik dan dipertingkat ketaqwaannya, natijahnya akan terpancarlah satu keyakinan yang bulat bahawa ALlah sahajalah sumber cipta, ALlah sahajalah yang berhak menerima pengabdian - pengiktirafan uluhiyyah ALlah (Ketuhanan ALlah) secara mutlak dan serba merangkumi.

Uluhiyyah ALlah

Walaupun mereka yang musyrik atau kafir mengetahui dan mungkin mengiktiraf Rububiyyah Yang Maha Pencipta, ini ini tidak menjadikan mereka Muslim selagi mereka tidak mentasydidkan uluhiyyah ALlah semata. Pentasyhidan ini dirumuskan di dalam kalimah syahadah. Contoh jelas fakta ini adalah kedudukan Iblis laknatuLlah. Iblis adalah abid yang paling tinggi pencapaian ubudiyyah dan pengenalan makrifat-Nya, tarafnya meminpin para malaikat. Hakikat bahawa ALlah sahajalah Rab secara mutlak tentulah jelas sekali padanya, tetapi apabila ALlah memerintahkan sujud kepada Adam, ia angkuh dan durhaka. Kata Iblis:

"…Saya lebih baik daripadanya, Engkau ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah."

(Al-'Araf: 12)
Namun begitu, Iblis juga tahu bahawa segala kekuasaan mutlak berada pada ALlah sahaja tanpa sekutu sebagaimana yang tercatit di dalam Al-Quran:

"Iblis menjawab:"Beri tangguhlah saya hingga waktu mereka dibangkitkan."

(Al-'Araf: 14)
Demikianlah Iblis dengan kedurhakaannya, siapakah yang lebih yakin mengenai keEsaan ALlah dan kebenaran RasuluLlah daripadanya di antara kita?

Mungkin alam Iblis adalah alam ghaib, sukar untuk merasakannya, kita juga tidak kurang contoh sikap sedemikian di kalangan anak Adam. Orang-orang Yahudi di zaman RasuluLlah umpamanya mengetahui bahawa ALlah itu Esa dan pasti akan kerasulan Muhammad saw sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri, namun mereka lebih rela menyembah kesombongan dan kebanggaan bangsa dari tunduk patuh menerima uluhiyyah ALlah semata.

"Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) telah Kami berikan Al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, pada hal mereka mengetahui."

(Al-Baqarah: 146)
Ringkasnya, kalimah syahadah ini menuntut tunduk dan patuh, pengiktirafan dan pentasyhidan. Segalanya ini tidak mungkin sempurna tanpa memahami erti kalimah itu sendiri, dan erti kalimah itu mungkin disalah fahami jikalau pengertian 'Ilah' yang terkandung di dalamnya ditanggapi secara tidak tepat.

Erti Ilah

Perkataan Ilah ini diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu kelazimannya sebagai Tuhan. Penterjemahan ini tidak salah, cuma ruang pengaitan perkataan ini di dalam penggunaan dan kefahaman masyarakat agak terbatas. Selain daripada ALlah, perkataan Tuhan ini cuma ditujukan kepada patung-patung berhala dan dewa dewi Hindu dan Cina. Orang Melayu yang beragama Islam tentunya menganggap mereka telah menyempurnakan kehendak dari kalimah syahadah tadi. Ini banyak membebaskan ruang lingkup yang terbiar untuk segala jenis Ilah bermaharajalela, tanpa merasakan aqidahnya mungkin tercemar dan ianya telah terjerumus ke dancah syirik. Ini adalah kerana Ilah-Ilah tidak boleh dijadikan sebagai Tuhan.

Untuk mengelakkan kekeliruan, eloklah kita perhatikan penggunaan perkataan Ilah di dalam Al-Quran:

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan ALlah membiarkannya berdasarkan Ilmu-Nya…"

(Al-Jathiyah: 23)
Di sini kita dapati perkataan Ilah (Tuhan) ditujukan kepada hawa nafsu. Tentulah kita tahu bahawa hawa nafsu itu bukan Tuhan tetapi di sini perkataan Ilah digunakan terhadap hawa nafsu. Pastilah perkataan Ilah ini lebih luas ruang maksudnya dari yang dibataskan oleh penggunaan Tuhan di dalam fahaman biasa.

Perhatikan pula kata-kata Firaun sebagaimana yang tercatit di dalam Al-Quran:

"Firaun berkata:"Sungguh jika kamu menyembah Ilah selain aku, aku pasti menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan."

(As-Syu'ara: 29)
"Dan berkata Firaun:"Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui Ilah bagimu selain aku…"
(Al-Qasas: 38)
Apakah Firaun menganggap dirinya Maha Pencipta? Sedangkan dia tahu yang ianya sendiri dilahirkan. Tentulah penggunaan perkataan Ilah di sini merangkumi maksud yang lebih mencakupi dari erti kata Tuhan. Renungkanlah ayat berikut:

"Mereka menjadikan orang-orang alim mereka, dan rahib-rahib mereka sebagai Rab selain ALlah, dan (juga mereka mempertuhankan ) Al-Masih putera Maryam padahal mereka hanya disuruh menyembah Ilah yang Maha Esa; tidak ada Ilah selain Dia, Maha Suci ALlah dari apa yang mereka persekutukan."

(At-Taubah: 31)
Demikianlah beberapa contoh penggunaan perkataan Ilah di dalam Al-Quran. Perkataan Ilah membawa beberapa maksud yang saling melengkapi. Dalam perbincangan ini ia boleh dibahagi kepada 6 pengertian. 6 bahagian pengertian itu adalah:
  1. Tuhan sebagai penggunaan biasa
  2. Tumpuan atau matlamat pengabdian
  3. Tempat perlindungan
  4. Tumpuan kecintaan
  5. Pemberi rezeki
  6. Sumber perundangan
1. Tuhan -Menurut Kefahaman Biasa

Di sini kalimah syahadah membawa makna tiada Tuhan melainkan ALlah, hakikat yang sama-sama kita maklumi.

"ALlah menyaksikan bahawasanya tidak ada Ilah melainkan Dia. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga mengatakan yang demikian itu). Yang menegakkan keadilan…"

(Ali-Imran: 18)
ALlah sahajalah Tuhan di langit dan di bumi, pendeknya di seluruh alam.

"Dan Dialah Ilah di langit dan di bumi, dan Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui."

(Az-Zukhruf: 84)
Sebagai Tuhan yang tunggal, segala kekuasaan dan penciptaan secara mutlak adalah hak-Nya sahaja.

"Katakanlah: Serulah mereka yang kamu anggap selain ALlah. Mereka tidak memiliki (kekuasaan) sebarat zarah pun di langit mahu pun di bumi. Dan mereka tidak mempunyai saham sedikit pun dalam pencapaian langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu-Nya."

(Saba': 22)
2. Ilah-Tumpuan Pada Matlamat Dan Pengabdian

Dalam erti kata lain, kita mengakui di dalam kalimah syahadah tiada apa pun yang berhak disembah melainkan ALlah azza wajalla sahaja. ALlah sahajalah tumpuan pengabdian kita, tidak yang lain.

"Iaitu kami utuskan kepada mereka, seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri (yang berkata): "Sembahlah (mengabdikan diri kepada) ALlah oleh kamu sekalian. Sekali, tidak ada Ilah selain daripada-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertaqwa."

(Al-Mukminun: 32)
Dan sememangnya jin dan manusia itu diciptakan untuk tujuan pengabdian kepada ALlah, sebagai firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku."

(Az-Zariyat: 56)
Penyembahan dan pengabdian ini dilakukan dengan melaksanakan ibadat kepada ALlah. Perkataan ibadat ini perlu kepada penjelasan supaya tidak disalahfahami pengertiannya, kerana di dalam penggunaan umum, akibat dari proses sekularisasi, perkataan ibadat in telah dikhususkan kepada satu ruang yang sempit, sedangkan kalimah syahadah menuntut supaya ibadat ini terlaksana pada setiap masa, di setiap tempat meliputidan menyerapi setiap aspek dan ruang lingkup insaniyyah. Sebagaimana firman ALlah:

"Sesungguhnya ALlah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan ALlah, lalu mereka terbunuh atau terbunuh."

(At-Taubah: 111)
Singkatnya, inilah kesan daripada kalimah 'LailahailaLlah' iaitu seluruh hidup ini mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada ALlah. Tiada pengabdian dan perkhidmatan yang berdiri sendiri, segala perkhidmatan mestilah terpancar, bersumber tunduk dan tertakluk kepada pengabdian yang mutlak kepada ALlah semata-mata.

Dengan melafazkan tiada Ilah melainkan ALlah, kita menolak segala perkhidmatan yang bertentangan dengan kehendak bahawa ALlah sahajalah tumpuan pengabdian. Ubudiyyah ini cuma dapat dilaksanakan dengan ilmu, ilmu yang sumber asasinya adalah Al-Quran dan Sunnah. Rasa ingin dan timbul keazaman mencari dan mendapatkan ilmu ini adalah akibat langsung dari penyerapan roh kalimah syahadah. Perhatikanlah maksud sabda RasuluLlah saw:

"Barang siapa yang dikehendaki ALlah dengan dia akan kebaikan, maka Dia memahamkan baginya Din."

ALlah telah berfirman:

"Katakanlah, sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah untuk ALlah Tuhan sekalian alam."

(Al-An'am: 162)
"Dan tiada mereka diperintahkan, kecuali menyembah (mentaati) Ilah yang Esa yang tiada Ilah melainkan Dia. Maha Suci (ALlah) dari apa yang mereka sekutukan dengan Dia."
(At-Taubah: 31)
3. Ilah-Tempat Perlindungan

Fikiran yang waras sudah sedia menyakini kenyataan ini, bahawa ALlah sahajalah tempat berlindung secara mutlak. Tidak ada siapa pun yang mampu memberi perlindungan terhadap qudrat dan iradat-Nya. Segala perlindungan yang diberikan oleh mana jua makhluk adalah bersifat sementara dan bergantung terus kepada keizinan-Nya. Ia bebas mencabut keizinan ini bila-bila ketika yang dikehendaki-Nya dan tinggallah insan tadi berpaut pada dahan yang rapuh. Inilah hakikat yang amat ketara sekali, tetapi manusia sering lupa dan mudah lalai terhadap realiti ini. Manusia lebih senang kepada dahan yang rapuh, menyandarkan penghargaan kepada fatamorgana ciptaan Iblis.

"Katakanlah: Aku berlindung pada Rab manusia, Raja manusia, Ilah manusia."

(An-Nas: 1-3)
Dia-lah Rab timur dan barat, tiada Ilah melainkan Dia. Maka terimalah Dia sebagai Pelindung."
(Al-Muzammil: 9)
Bersesuaian dengan hakikat ini timbullah keyakinan bahawa ALlah sahajalah yang mampu memberi kemanfaatan atau kemudaratan. ALlah telah berfirman:

"Mengapa kamu menyembah selain ALlah sesuatu yang tidak dapat memberimu mudarat mahupun manfaat? Padahal ALlah-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

(Al-Ma'idah: 76)
Hasil dari keyakinan yang tersimpul di dalam kalimah syahadah, kita membebaskan diri dari segala pautan ketakutan dan pengharapan yang lain dari ALlah. Akibatnya sebagai contoh, akan terpupuslah rasa gentar untuk melaksanakan perintah-perintah ALlah walaupun berhadapan dengan apa sahaja, baik pemerintah yang durhaka kepada ALlah, atau sistem yang kufur terhadap syariahnya, atau betapa besar pun 'kuasa besar' yang cuba menghalang.

Segala kegagahan, kemegahan dan keperkasaan ini menjadi fatamorgana yang sementara, tak ubah seperti gagahnya patung-patung wayang kulit. Apabila telah selesai permainan, akan terhimpit-himpitlah mereka di dalam peti yang sempit, mungkin yang paling gagah dan megah di bawah sekali tertindas. Sesuailah sikap ini dengan firman ALlah:

"Maka janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Dan agar Ku sempurnakan nikmat-Ku atas mu, dan supaya kamu mendapat petunjuk."

(Al-Baqarah: 150)
Jadilah ALlah, Ilah yang tunggal tempat perlindungan, Zat yang berupaya menenangkan hati dan jiwa insan, menghilangkan segala resah dan gelisah, kerana Dia-lah Pelindung yang mutlak.

Apabila 'LailahailaLlah' telah meresapi jiwa dan hati insan dan telah menguasai setiap detik nadinya, maka terlaksanalah firman ALlah:

Ingatlah, sesungguhnya wali-wali ALlah itu, tidak ada ketakutan pada mereka dan tidak (pula) mereka bersusah hati."

(Yunus: 62)
Selagi masih bersandar harapan kepada yang lain dari ALlah, selagi itulah tuntutan dari kalimah syahadah belum disempurnakan.

4. Ilah-Sebagai Tumpuan Kecintaan

Ilah juga membawa maksud satu Zat yang ghaib dari rabaan panca indera, satu kerahsiaan yang tidak terjangkau oleh pandangan dan fikiran manusia, sesuatu yang menjadi tumpuan kecintaan dan rindu dendam. ALlah adalah satu Zat yang dirindui dan ditujui oleh jiwa insan. Singkatnya, bagi mereka yang benar-benar mempersaksikan 'LailahailaLlah', maka ALlah sahajalah tumpuan kecintaan mereka dan tiada menyamai atau menyaingi kecintaan ini.

"Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri dan kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari ALlah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai ALlah mendatangkan keputusan-Nya. Dan ALlah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (durhaka)."

(At-Taubah: 24)
"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain ALlah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai ALlah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada ALlah. Dan jika seandainya orang yang bebuat zalim itu mengetahui mereka seksa…"
(Al-Baqarah: 165)
Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah yang terhasil dari kecintaan kepada ALlah. Tiada cinta yang lain dapat menodai cinta kepada ALlah ini. Segala cinta kepada yang lain semestinya tunduk dan diarahkan kepada menyempurnakan kecintaan yang mutlak kepada ALlah. Sabda RasuluLlah bermaksud:

"Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, akan merasakan kemanisan dan keindahan iman.

  1. Apabila ALlah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari segala kemanisan.
  2. Apabila seseorang mengasihi seseorang lain kerana ALlah.
  3. Apabila ia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia sekiranya dicampakkan ke dalam api.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Ilah-Pemberi Rezeki

Di sini syahadah menerangkan satu hakikat yang nyata. ALlah sahajalah yang memberi rezeki, para makhluk adalah cuma pembawa dan penyampainya sahaja, bukan sumber dan tidak berupaya menambah atau mengurangkan seberat zarah pun. Inilah hakikatnya, hakikat yang mudah hilang dari pertimbangan apabila kita mengharungi dan menghadapi cabaran dan pancaroba hidup.

"Hai manusia, ingatlah akan nikmat ALlah kepadamu. Apa ada pencipta selain ALlah yang dapat memberimu rezeki dari langit dan bumi. Tiada Ilah selain Dia. Maka di manakah akalmu?"

(Al-Fatir: 3)
Yang dimaksudkan dengan dengan rezeki ialah segala apa yang kita dapati dan perolehi di dunia ini, baik dalam bentuk benda, mahu pun masa atau pun kemudahan juga perkara-perkara seperti kesihatan; singkatnya segala nikmat dan lain-lainnya. Firman ALlah lagi:

"Katakanlah: Bagaimana keadaan kamu jika ALlah mencabut pendengaranmu, dan penglihatan serta menutup kalbumu (akal), apa ada Ilah selain ALlah yang berkuasa mengembalikan kepadamu?"

(Al-An'am: 46)
Dari segi amalannya, menerima ALlah sahaja sebagai Ilah, sebagai pemberi rezeki yang Maha Esa, memberi kita kesedaran bahawa memilih jalan yang tidak diredhai ALlah tidak akan menambah rezeki yang telah ditetapkan untuk untuk kita walau seberat zarah pun. Begitu juga mentaati perintahnya tidak akan mengurangkan rezeki yang telah ditetapkan walau seberat zarah pun. Maka betapa sia-sialah usaha dan ikhtiar yang durhaka kepada ALlah, walaupun syaitan mungkin menjadikannya nampak menarik. Adakah lagi pilihan bagi kita yang beriman melainkan tunduk dan patuh terhadap syariat-Nya?

"…Maka sembah-sembahan mereka selain ALlah itu sedikit pun tiada berguna ketika azab Tuhanmu menimpa. Malah justeru menambah kepayahan mereka."

(Hud: 101)
6. Ilah-Sumber Perundangan

Ilah juga membawa pengertian sebagai Zat yang kepadanya kita rujuk untuk mendapatkan ketentuan baik dan buruk, untuk mendapatkan hukum, di mana keputusannya kita patuhi dan akur, Zat yang berhak untuk menentukan undang-undang. Hak ini timbul terus dari sifat Ilah sebagai sesuatu yang Maha Perkasa, mempunyai kekuasaan yang mutlak dan keagungan yang tidak tertara, serta tanpa bandingan. Inilah yang kita akui sebagai sifat dan hak ALlah semata di dalam kalimah syahadah yang kita ucapkan, ALlah sahajalah tempat perhakiman kita. Kekuasaan ALlah adalah mutlak dan tidak dapat dibahagi-bahagikan. Bersepakat dan bersetuju semua ulama 'Islam bahawa telah kafirlah mereka yang beri'tiqad bahawa ada hukum yang lebih baik, lebih adil, lebih praktikal atau lebih sempurna dari hukum ALlah, atau sesuatu sistem setanding dengan syariat-Nya. ALlah berfirman:

"Barang siapa tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan ALlah, maka mereka itulah orang-orang kafir."

(Al-Ma'idah: 44)
Pengertian Ilah sebagai penentu hukum dapat diperhatikan dari ayat berikut:

"Mereka menjadikan orang-orang alim mereka dan rahib-rahib mereka sebagai rab selain ALlah, dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Ilah Yang Maha Esa; tiada Ilah selain Dia. Maha Suci ALlah dari apa yang mereka persekutukan."

(At-Taubah: 31)
Ketika RasuluLlah saw membaca ayat ini, berkatalah Adi bin Hatim yang dahulunya memeluk agama Nasrani:"Ya RasuluLlah, kami tidak pernah menyembah mereka!". Jawab RasuluLlah, "Tetapi mereka halalkan apa yang diharamkan ALlah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh-Nya dan kamu taati. Dengan demikian kamu sembah mereka."
(Maksud hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Jarir)
Ketentuan mengenai halal atau haram, sah atau tidak, baik atau buruk, boleh atau tidak boleh adalah hak ALlah. Segala sesuatu yang berkaitan dengan persoalan ini mestilah tunduk dan patuh kepada wahyu yang diturunkan ALlah. Undang-undang yang kita iktiraf cuma undang-undang ALlah, atau sesuatu yang bersumber dari undang-undang ALlah atau tidak bertentangan dengan ketetapan ALlah.

"Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain ALlah yang mensyariatkan untuk mereka yang tidak diredhai diizinkan ALlah?"

(Asy-Syura: 21)
Syahadah kita menuntut kita menentang dan membenci segala perundangan yang durhaka kepada ALlah, inilah tanda keimanan. Dengan segala daya dan usaha kita dimestikan berjuang untuk menumbangkan sistem taghut ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Hadis berikut:

"Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran maka hendaklah dia merubah dengan tangannya, apabila tidak kuasa, maka dengan lidahnya, apabila tidak kuasa, dengan hatinya, yang demikian itu selemah-lemah iman."

(Maksud Hadis sahih riwayat Muslim)
Ketaatan kita adalah tehadap ALlah semata, tiadalah kita terikat dengan undang-undang dan akta-akta ciptaan manusia sekiranya ia bertentangan dengan syariat ALlah. Terbatallah syahadah kita sekiranya kita patuh kepada undang-undang taghut!

"Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik dari (hukum) ALlah bagi orang-orang yang yakin?"

(Al-Ma'idah: 50)
Sifat senang dan suka kepada hukum yang lain dari hukum ALlah adalah sifat munafik yang dilaknat ALlah.

"Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengakui dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka:"Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang ALlah telah turunkan dan kepada hukum Rasul, nescaya kamu melihat orang-orang munafik menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu."

(An-Nisa': 60-61)
Perkaitan dengan Sifat dan Asma 'ul Husna ALlah

Apabila kita telah menerima bahasa ALlah sahajalah Ilah secara mutlak, maka wajiblah kita mengetahui sifat-sifat ALlah swt. Sumber pengetahuan untuk ilmu berkaitan dengan aqidah ini, terdapat di dalam Al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Akal manusia cuma mampu untuk mengenali dan mengakui kebenaran ilmu yang diwahyukan, dan bukanlah di dalam kemampuan akal dengan secara tersendiri mendapatkan hakikat sifat-sifat ALlah secara sempurna, di sini akal memerlukan petunjuk wahyu.

Untuk membulatkan lagi keyakinan kita dan untuk meningkatkan lagi iltizam kita kepada keseluruhan maksud dan kesan dari kalimah syahadah, perlulah kita banyak bertafakkur terhadap Asma 'ul Husna ALlah swt. Perlu diingatkan di sini bahawa enam penegrtian dari pengolahan maksud dan kesan perkataan Ilah diketengahkan di sini adalah dalam rangka untuk memudahkan perbincangan, bukanlah ia bertujuan untuk membataskan maksud-maksud dan kesan-kesan yang terkandung di dalam Asma 'ul Husna. Bertafakkur terhadap Asma 'ul Husna akan membukakan hati kepada kefahaman yang lebih mendalam terhadap Uluhiyyah dan Rububiyyah ALlah swt. secara mutlak, tanpa sekutu dan tanpa bandingan.

Dalam persoalan fiqh, di dalam keadaan-keadaan tertentu kita dibolehkan bertaqlid kepada imam yang mujtahid, tetapi di dalam persoalan aqidah, ini tidak mungkin, setiap individu perlu menyakinkan diri terhadap aqidah yang dipegangi secara ikhlas.