Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Rabu 21 Januari 1998 22 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

Di antara McDonald's dan gerbang UM

PTO Menulis

SURAT warga England yang pernah berkhidmat di Malaysia pada tahun 50-an yang disiarkan sebuah akhbar tempatan membawa ke persoalan yang jika tidak dibawa ke tengah mungkin dilupakan saja. 'Unhappy over fast food restaurant at UM' (NST, Jan 12, 1998) menarik perhatian mengenai restoran 'hamburger' McDonald's dekat pintu gerbang masuk ke UM di depan bangunan fakulti undang-undang yang baru.

Sebenarnya isu restoran itu, dengan papan tanda logo McDonald's tersergam di pintu masuk kampus UM dekat Masjid al-Rahman memang menarik perhatian, tetapi tidaklah menjadi isu besar. Ramai yang ketawa kerana takut UM lebih dikenali dengan panggilan universiti McDonald's daripada Universiti Malaya, sesuatu yang juga dibangkitkan dengan nada serius oleh penulis surat terbabit.

Sebagai seorang yang menganggap UM sebagai sebahagian daripada hidupnya, saya kurang selesa dengan lokasi restoran McDonald's dekat pintu masuk ke UM. Kehadiran restoran makanan segera di UM tidak salah, asalkan diletakkan bersama gerai lain di Perdana Siswa, ataupun di kantin dalam bangunan fakulti. Lagipun kehadiran restoran seperti itu dapat meningkatkan lagi pendapatan UM yang sudah dikorporatkan dan saya percaya mahasiswa UM juga mengalu-alukannya.

Tetapi saya ingin melihat isu itu lebih jauh daripada kehadiran McDonald's di UM saja, kerana ia menyentuh soal memperdagangkan pendidikan, iaitu salah satu cara globalisasi tajaan Barat mencengkam hegemoninya terhadap kita. Daripada nada surat itu, kita boleh mengagak penulis dari Barat itu sendiri tidak menyukai peranan syarikat makanan segera itu.

Kata-kata: "Tentacles of the American multinational corporations have at last breached the once inviolable walls of the universities (sesunguhnya syarikat multinational Amerika akhirnya berjaya menembusi tembok universiti yang suatu ketika dulu keramat)." Membawa pengertian lebih daripada membawa makanan segera ke universiti. Penulis mengaku bukan semua orang bersetuju dengan pandangannya, dan dia mungkin dianggap seorang yang terpisah daripada realiti masa kini, kerana pandangannya terhadap pendidikan mengasuh anak muda mungkin sudah 'out of fashion'. Tetapi sentimennya tidak boleh dikesampingkan kerana ada benarnya.

Sebenarnya, berlaku perbahasan antara golongan yang mengikuti jejak badan korporat yang mengejar pasaran mencari untung dalam bidang pendidikan dengan golongan yang mempertahankan pendidikan sebagai tanggungjawab sosial membentuk insan dan memperkaya peradaban manusia. Walaupun dalam perbahasan seperti ini jalan tengah dicari, namun konflik tidak dapat dielakkan, kerana badan korporat dan badan pendidikan mempunyai fungsi, nilai dan misi berbeza.

Seperti kata seorang ahli akademik di State University of New York: "Akademia dan bisnes mempunyai tujuan dan keutamaan berbeza. Matlamat akademia adalah mencari 'kebenaran' melalui penemuan dan penyebaran prinsip ilmu umum. Garisan dasar bagi bisnes memburu keuntungan melalui pembangunan dan penyampaian barangan yang boleh dijual," (Di petik oleh Norman E. Bowie, "The clash Between Academic Values and Business Values" dalam Business and Professional Ethics Journal, Vol. 12, No. 4).

Di Amerika Syarikat, pusat proses globalisasi yang melanda dunia dalam pelbagai wajah, termasuk pendidikan, persoalan ini sejak lama menjadi isu, tetapi dengan kekuatan yang ada pada golongan korporat menjadi penggerak aktif aliran globalisasi, banyak institusi pendidikan tinggi akhirnya tunduk dan akur kepada perkembangan itu. Harvard, sebuah universiti terkemuka tidak terkecuali daripada aliran ini, seperti pengakuan salah seorang sarjananya, Derek Bok, universiti itu secara agresif memodali kesempatan memperdagangkan universiti (dalam makalah sama).

Namun menurut makalah itu, Bok menukar pandangan serta pendiriannya kemudian apabila katanya: "Jika universiti dilihat sebagai usaha komersil, pemegang sahamnya mungkin menukar corak hubungan mereka dengan universiti, sesuatu yang boleh merugikannya."

Makalah itu menggariskan beberapa kerugian dialami universiti atau pendekatan akademik apabila dikomersilkan: Permintaan berlebihan dari segi teknologi dan pelahiran teknologis dan saintis kerana lebih senang 'menjualnya' bagi mendapat pulangan berlebihan daripada industri dan pembangunan berkemungkinan mengabaikan 'basic research' dan 'liberal education'. Objektiviti atau pendekatan tanpa dipengaruhi oleh perkiraan perasaan atau emosi yang selama ini menjadi batu asas penyelidikan dan pendekatan akademik berkemungkinan dihakis kerana didorong nilai untung yang utama. Dari segi ini nilai kegunaan sesuatu atau yang dicari lebih ulung daripada meluaskan ufuk ilmu pengetahuan.

Banyak lagi yang dibangkitkan makalah itu, tetapi perlu diperhatikan ia sekadar melihat bagaimana komersilisasi tidak secocok dengan institusi seperti universiti, tetapi adalah satu 'norm' atau yang dijangkakan pada dunia perdagangan atau korporat. Sebaliknya, apabila pelakuan korporat dikenakan kepada universiti, ia menghakis norma dan nilai asas dunia akademik.

Dalam alam universiti, dekan dan ketua jabatan adalah pemimpin dalam bidang ilmu masing-masing. Bukan bermakna tidak terbatas apa yang hendak diajar atau diselidiki di universiti. Universiti bukan badan yang tidak organik, walaupun terbahagi kepada pelbagai ilmu, ia tetap satu organisme yang disatukan oleh ideal yang satu. Dengan berpandukan permintaan masyarakat, kerajaan juga pasaran, komuniti akademik di universiti mesti menghasilkan penawaran organisasi ilmu dengan mengadun sebaik mungkin, dari segi akademik dan permintaan.

Senario yang boleh digambarkan apabila universiti dikomersilkan ialah pencarian sumber pendapatan yang boleh didapati daripada universiti. Seperti di Amerika, ia tidak bermula dengan perkongsian antara universiti dengan dunia perniagaan pada 80-an. Ia bermula lebih awal apabila universiti menerima kontrak kerajaan dan syarikat swasta bagi pengeluaran alat peperangan dan pengetahuan yang bersangkutan konflik ideologi Timur-Barat. Ia bermula daripada penukaran kesarjanaan kepada penyelidikan berorganisasi menyerupai kilang - menyebabkan penjelmaan beribu-ribu professor daripada guru dan sarjana kepada usahawan."

Isu logo McDonald's dan restorannya dekat pintu masuk ke kampus UM mungkin bukan isu besar, tetapi dari segi simboliknya, ia mewakili satu perubahan besar, bukan saja kepada dunia akademik, tetapi kepada budaya masyarakat kita.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]