Make your own free website on Tripod.com

 

Ancam sekatan dagang -- Akibat dikatakan menentang persetujuan WTO

WASHINGTON 17 Dis. - Amerika Syarikat, yang jelas tidak puas hati dengan tawaran Malaysia kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berkaitan perkhidmatan kewangan, merancang untuk mengenakan sekatan dagangan terhadap Malaysia jika negara itu memaksa sebuah firma insuransnya menjual kepentingannya di Malaysia.

Firma insurans gergasi, American International Group Inc. (AIG), telah menentang cadangan Malaysia pada WTO untuk membataskan pemilikan asing kepada 51 peratus. Ia bertegas mahu memegang ekuiti 100 peratus dalam kepentingan operasinya di Malaysia.

Seorang pegawai pentadbiran Clinton, yang tidak mahu namanya disebut, berkata bahawa sekatan akan dikenakan ke atas Malaysia sebaik sahaja tawaran Malaysia itu berkuat kuasa pada 1999.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut bentuk sekatan yang akan dikenakan ke atas Malaysia, tetapi berkata bahawa Amerika akan terus ''mencari jalan penyelesaian secara baik dengan Malaysia''.

Perjanjian WTO yang dicapai di Geneva pada 13 Disember dan disertai oleh 102 negara itu akan membuka pasaran perbankan, insurans dan sekuriti. Ia akan meliputi kira-kira AS$18 trilion dalam aset sekuriti sejagat, AS$38 trilion dalam pinjaman bank sejagat dan kira-kira AS$2.5 trilion dalam premium insurans sedunia.

Perjanjian itu dijadual disahkan menjelang hujung Januari 1999 dan akan berkuat kuasa pada Mac tahun itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata di Kuala Lumpur bahawa had pemegangan ekuiti sebanyak 51 peratus yang dikenakan terhadap kepentingan asing adalah lebih baik daripada had 49 peratus yang ada sekarang.

Beliau berkata bahawa tawaran Malaysia terhadap sektor insurans telah diterima oleh negara-negara anggota WTO.

Pegawai Amerika itu berhujah balas bahawa walaupun negaranya menerima tawaran Malaysia itu, ia tidak bermakna bahawa Washington bersetuju dengan Malaysia berkaitan persoalan itu.

Selain daripada had 51 peratus itu, Amerika juga tidak puas hati dengan had 30 peratus terhadap kemasukan pelaburan asing baru ke dalam pasaran insurans Malaysia, yang disifatkan oleh Washington sebagai ''jauh lebih rendah daripada standard yang ditetapkan oleh negara lain.''

Selain daripada itu, Amerika menganggap tawaran Malaysia sebagai tidak menarik kerana batasan yang dikenakan ke atas anak syarikat asing sedia ada dan anak syarikat yang baru.

Sementara itu, Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Charlene Barshefsky, berkata bahawa amalan ''cantasan yang dipaksakan'' seperti yang dilakukan oleh Malaysia ''tidak dapat diterima dan tidak konsisten sepenuhnya'' dengan ciri-ciri pembukaan pasaran mengikut perjanjian character WTO.

''Kita telah dengan tegas menggesa Malaysia supaya memberhentikan amalan memaksa pengurangan pemegangan ekuiti oleh syarikat asing di Malaysia,'' Barshefsky berkata pada Sabtu lalu.

Sambil mengakui bahawa Malaysia telah membuat sedikit konsesi dalam sektor insurans, Barshefsky berkata bahawa dasar Malaysia ''merupakan satu risiko dan ancaman kepada penginsurans asing, termasuk dari Amerika Syarikat.'' - Bernama.