Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
 

Dua rumah musnah dalam kebakaran

POKOK SENA (Kedah), Rabu - Dua rumah, masing-masing milik pengetua Sekolah Agama Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, di sini dan menantunya, musnah dalam kebakaran yang hampir menyambar beberapa bangunan sekolah itu, petang ini. 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, rumah Niamat Yusoff, 57, dan menantunya, Ali Rejab, 35, musnah sama sekali, dipercayai berpunca daripada litar pintas. 

Kejadian itu menyebabkan kira-kira 600 pelajar sekolah bertungkus-lumus menyelamatkan buku dan harta benda pejabat pentadbiran sekolah yang hanya kira-kira tiga meter dari rumah terbabit. 

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. 

Niamat berkata, ketika kejadian, beliau berada di rumah seorang daripada pengajar sekolah, kira-kira 50 meter dari rumahnya. 

"Tiba-tiba seorang pelajar datang memberitahu rumah saya dan menantu saya sudah terbakar...saya bergegas pulang tetapi mendapati sebahagian daripada rumah sudah dijilat api yang bermula dari rumah menantu saya. 

"Bagaimanapun, lima anak saya berusia antara 11 hingga 20 tahun dan Ali serta lapan anggota keluarganya berjaya menyelamatkan diri. 

"Saya sendiri sempat menyelamatkan dua kotak kitab agama yang baru tiba dari Syria manakala berpuluh-puluh lagi kitab agama dalam sembilan almari musnah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini. 

Menurutnya, kerugian dianggarkan kira-kira RM150,000. 

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, bomba yang menerima panggilan jam 2.03 petang menghantar dua jentera dari Alor Star dan sebuah dari Jitra dengan 21 anggota ke tempat kejadian. 

Selain itu, mereka turut menerima bantuan daripada dua pasukan bomba sukarela, masing-masing dari Bukit Pinang, Kepala Batas dan pekan Pokok Sena. 

"Bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh kira-kira 10 minit," katanya. 

Sekolah agama itu ditubuhkan pada 1981 melalui bantuan individu dan pelbagai pihak. Ia menawarkan pengajian agama bagi murid Tahun Satu hingga Tingkatan Enam. 

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]