Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Rabu 7 Januari 1998 8 Ramadan 1418
Alhamdulillah Kita Berpuasa

Mengukuh umatisasi untuk mendepani globalisasi

MENJELANG abad mendatang, umat Islam mendepani cabaran yang amat sengit dalam pelbagai bidang dan lapangan. Cabaran alaf baru tidak saja menyentuh hal akidah dan akhlak umat, tetapi sekali gus menyentuh arah aliran ekonomi, politik, teknologi, sistem maklumat dan media, pemikiran dan kebudayaan. Sejak berakhirnya Perang Dingin berbentuk ideologi, perimbangan kuasa dunia menjadi sepihak iaitu bertambah dominannya pengaruh Barat khususnya Amerika Syarikat terhadap kuasa lain khususnya Islam Globalisasi yang menjadi agenda utama dengan terancang dan kesannya bukan saja dirasakan oleh kuasa Asia tetapi juga negara umat lslam. Timbalan Rektor UIA, DR SIDEK BABA mengulas.

GLOBALISASI atau proses pensejagatan bukanlah berlaku secara kebetulan. Ia perancangan rapi dan sistematik kuasa Barat terhadap faktor di luar lingkungannya yang dilihat mempunyai potensi mencabar penjajahan bentuk baru atau mempunyai potensi untuk bangun sebagai kuasa ekonomi atau ideologi yang bakal menggugat dominasi mereka. Nahdah Asia (Asian Renaissance) yang boleh mewujudkan perimbangan bentuk baru dalam percaturan ekonomi dan ideologi dilihat sebagai cabaran baru selepas runtuhnya sistem Komunis di Russia, China dan juga Eropah Timur.

Globalisasi ialah proses jangka pendek dan panjang bagaimana kuasa besar dan sekutunya bertekad meletakkan kuasa lain khususnya umat Islam dalam belenggu mereka. Oleh itu diwujudkan pelbagai mekanisme atau cara supaya negara Asia tunduk kepada kemahuannya dan negara umat Islam sentiasa lemah dalam politik adu-dombanya.

Dilema umat Palestin mendepani bangsa Yahudi di Israel, terasing dan tertekannya Iraq mendepani pasukan penyiasat senjata, tebalnya faham sekular rejim Turki menghalang minat baru terhadap Islam dan semakin seriusnya krisis kewangan dan ekonomi yang menimpa sebahagian negara Asia adalah beberapa bukti yang jelas mengenai sikap adu-domba kuasa besar terhadap negara Dunia Ketiga.

Globalisasi, walaupun kesannya amat besar kepada umat Islam, tetapi ia semacam disepakati sedang berlaku dan menjadi kebimbangan banyak pihak. Globalisasi datang bersama agenda politik, ekonomi, kebudayaan, pemikiran dan juga rangkaian sistem maklumat. Dari sudut politik, kuasa Barat menginsafi kebangkitan bangsa Asia khususnya umat Islam boleh menggugat status dan dominasi mereka.

Francis Fukuyama dengan buku The End of History meletakkan Kuasa Besar sebagai satu-satunya yang terunggul. Samuel Huntington dalam artikel Clash of Civilisation cuba menukilkan kebimbangan terhadap kuasa alternatif China dan Islam serta JD Naisbitt dengan Asian Renaissance memperlihatkan kecenderungan Kebangkitan Semula Asia dengan meletakkan tumpuan kepada kebangkitan China.

Pemikiran seperti itu memperlihatkan keresahan Barat terhadap cabaran orde baru dunia yang meletakkan agenda globalisasi bersifat hala Barat atau Western-Centric.

Hal yang sama berlaku dalam bidang ekonomi. Pertumbuhan asas fundamental ekonomi yang menggalakkan di sesetengah negara Asia dan aliran baru yang bersifat model alternatif yang berlaku di sesetengah negara umat Islam menyebabkan kuasa Barat menjadi cemas dan melakukan manipulasi ekonomi untuk memaksa negara yang bermasalah dalam bidang ekonomi dan kewangan tunduk kepada tawaran dan peraturan pinjaman Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang ditunjangi Amerika Syarikat.

Mutakhir ini keupayaan kuasa besar dalam bidang penyebaran maklumat begitu dominan.

Kekuatan teknologi sangat terbuka menerusi kecanggihan sistem komunikasi dan telekomunikasinya menyebabkan kuasa dan negara kecil yang belum maju atau yang sedang membangun bergantung kuat terhadap mereka. Industri maklumat yang mereka bangunkan dengan kekuatan teknologi dan jaringannya dalam banyak hal tidak selari dan senafas dengan cita rasa budaya, pemikiran dan nilai setempat.

Umat lslam amat menginsafi tradisi keagamaan yang didukung tidak menolak kepentingan teknologi terutama yang bermanfaat kepada manusia.

Dalam konteks teknologi maklumat, isu yang berbangkit adalah kandungan atau perisiannya. Umat Islam hanya meletakkan dirinya sebagai umat pengguna dan corak pemikiran dan pengetahuan yang diterima tidak datang daripada khazanah sumber sendiri sebaliknya daripada orang lain. Ia menyebabkan wujudnya kesinambungan penjajahan pemikiran dan kegagalan umat untuk melepaskan diri daripada belenggu yang mencengkam.

Proses pemodenan masa lalu di Barat banyak dijadikan model oleh bangsa dan negara yang baru melepasi belenggu penjajahan sejak setengah abad lalu khususnya bagi Asia.

Selepas Perang Dunia Kedua secara beransur-ansur aliran pascamodenisme mengambil tempat dalam struktur kekeluargaan dan kehidupan di Barat menyebabkan tempiasnya dirasakan oleh negara sedang membangun.

Di antara ciri aliran itu ialah penolakan tradisi hirarki (susun atur) dan autoriti (wibawa/sumber). Ia cenderung mewujudkan elemen anarki (radikal) yang menolak batas nilai, keperluan agama, adat kelaziman dan tradisi. Agama tidak lagi menjadi pedoman hidup mereka. Mereka mencipta tuhan baru yang namanya teknologi, sains dan sebagainya. Hal ini menepati ungkapan seorang ahli falsafah Barat bernama Nitzche iaitu God is dead atau 'Tuhan sudah mati'.

Kesan yang amat ketara terhadap aliran ini ialah runtuhnya sistem kekeluargaan di Barat dan munculnya kecenderungan baru dalam dunia penyelidikan kejuruteraan iaitu kejuruteraan genetik (genetic engineering).

Pola kehidupan baru berkembang seperti amalan gayisme dan lesbianisme dan faham ibu tunggal dan bapa tunggal dalam struktur kekeluargaan. Akibatnya tradisi hirarki dalam kekeluargaan semakin pupus dan autoriti agama tidak lagi dijadikan sumber rujukan terhadap nilai dan kehidupan. Aliran ini masuk perlahan-lahan ke dalam masyarakat kita.

Isu pengklonan umpamanya tidak hanya terbatas dalam teknologi tumbuh-tumbuhan dan haiwan tetapi menjangkiti genetik insan. Ia tidak saja mencabar autoriti tetapi memberi kesan kepada hirarki zuriat, keturunan, kekeluargaan dan pendidikan secara anarkis.

Konsep globalisasi perlu diberikan alternatif. Oleh kerana matlamat hidup kita dalam Islam ialah ke arah pembinaan umat terbaik (khaira ummah), umatisasi (pengumatan) perlu menjadi agenda utama kita.

Umatisasi bermaksud suatu proses membangun dan memajukan umat Islam berasaskan acuan yang fitrah sifatnya. Fitrah pembangunan menumpu kepada pembangunan insan. Pembangunan insan memberikan fokus kepada aspek dalamannya.

Kekuatan insan yang terbangun secara holistik mampu membangunkan sekitarnya.

Di antara faktor hirarki dalam pembangunan masyarakat bertitik tolak dengan pembangunan keluarga.

Keluarga Islam yang ummatik mestilah dibangunkan dengan nilai tauhid, model teladan dan kekuatan ilmu supaya tunjangan tauhid mampu membina tasawur yang sempurna, model teladan menjadi penyuluh kehidupan dan kekuatan ilmu mengaturkan kehidupan berasaskan syariat.

Umat Islam mempunyai tiga kekuatan utama. Pertama agama (ad-din) dan tamadun silamnya. Kedua jumlah penduduk melebihi satu bilion yang jika dibangunkan mampu membentuk kumpulan sumber tenaga manusia yang besar dan ketiga sumber hasil bumi yang kaya dan banyak.

Ketiga-tiga kekuatan itu sekiranya direfleksi kembali dalam konteks pembangunan ilmu dan ketrampilan di samping upaya strategik yang menuntut kebijaksanaan, umatisasi boleh menjadi kenyataan secara jangka panjang.

Sejarah peradaban manusia membuktikan sumbangan Islam dalam pelbagai bidang, bermula dengan keteguhan sistem sosialnya sehingga kepada kecemerlangan ilmu sains dan teknologinya. Umatisasi menuntut setiap umat Islam insaf bahawa globalisasi dalam konteks 'globeless' (dunia tanpa sempadan) boleh menghancurkan hirarki dan autoriti Islam itu sendiri.

Oleh itu, ulama, ilmuwan dan cendekiawan Islam mesti mampu menyatukan diri dan menanggapi umatisasi adalah suatu jihad besar menyelamatkan umat Islam dan umat manusia daripada bencana keruntuhan akhlak dan menjadikan kebendaan dan nafsu-nafsi sebagai matlamat kehidupan.

Salah satu jihad utama ulama kini ialah mengislamkan kembali disiplin ilmu yang pelbagai serta aspek teknologi dan pengurusan supaya ia tidak hanya berkembang dalam tahap nilai guna semasa (utilitarian) tetapi mestilah bertunjangkan sistem nilai Qurani. Pendidikan agama tidak hanya dalam batas peribadatan khusus semata tetapi bagaimana penghayatan ibadah khusus dapat diterjemahkan secara menyeluruh dalam mencarakan sistem hidup yang Islami.

Pembangunan teknologi maklumat dan multimedia adalah suatu agenda globalisasi yang amat nyata.

Mendepani isu ini memerlukan pendekatan proaktif berasaskan upaya strategik yang menuntut ketrampilan operasional yang akhirnya menjadikan model Islam sebagai model terbaik untuk umatisasi dan juga umat manusia.

Kebimbangan di kalangan umat terhadap kesan negatif pengaruh teknologi dan industri maklumat serta multi media adalah sesuatu yang wajar tetapi ia akan menjadi tidak wajar sekiranya umat Islam terus reaktif tanpa upaya strategik membangunkan sumber daya manusia yang mampu menawarkan perisian-perisian yang bertunjangkan model Islami yang kreatif.

Umatisasi yang mampu mendepani globalisasi seharusnya berasaskan upaya reflektif terhadap kekuatan dan keunggulan silam Islam yang terbukti mampu membangunkan tamadun contohan tetapi dalam masa yang sama ilmuwan Islam harus bijak mengambil manfaat daripada faktor berbanding di luar lingkungan budayanya bagi mengukuhkan budaya kekenalan (litaarafu) dalam erti kata yang luas.

Umatisasi tidak boleh berlangsung dalam situasi pemencilan dan pengasingan.

Umatisasi hanya boleh berlaku dan praktikial jika umat bersifat partisipatif dan strategik terhadap faktor dalam lingkungan dan kepada faktor di luar lingkungan mereka.

Upaya strategik ini harus mampu diterjemah dalam dimensi yang lebih luas supaya umatisasi tidak hanya bersifat retorika tetapi dikerjakan dengan tekun dan dilakukan secara bijaksana.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]