Make your own free website on Tripod.com

 

Jangan tarik subsidi -- Barang kawalan: Semua pihak minta kerajaan tolak nasihat IMF

KUALA LUMPUR 17 Jan. _ Pelbagai pihak hari ini meminta kerajaan menolak cadangan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) supaya Malaysia menghentikan kawalan ke atas harga barang keperluan asas dan membiarkannya ditentukan oleh kuasa pasaran.

Mereka berpendapat, cadangan IMF itu boleh menyebabkan harga barang kawalan seperti gula, tepung, beras, susu dan minyak petrol melambung lebih tinggi berbanding sekarang, terutama sekali barang-barang yang disubsidi oleh kerajaan.

Kata mereka, ini kelak akan membebankan rakyat.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Prof. Hamdan Adnan berkata, cadangan IMF itu tidak wajar diterima kerana ia bermakna tiada lagi subsidi kerajaan ke atas barangan itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan harga barang kawalan akan naik mendadak jika harganya ditentukan oleh kuasa pasaran.

''Jika keadaan itu berlaku, kejadian buruk seperti rusuhan boleh berlaku apabila rakyat tidak mampu mendapatkan barang-barang keperluan asas,'' katanya.

Beliau percaya, pucuk pimpinan kerajaan mampu menilai kebaikan dan keburukan cadangan IMF tersebut.

 Hamdan mengulas saranan Pengarah

Urusan IMF, Michel Camdessus semalam yang mencadangkan kerajaan Malaysia menilai semula polisi kawalan harga ke atas petrol dan barangan keperluan asas termasuk beras, tepung, susu dan gula.

Menurut Camdessus, campur tangan kerajaan dalam penentuan harga barang perlu dikaji semula termasuk kemungkinan menghapuskannya.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Zainal Rampak berkata, cadangan IMF itu boleh memberi implikasi buruk terhadap kadar inflasi di negara ini.

Beliau yakin jika cadangan itu dilaksanakan, pihak-pihak tertentu akan mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati dengan memberi pelbagai alasan termasuk hak mereka menentukan harga.

''Kerajaan perlu mengkaji secara teliti cadangan IMF itu bagi memastikan harga barang kawalan terus stabil serta tidak membebankan pengguna,'' katanya.

Prof. Madya Supiah Ali dari Jabatan Analisis Ekonomi dan Dasar Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula menegaskan, IMF tidak wajar mencampuri urusan perniagaan di negara ini kerana peranan badan itu hanya memberi bantuan kewangan kepada negara-negara yang memerlukan.

Beliau berpendapat kerajaan tidak perlu mendengar cadangan IMF yang ''tidak mempunyai apa-apa kepentingan di negara ini''.

Katanya, dasar-dasar sedia ada wajar diteruskan bagi menentukan harga barang keperluan terus terkawal termasuk memberi subsidi kepada para pengilang dan pengeluar.

Timbalan Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Manan berkata, barang kawalan merupakan barang keperluan asas dan mustahak bagi rakyat.

''Kerajaan patut mengawal harga kerana jika harga barang-barang tersebut ditentukan oleh pasaran maka ia akan melambung naik,'' katanya yang mewakili 800,000 kakitangan awam di Malaysia.

Menurut Abdul Rahman, jika harga barang itu meningkat terlalu tinggi, yang paling terjejas ialah golongan berpendapatan rendah.

Beliau menegaskan, kerajaan boleh menerima cadangan-cadangan baik IMF tetapi jika saranan itu membebankan rakyat ia harus dielakkan.

Sementara itu, Bendahari Biro Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Said Anuar Said Ahmad terkilan kerana institusi kewangan multilateral antarabangsa itu mengemukakan cadangan yang tidak logik untuk diterima dalam konteks negara ini.

''Kedudukan harga barang keperluan sekarang masih pada tahap yang rendah walaupun Malaysia kini menghadapi masalah krisis kejatuhan mata wang.

''Pada saat-saat genting ini, kerajaan wajar terus mengawal harga barang keperluan,'' katanya.