Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online

Tidak wajar naik harga di kantin

KUALA LUMPUR, Rabu - Majlis Muafakat Pembangunan (MMP) membantah cadangan Persatuan Penyelenggara Kantin Sekolah Malaysia (Ascom) untuk menaikkan harga jualan makanan di kantin sekolah sehingga 100 peratus.

Pengerusi MMP, Mohd Azmi Abdul Hamid, dalam kenyataannya hari ini berkata kenaikan harga makanan di kantin sekolah tidak wajar kerana ia membebankan ibu bapa, terutama golongan berpendapatan rendah.

Katanya, purata perbelanjaan harian pelajar sekolah iaitu RM1.50 hingga RM2 di bandar dan 50 sen hingga RM1 di luar bandar, tidak mencukupi untuk membiayai kenaikan harga itu.

Semalam, Presiden Ascom, William Huee Thing Hoa, mengumumkan kira-kira 10,000 ahli persatuan akan menaikkan harga makanan di kantin sekolah sehingga 100 peratus tidak lama lagi.

Kenaikan itu dikatakan meningkatkan harga makanan seperti karipap yang naik kepada 30 sen hingga 40 sen berbanding sekarang, 10 sen hingga 20 sen manakala harga seketul ayam pula ialah RM2 hingga RM3 berbanding sekarang, RM1.50.

Katanya, kenaikan itu bertujuan mengelakkan ahlinya daripada gulung tikar berikutan harga makanan di kantin sekolah tidak pernah dinaikkan sejak 10 tahun lalu serta keadaan ekonomi negara semasa.

Menurutnya, kos pengendalian kantin naik 100 hingga 200 peratus setiap tahun dan pengusaha perlu membayar pelbagai yuran sehingga RM500 walaupun beroperasi enam bulan setahun.

Mohd Azmi berkata, tekanan kenaikan bahan mentah tidak bermakna semua jenis makanan perlu dinaikkan oleh Ascom sewenang-wenangnya yang menuntut sehingga 100 peratus daripada harga semasa.

"Keadaan ekonomi negara tidak dapat diterima sebagai alasan kukuh untuk menuntut harga semua jenis makanan dinaikkan," katanya.

Sementara itu, di KUANTAN, kerajaan Pahang mahu ahli Ascom mengkaji semula persetujuan untuk menaikkan harga semua jenis makanan di kantin sehingga seratus peratus kerana ia bukan saja membebankan pelajar, malah boleh menjejaskan perniagaan mereka.

Menteri Besar, Tan Sri Mohd Khalil Yaakob, berkata kenaikan harga makanan sehingga 100 peratus terlalu tinggi dan membebankan pelajar.

Ascom perlu membuat kajian mendalam sebelum menaikkan harga makanan di kantin sekolah," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan negeri, di sini, hari ini.

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]