Make your own free website on Tripod.com

Berita Harian Online

Serbuan tidak jejas pelancong

JIKA tidak kerana serbuan pihak berkuasa malam itu, Ngatimah mungkin sudah membunuh diri kerana tidak sanggup lagi bergelumang dengan kegiatan keji itu. Sekurang-kurangnya, dia kini terlepas daripada noda walaupun terpaksa ditempatkan di kem tahanan kerana masuk ke Malaysia tanpa dokumen yang sah. Ngatimah masuk ke Malaysia secara haram Mei lalu untuk mencari rezeki halal bagi menyara keluarga di kampung. Tetapi, dia termakan pujuk rayu seorang lelaki yang kemudian menjualnya kepada pengusaha pusat hiburan di Kuala Lumpur. Sejak itu, dia menjadi pelayan tanpa dibayar gaji, walaupun tugasnya bukan sekadar melayan pelanggan minum, malah nafsunya sekali.

Itu cerita gadis desa dari Jawa Timur. Mujurlah ada operasi bersama pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, polis dan Jabatan Imigresen, jika tidak Ngatimah mungkin masih lagi terjerat dalam kegiatan hina itu. Setidak-tidaknya, serbuan yang dibuat terhadap pusat hiburan yang melanggar peraturan itu berjaya menyelamatkan seorang gadis malang. Mungkin juga tanpa disedari, serbuan yang dibuat sebelum ini sudah menyelamatkan ramai wanita dan gadis seperti Ngatimah.

Sebenarnya, kita bercerita soal Ngatimah kerana ia ada kaitan dengan teguran seorang menteri baru-baru ini yang tidak bersetuju terhadap tindakan pihak berkuasa tempatan membuat serbuan ke atas pusat hiburan malam, terutama di Kuala Lumpur. Beliau mendakwa langkah itu bukan saja boleh menjejaskan usaha penggalakan pelancongan ke negara ini, malah memberi kesan negatif terhadap imej negara kerana tempat itu dikunjungi ramai pelancong asing.

Kita agak terkilan dengan teguran ini, terutama ia datang daripada seorang menteri senior. Kita faham apa yang dimaksudkan beliau, tetapi undang-undang tetap undang-undang dan ia perlu dikuatkuasakan bagi menjamin pengusaha pusat hiburan lebih berdisiplin serta mematuhi peraturan. Mungkin ramai tidak menyedari pusat hiburan yang mempunyai lesen yang sah paling banyak menyalahi peraturan kerana mereka berselindung di sebalik lesen berkenaan. Bagi pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen, mereka ini memang sudah sah bergiat secara haram dan wajar dikenakan tindakan.

Kita sepatutnya menyokong usaha pihak berkuasa berkenaan kerana tindakan mereka selaras dengan undang-undang. Tidak ada sebab bagi mereka menyerbu pusat hiburan sesuka hati tanpa usul periksa. Kita pasti DBKL dan pihak berkuasa lain mempunyai bukti dan maklumat yang mencukupi sebelum membuat serbuan. Cuma kadang-kadang ada pengkhianat yang membocorkan rahsia menyebabkan serbuan yang dibuat gagal.

Dalam kebanyakan serbuan di pusat hiburan, tindakan yang diambil ialah menyita peralatan kerana beroperasi tanpa lesen dan membuka perniagaan melebihi waktu ditetapkan, menahan gadis bawah umur yang bekerja di situ atau berada dalam kawasan itu, selain menahan warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau menyalahgunakan pas lawatan dengan bekerja di pusat hiburan berkenaan. Pihak berkuasa agama pula menahan mereka yang terbabit dalam kegiatan maksiat. Semua itu dibuat mengikut undang-undang dan bukan sesuka hati. Mereka tahu kebanyakan pusat hiburan seperti itu mempunyai 'kaki pukul' masing-masing dan tidak ada sebab bagi mereka sengaja mencari nahas.

Lihat saja apa yang berlaku kepada Ketua Pengarah DBKL, Datuk Noordin Razak, yang diugut dan diancam bunuh, malah rumahnya dilontar bom api kerana tindakan tegasnya terhadap pusat hiburan yang melanggar undang-undang dan peraturan ditetapkan. Begitu juga nasib Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perbandaran, Setinggan Selangor, Datuk Fuad Hassan, yang keselamatannya serta keluarga diancam akibat tindakan tegas beliau terhadap pengusaha pusat hiburan haram.

Satu lagi dakwaan menteri berkenaan yang menjadi tanda tanya kepada kita ialah benarkah serbuan itu boleh menjejaskan usaha menarik pelancong datang ke negara ini dan sekali gus menjejaskan imej negara? Setahu kita, kebanyakan pusat hiburan yang diserbu dipenuhi orang tempatan atau pekerja asing yang ada di antaranya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Jika adapun pelancong, jumlahnya boleh dianggap kecil kerana sebahagian besar mereka memilih pusat hiburan yang ada di hotel tempat mereka menginap.

Oleh itu, kita berharap menteri berkenaan lebih peka dengan keadaan dan memahami tugas yang terpaksa dilakukan oleh pihak penguatkuasa. Kita mungkin boleh berbangga kerana ramai pelancong datang ke negara ini, tetapi pada masa yang sama apakah kita mahu melihat pengusaha pusat hiburan bertindak sesuka hati, melanggar peraturan, berkaraoke sampai subuh dan pihak berkuasa tempatan hanya mampu berpeluk tubuh?

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]