Make your own free website on Tripod.com

Berita Harian Online
Jumaat 26 Disember 1997 26 Syaaban 1418
Ilmu Panduan Hidup


Allah hargai sumbangan petani

DALAM sebuah iklan makanan, kita saksikan anak-anak yang comel menjawab sebuah pertanyaan mengenai cita-cita mereka. Ada yang menjawab nak jadi juruterbang, seorang lagi nak jadi doktor, budak ketiga nak jadi jurutera dan keempat artis. Malangnya tak ada seorang pun yang bercita-cita nak jadi petani.

Jika kita tanya siapakah yang paling berjasa dalam menentukan kelangsungan hidup ayah, ibu dan kakak, abang, adik, datuk dan nenek mereka dalam erti kata makanan penyebab hidup seseorang, tentu semua setuju untuk menjawab petani yang bergelumang dalam lumpur tanah persawahan. Nampaknya ada sesuatu yang tak kena dalam hal ini.

Ketika berkunjung ke rumah mentua rakan di Perlis (yang bekerja sebagai petani) saya ada berbual dengannya mengenai sawah dan padi. Dalam perbualan itu, saya ada selitkan sentuhan al-Quran mengenai bercucuk tanam.

"Pakcik, kata saya, tanah di sekeliling rumah ini satu, tapi, ketika ditanamkan di dalamnya pokok kelapa airnya manis, cabai rasanya pedas, mangga rasanya ada yang masam dan manis, pisang rasanya manis dan benih akan menjadi padi kemudian beras dan akhirnya nasi atau bubur. Kita hanya boleh menjangka bila ia akan membesar dan masak tapi kita tak boleh mengawalnya.

Semua hasilnya semula jadi. Tapi, apakah ia terlepas daripada perbincangan al-Quran? Apakah al-Quran menganggap remeh kejadian ini bahkan tak menghiraukannya langsung?"

"Maksud Nak Rahman?" beliau memotong percakapan saya.

"Sebenarnya," saya menyambung, "Proses kejadian di atas sudah disentuh al-Quran dan ia dijadikan tanda untuk ulul albab berfikir. Firman Allah maksudnya "Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu dialirkan-Nya menjadi mata air-mata air di bumi; kemudian Dia menumbuhkan dengan air itu tanam-tanaman yang pelbagai jenis dan warnanya; kemudian tanam-tanaman itu bergerak segar (hingga ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; kemudian Dia menjadikannya hancur bersepai? Sesungguhnya segala yang tersebut itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang yang berakal sempurna" (QS az-Zumar: 21). Ayat serupa juga boleh didapati dalam Surah an-Nahl ayat 13.

Allah dalam al-Quran bertanya kepada kita maksudnya: "Maka (mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu melihat apa yang kamu tanam? Kamukah yang menumbuhkannya atau Kami yang menumbuhkannya? Kalau Kami kehendaki sudah tentu Kami akan jadikan tanaman itu kering hancur (sebelum ia berbuah), maka dengan itu tinggallah kamu dalam keadaan hairan dan menyesal, (sambil berkata): "Sesungguhnya kami menanggung kerugian bahkan kami hampa (dari mendapat sebarang hasil)" - (QS al-Qaqi'ah: 63-7).

Ayat di atas dengan jelas menerangkan kepada kita bahawa apa yang dilakukan petani dan juga peladang adalah menanam atau tahrutsun sedangkan yang menumbuhkannya atau zari'un adalah Allah.

Bercucuk tanam adalah pekerjaan tertua sejarah manusia yang bermula daripada Nabi Adam. Dengan bercucuk tanam, manusia dapat melangsungkan semua aktiviti kehidupannya kerana tanpa makanan dari mana mereka memperoleh tenaga? Tanpa tenaga, bagaimana roda kehidupan mereka dapat bergerak?

Di sinilah letak maha pentingnya kerjaya petani dan peladang. Mereka adalah teras aktiviti kehidupan manusia. Kelangsungan tamadun dunia sangat bergantung kepada kecekalan mereka. Mereka berjinak dengan tanah dan akhirnya membawa tuah melimpah. Bukan hanya di dunia malah di akhirat kelak.

Apabila manusia beribadat dalam segala bentuknya, petani dan peladang akan mendapat pahala dan ganjaran. Ini kerana setiap apa yang mereka tanam kemudian ada hasilnya yang dinikmati makhluk lain. Ia dianggap sedekah walaupun dia juga mendapat ringgit sebagai harga fizikal. Sebuah hadis menjelaskan: "Jika seorang muslim menanam suatu tanaman kemudian tanaman itu dimakan oleh manusia yang lain atau binatang, maka ia adalah sedekah baginya" (HR Bukhari & Muslim).

Ketawakalan, kecekalan dan kesabaran petani dan peladang sangatlah tinggi dan ia dibina sepanjang tahun. Sepanjang tahun hati dan fikirannya dicurahkan kepada apa yang ditanam. Dari awal pagi lagi hingga tengah hari bahkan petang mereka sudah bertemankan sawah mengawal saluran air, menyemai benih, membuang kotoran, membajak, menunggu padi sampai menguning dan akhirnya menuai. Semua ini dilakukan dengan kepercayaan penuh atas qada dan qadar Ilahi.
Ada peringatan menarik baginda Rasulullah mengenai amalan bercucuk tanam. Dalam sebuah hadisnya, baginda bersabda: "Andainya hari kiamat datang sedangkan di tangan kamu ada sebatang kecil pokok kurma, jika kamu sempat menanamkannya maka lakukanlah!" (HR Ahmad & Bukhari). Ini mengisyaratkan betapa penting pertanian dan perladangan di sisi Islam sehingga amalan terakhir muslim adalah menanam!


[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]