Make your own free website on Tripod.com

 

Sifat kebendaan dikesan di kalangan anggota PAS

KOTA BAHARU, 17 Jan - Mursyid Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa bimbang dengan sikap anggota Pas yang kini lebih bersifat kebendaan.

Nik Abdul Aziz berkata, sekiranya sikap seperti itu terdapat di kalangan pengikut PAS bermakna masalah yang dihadapi oleh parti itu untuk berjuang untuk Islam lebih sukar.

''Hamba kini bimbang kepada orang PAS yang berperangai kebendaan,'' katanya ketika berucap pada sambutan Nuzul Al-Quran dan pelancaran majalah Ad-Din di sini, malam tadi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata sifat kebendaaan itu adalah fenomena baru dalam PAS selepas memerintah Kelantan apabila terdapat anggotanya mula berebut-rebut untuk mendapatkan kekayaan.

Katanya, sikap itu perlu dikikis bagi mengelakkan masalah dihadapi berterusan dan boleh menjejaskan perjuangan parti.

Terdahulu itu Nik Aziz melancarkan majalah Ad-Din keluaran Lujnah Penerangan dan Dakwah Pas Kelantan.

Majalah 32 muka surat itu mengisi pelbagai rencana termask politik, agama dan pendidikan.

Majalah berharga RM3 senaskah itu akan diedarkan ke seluruh negara.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS, Abdul Fatah Harun, berkata PAS tetap mengeluarkan khutbah hari raya sendiri sebagaimana sebelumnya kerana anggota PAS di peringkat akar umbi akan menggunakan khutbah yang dikeluarkan badan perhubungan PAS negeri.

Bagaimanapun khutbah yang dikeluarkan oleh PAS hanya diguna oleh imam-imam madrasah dan tidak mewajibkan kepada imam-imam masjid, katanya. - Bernama