Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Selasa 16 Disember 1997 16 Syaaban 1418
Senyum Itu Sedekah

Perbezaan perspektif laporan media

Modal Selasa

APABILA mendengar berita CNN mengenai kebakaran di Terminal Satu, Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London Jumaat lalu kita menyangka ia pasti menjejaskan kemasukan pelancong ke negara itu. Melihat visual awal kejadian itu, rasanya ramai yang membatalkan perjalanan ke London terutama apabila mengetahui kira-kira 50,000 penumpang terkandas di lapangan terbang paling sibuk di dunia itu. Kerajaan Britain pimpinan Tony Blair tentu sedar mengenai kesan kebakaran itu. Kita juga pernah mengalami dua kebakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz, Subang. Bezanya kebakaran yang kita alami mengambil masa terlalu panjang untuk dipulihkan.

Beberapa jam selepas kebakaran di Heathrow, kita sempat mengikuti berita CNN, BBC, ITN dan Sky News. Kali ini gambaran yang ditunjukkan agak berbeza. Jika di negara kita, pastinya visual kebakaran diulang untuk menunjukkan betapa 'hebatnya' kejadian itu. Sebaliknya, berita di London yang dipaparkan kepada dunia ialah mengenai landasan lapangan terbang yang digunakan semula dengan menunjukkan beberapa pesawat mendarat, seolah-olah tidak ada kejadian buruk di lapangan terbang itu. Sebagai rakyat asing, kepercayaan kita pulih serta-merta. Jika ada pelancong yang membatalkan lawatan ke London, rasanya mereka tidak jadi berbuat demikian. Semua ini kerana mereka ditunjukkan keadaan positif meskipun hakikatnya 40 peratus daripada terminal satu lapangan terbang itu hangus akibat kebakaran di kedai menjual burger. Bagi laporan seterusnya, visual api yang membara hanya ditunjukkan sepintas lalu, mungkin sebagai rekod. Akhbar juga tidak membesar-besarkannya. Boleh dikatakan semua akhbar menyiarkan berita itu di muka dalam. Selain laporan fakta kebakaran, tidak ada menteri atau ahli politik bercakap mengenainya. Di Malaysia, sesiapa saja akan memberi pandangan daripada menteri hingga kepada pemandu teksi lapangan terbang. Lebih hangat apabila pembangkang mula mencadangkan penubuhan suruhanjaya penyiasat diraja dan meminta kerajaan membentangkan kertas putih dengan tujuan dapat menggembar-gemburkan peristiwa seperti itu dan mendedahkan kelemahan sendiri. Sesuatu kejadian di negara kita tidak selesai dalam tempoh sebulan tetapi di London berita seperti itu 'mati' selepas sehari.

Kita mungkin bertanya mengapa akhbar Britain tidak menjadikan berita itu bahan utama. Adakah disebabkan berita yang sama sudah disiarkan televisyen dan dianggap basi apabila diterbitkan keesokan harinya atau mereka sepakat tidak mahu menjejaskan imej negara kerana sedar masalah yang dialami negara mereka akibat kekurangan bilangan pelancong. Kita tahu industri pelancongan amat penting di Britain. Begitulah sensitifnya mereka terhadap kesan yang boleh dialami negara jika laporan buruk berterusan dipaparkan kepada dunia.

Kita membangkitkan perkara ini kerana melihat perbezaan terhadap berita sensasi yang boleh mereka cungkil dari negara luar berbanding yang berlaku di negara mereka. Isu jerebu umpamanya mendapat tempat di TV dan akhbar asing dan disiarkan secara besar-besaran seolah-olah rakyat negara kita sudah tidak boleh bernafas. Gambar rakyat memakai topeng pernafasan dipaparkan di kulit muka akhbar. Media mereka dikerah mendapatkan pandangan negatif daripada rakyat yang ditemuramah di bawah Menara Petronas hingga yang mendapat rawatan di klinik dan hospital. Akibat daripada laporan itu, industri pelancongan kita terjejas. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabbaruddin Chik tentu faham keadaan itu. Beliau lebih gusar apabila keadaan sudah pulih pun, laporan masih menunjukkan unsur negatif. Masalah taun di negara kita juga menjadi bahan menakutkan pelancong tetapi berita seperti inilah yang mereka minati untuk disiarkan. Sebelum ini, penyakit Coxsackie memberi kesan kepada industri pelancongan kerana ramai pelancong bimbang mati di Malaysia. Semua berita seperti itu adalah negatif bagi negara kita tetapi jadi bahan menarik bagi negara mereka, malah seluruh dunia. Sebaliknya, isu kebakaran di Heathrow mereka cuba sembunyikan.

Jika boleh kita bandingkan cara pemimpin di Britain menyelesaikan masalah, rasanya begitu jauh berbeza dengan cara kita menangani sesuatu isu. Di negara kita, sesetengah pemimpin memberi pandangan kerana yakin kenyataan mereka disiarkan di tv atau akhbar. Sama ada kenyataan itu boleh menyelesaikanmasalah atau tidak, bukanlah soal penting. Malah ada kenyataan yang boleh mengusutkan lagi masalah. Contohnya, ketika jerebu kian pulih, ada pemimpin menyatakan keadaan akan pulih beberapa bulan lagi. Semua ini menimbulkan percanggahan, tidak menyelesaikan masalah. Akhbar menyiarkan kenyataan itu kerana itulah cara dan sistem yang kita amalkan. Jika tidak disiarkan, mereka memandang serong media. Di Britain, kenyataan menteri tidak memberi apa-apa makna. Blair mungkin berhujah panjang lebar di Parlimen tetapi kenyataannya mungkin digunakan dua perenggan saja.

Hari ini kita mengalami masalah kegawatan ekonomi. Ramai bercakap mengenainya dan dilaporkan di TV dan akhbar. Jika diteliti banyak kenyataan berbentuk ulasan. Tidak ramai memberi idea tulen yang boleh membantu menyelesai masalah. Kebanyakan mereka menyokong setiap langkah atau keputusan yang diambil. Kita berpendapat jika hanya sekadar kenyataan biasa dan tidak dapat menyelesaikan masalah, eloklah kita tumpukan kepada tugas yang diberikan kepada kita.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]