Make your own free website on Tripod.com

 

Klon manusia untuk pasangan mandul

WASHINGTON 7 Jan. _ Saintis di Chicago dijangka akan memulakan eksperimen mengenai pengklonan manusia untuk menghasilkan bayi bagi pasangan yang mandul, menurut laporan National Public Radio (NPR) hari ini.

Menurut NPR, Richard Seed, seorang ahli fizik yang pernah menjalankan kajian mengenai kesuburan, telah bercadang untuk membuka sebuah klinik yang akan mengklon bayi untuk pasangan bakal ibu bapa.

''Hasrat saya ialah untuk membuka Klinik Klon Manusia di Chicago, menjadikannya sebuah klinik kesuburan yang menguntungkan kerana adalah menguntungkan untuk mewujudkan rangkaiannya di 10 atau 20 tempat lagi dan lima atau enam rangkaian antarabangsa,'' kata Seed kepada NPR.

NPR berkata Seed telah berunding dengan sebuah klinik di kawasan Chicago, yang enggan didedahkan namanya, yang memiliki semua peralatan yang diperlukan untuk mencuba prosedur itu.

Seed gagal dihubungi untuk mendapatkan komen beliau.

Laporan NPR menyatakan Seed sedang bekerja dengan seorang doktor yang enggan dikenali tetapi berkata, beliau enggan meneruskan uji kaji itu melainkan diluluskan terlebih dulu oleh American Society for Reproductive Medicine.

Pada masa ini kumpulan itu membantah pengklonan manusia.

Presiden Bill Clinton telah mencadangkan pengharaman kajian seumpama itu selama lima tahun dengan berkata ia tidak dapat diterima dari segi moral dan boleh merendahkan rasa hormat kepada kehidupan manusiawi.

Clinton berkata rang undang-undang itu, yang harus terlebih dulu diluluskan oleh Kongres, tidak akan menghalang pengklonan DNA manusia atau haiwan dan mendakwa ia tidak mempunyai persoalan moral yang sama dan boleh membawa kepada kemajuan yang besar dalam bidang perubatan dan pertanian. _ Reuters.