Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Isnin 8 Disember 1997 8 Syaaban 1418
Zaman Mewah Sudah Berakhir

MTUC gesa hapuskan ISA, OSA

PETALING JAYA, Ahad - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), gabungan kesatuan sekerja terbesar di Malaysia, hari ini menggesa kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Presidennya, Zainal Rampak, berkata ISA tidak perlu lagi di negara ini memandangkan negara dan rakyat telah pun menikmati kestabilan politik dan pada masa yang sama, tidak lagi wujud ancaman komunis dan pelampau di Malaysia.

"OSA perlu dihapuskan kerana akta ini adalah penyekat ketelusan dalam pentadbiran negara dan secara tidak langsung menggalakkan rasuah serta penyelewengan kuasa," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Hak Asasi Kesatuan Kerja di sini.

Seminar hak asasi manusia anjuran Majlis Peguam di sini semalam juga hangat membincangkan undang-undang yang membenarkan seseorang ditahan tanpa perbicaraan di negara ini dan merayu kerajaan menghapuskan undang-undang seumpama itu, terutama ISA.

MTUC mencadangkan supaya Akta Maklumat diperkenalkan bagi menggantikan OSA yang antara lain membolehkan kerajaan menerangkan dasar dan isu terkini negara.

Kesatuan itu bagaimanapun menyokong langkah baru kerajaan yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin untuk mengatasi kegawatan ekonomi akibat kejatuhan nilai ringgit serta pasaran saham.

Zainal berkata, nilai ringgit kini susut lebih 40 peratus dan sekali gus kuasa membeli pekerja juga jatuh sebanyak itu.

Beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula Elaun Sara Hidup (COLA) sepertimana dilakukan oleh kerajaan ketika negara mengalami kelembapan ekonomi pada 1980'an dahulu.

"Sektor swasta juga perlu mengadakan skim bantuan kepada pekerja mereka sebagai satu tanggungjawab sosial," katanya.

Dalam ucapan perasmiannya, Zainal berkata, MTUC menggesa rakan dialog tiga penjuru terutama kerajaan dan majikan memperlihara kebajikan pekerja dan menggalakkan mereka berkesatuan.

MTUC menyarankan majikan supaya menerima pekerja mereka sebagai rakan kepada kemajuan dan menghormati hak asasi asas mereka seperti bebas berkesatuan dan berhimpun.

"Kami menerima banyak laporan adanya majikan sama ada menghalang pekerja mereka menubuhkan kesatuan atau memperkecilkan majlis anjuran kesatuan sekerja mereka," katanya.

MTUC merayukan majikan menghormati gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, kepada ahli perniagaan supaya berkorban bagi kebaikan rakyat dan negara.

Syarikat boleh membuat sumbangan masing-masing demi kepentingan negara dengan tidak menaikkan harga barangan serta menawarkan kenaikan gaji yang berpatutan. -- Bernama

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]