Make your own free website on Tripod.com

 

Dilema perantau Islam

PERAYAAN Krismas baru saja berlalu. Krismas adalah hari keputeraan Jesus Christ, kepada kita Nabi Allah Isa anak Mariam, yang dilahirkan 1998 tahun dahulu.

Dalam Kitab Injil, Jesus dianggap anak Tuhan. Cerita ringkas: Satu malam seorang malaikat telah mengumumkan kepada sepuak gembala biri-biri di pekan Bethlehem di Jerusalem bahawa ia membawa berita baik bagi mereka: ''... I bring you good tidings of great joy, which shall be for all people. For unto you is born this day in the city of David (yang bernama Bethlehem) a savior, which is Christ the Lord - tentang kelahiran Jesus Christ penyelamat manusia, di pekan Bethlehem anak Mary (Mariam).''When the fullness of time come God sent forth His son... - masa telah tiba bagi Tuhan menghantarkan anaknya...''

Suha (isteri kelahiran Kristian) Presiden Yasser Arafat telah menyalakan pokok Krismas di Medan Manger di Bethlehem bagi memulakan perayaan Krismas tahun 1997. Bethlehem adalah bandar di bawah kuasa Palestin. Dalam usia 60 tahun saya telah tinggal lebih 10 tahun di Amerika Syarikat dan England. Sungguhpun saya belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) orientasi saya tidak terhad kepada tamadun Timur sahaja. Di Malaysia, hatta di Kelantan pun saya terdedah kepada pelbagai agama dan kebudayaan apalagi waktu saya belajar di Universiti Cambridge dan Harvard tetapi tanpa sedikit pun (alhamdulillah) mencacatkan tauhid saya kepada Allah dan kepada Nabi Muhammad sebagai rasulnya.

Saya menunaikan fardu haji tahun 1971 dan sudah melakukan umrah lebih dari bilangan jari di kedua belah tangan. Ini bukan hendak berbangga (dijauhi Allah) sekadar mahu menegaskan di sini janganlah orang kita mudah terpedaya dengan simbol-simbol lahiriah seperti pakaian, ungkapan, kopiah, misai, janggut, hobi dan membaca buku.

Perihal saya dituduh komunis dan ditahan selama lima tahun (1976-81) adalah fitnah politik oleh seteru-seteru saya yang memerintah dan takutkan bayang. Kalau saya komunis masakan kerajaan Saudi Arabia akan membenarkan saya ke Mekah sejurus selepas saya bebas apalagi diberi penghormatan menaiki penerbangan diraja Saudi dari Mekah ke Madinah.

Bersama-sama dalam penerbangan itu seorang presiden dari Afrika dan keluarga Sultan Terengganu dan isteri Datuk Seri Wan Mokhtar Ahmad. Waktu itu Duta Besar kita di Saudi Arabia ialah Allahyarham Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa. Musuh ketat saya waktu itu masih seorang menteri sungguhpun kukunya tidak bisa lagi. Allah maha mengetahui dan maha berkuasa sungguhpun ada politikus berkuasa waktu itu menganggap dirinya terlampau pintar dan membangkang kebebasan saya dan rakan-rakan seperti Kassim Ahmad, tetapi Perdana Menteri baru, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Musa Hitam, waktu itu Menteri Dalam Negeri segera memerdekakan kami dari terus teraniaya.

Kalau saya atau anda membaca Kitab Injil dan Taurat tidak semesti saya dan anda, Kristian atau Yahudi. Kalau dengan membaca sahaja kita jadi agama lain, cetek, tohor dan dangkal sangat mereka yang berpendapat demikian. Membaca buku tentang komunisme dan sosialisme tidak menjadi seorang itu komunis atau sosialis. Tetapi itulah antara sebabnya saya dituduh komunis kerana membaca buku yang membandingkan sistem politik. Ramai orientalis mahir bahasa Arab, hafiz Quran pun ada, dan alim dalam Islam tetapi jarang antara mereka memeluk agama kita. Kepada mereka itu adalah scholarship, (kecendekiawan) mencari dan mendalami ilmu pengetahuan.

Kami di New York telah berpuasa hampir seminggu lamanya (mulai 30 Disember). Amat senang dan seronok puasa musim sejuk: Imsak 5.13 pagi dan berbuka 4.37 petang. Kami akan berhari raya Aidilfitri pada Rabu 28 Januari. Andainya adalah orang Islam di New York yang tidak puasa - mesti ada, dan ramai juga - sebabnya bukan susah tetapi kerana krisis keyakinan.

Kehadiran Islam di New York makin bertambah, sedang berkembang dan semakin nyata. Tinggal dalam sebuah masyarakat yang majoritinya Kristian-Yahudi di mana kebudayaan dan agama mereka meresapi setiap lubang dan aktiviti hidup adalah satu ujian besar keimanan setiap Muslim dan Muslimat.

Umpamanya semasa perayaan Krismas yang kini begitu komersial tetapi pengaruh agama Kristian masih wujud walau pun tidak kuat lagi. Krismas di Amerika Syarikat dirayai oleh bukan Kristian sebagai perayaan sekular, oleh Kristian yang taat sebagai perayaan agama tetapi kepada kebanyakan orang - Kristian dan bukan Kristian - Krismas adalah satu cuti umum sahaja. Bahkan di Jepun perayaan menyambut Krismas lebih besar dari segi ekonomi dan lebih meriah dari sesetengah negara Kristian di Eropah.

Bagi kanak-kanak berlainan pula dan orang Islam yang mempunyai anak-anak kecil mungkin melalui pengalaman ini. Musim Krismas bandar dan kampung, gedung dan rumah dihiasi dan dimandikan dengan lampu yang cantik, berwarna-warni dan terang benderang dan pokok Krismas dihiasi demikian juga, berkilauan lagi menyerikan dan di bawah pokok itu ada hadiah-hadiah bagi kekasih, ayah bonda, keluarga dan saudara-mara. Santa Claus melawat rumah, sekolah dan gedung memberi hadiah kepada kanak-kanak. Jamuan dan temasya (agama dan bukan agama) banyak, menarik dan menggodakan dan bukan senang bagi dewasa apalagi kanak-kanak mengetepikannya.

Seorang Islam Ali Rebhi Karkad, berasal dari Jerusalem, bercerita bahawa semasa dia kecil dia melihat persediaan-persediaan mewah bagi perayaan Krismas dan Hanukkah (perayaan agama Yahudi) dengan iri hati dan dia akan memohon dan meminta daripada bapanya hadiah Krismas atau Hanukkah kerana kawan-kawannya dapat hadiah sama ada hadiah Krismas atau Hanukkah. Ibu bapanya memberinya kalau tidak di mana dia mahu letak mukanya. Anaknya akan diejek. ''Apa kena dengan anda tak dapat hadiah Krismas?''

Ibu bapa Ali praktikal; mereka turut hati anaknya tetapi lama kelamaan Ali sedar Islam juga ada hari perayaannya, iaitu Hari Raya Aidilftri dan Hari Raya Haji di mana dia dapat ''duit raya'' dan kini dia tidak lagi turut merayakan Krismas atau Hanukkah tetapi Ali terus menghormati agama Kristian dan Yahudi dan berkawan dengan pengikut-pengikut agama itu. Islam pun menggalakkan kita menghormati dan melindungi agama-agama lain di bawah perintahnya seperti berlaku di negara kita.

Bagi pendatang Islam yang baru, masalah perayaan lebih mencabar. Krismas boleh dianggap sebagai satu ujian: sama ada turut tradisi majoriti negeri baru mereka atau kekalkan kebudayaan usul asal mereka? Kebanyakan cuba mengimbangkan kedua. Pada akhirnya kalau komitmen keluarga itu tidak kuat tamadun majoriti akan menang. Saya telah lihat pengalaman di Mekah, kebudayaan Melayu hilang selepas satu keturunan sahaja tetapi orang Arab atau bangsa lain di Malaysia berkurun baru hilang.

Masalah orang Amerika yang memeluk Islam lain pula, seperti juga dengan orang bukan Melayu masuk Islam. Musim Krismas bagi Kristian masuk Islam, Deepavali bagi Hindu masuk Islam dan Tahun Baru Cina bagi mualaf membawa dilema dan boleh mencabar keputusan mereka. Mereka sedar mereka sekarang Islam dan tidak harus lagi merayakan hari kebesaran agama yang mereka telah tinggal itu. Dalam masa itu pula mereka masih ada ibu bapa dan adik beradik yang tetap tinggal dalam agama asal mereka. Mualaf-mualaf ini harus pula menjaga hati mereka. Islam tidak menggalak mereka berputus arang bahkan disuruh pula tali persaudaraan diperkukuhkan. Lazimnya mereka turut merayakan perayaan agama asal mereka yang bersifat sekular dan tidak bercanggah dengan ajaran agama baru mereka. Saya lihat ini berlaku di Malaysia, di England dan di Amerika Syarikat.

Dalam sebuah masyarakat di mana kita (Islam) minoriti, seperti di Amerika Syarikat, kita lihat simbol agama Kristian dan Yahudi di merata-merata apalagi musim perayaan jelas menginsafkan kita akan status dan tamadun agama kita dalam masyarakat itu. Sungguhpun Islam sedang berkembang di New York dan bandar raya lain kita menipu diri sendiri kalau kita tidak sedar Islam masih di pinggiran lagi.

Sebenarnya, Islam di Amerika Syarikat masih tiada kesan atau kata istilah kini ''masih marginalis - marginalized''. Orang Kristian di Malaysia tidak terasa mereka dipinggirkan kerana kekuatan ekonomi, ketahanan intelektual dan pengaruh tamadun Kristian besar sungguh pun bilangan mereka kecil. Apalagi Krismas cuti umum di negara kita. Di Amerika Syarikat, Hari Raya bukan cuti umum.

Apa pun dan di mana pun kita semua makhluk Allah, semua akan kembali kepadanya dan akan melalui ujiannya. Orang Islam menganggap bukan Islam sebagai kafir. Tahukah anda mereka pula menganggap kita sebagai ''orang yang sesat?'' Sebab itulah mubaligh-mubaligh Kristian tidak serik cuba memujuk dan menggoda kita dan muda-mudi kita di luar dan dalam negeri.

Sedang hari dan bulan beredar menuju ke alaf baru dengan cepat begitulah juga derasnya keinsafan saya bahawa waktu bergerak terlampau laju. Untuk hanya hidup kini tidak bijak kerana itu satu ilusi.

Dari hari lahir hinggalah kita kembali ke rahmatullah kita dibentuk dan dikuasai oleh suasana dan alam sekitar, pelajaran, agama, keluarga, sejarah dan bangsa sama ada kita sedar atau tidak. Tanpa semua ini kita tidak ada identiti jauh pula mempunyai sahsiah.

Di Timur Tengah setelah 2000 tahun bangsa Yahudi terhenti dan kerumpangan (hiatus) dalam sejarah Israel telah ditubuhkan pada tahun 1948. Sebelum itu Palestin di bawah pemerintahan Turki. Bangsa Arab telah memberontak melawan Turki dengan sokongan British. Turki kalah dan Palestin jadi British.

Perdana Menteri British Arthur Balfour (1848-1930) adalah orang yang melahirkan - Perisytiharan Balfour (Balfour Declaration) pada 1917 yang berjanji kepada Yahudi yang membantu British melawan Jerman dan Turki bahawa Palestin akan dijadikan Israel dan termakbulkan cita-cita mereka selepas 2000 tahun.

Orang Yahudi, kerana mereka dipulau, dikutuk dan ditindas walaupun selama 2000 tahun tetapi Yahudi tetap Yahudi juga sebab bagi Yahudi bangsa dan agama sama sahaja. Lagi pun Yahudi adalah satu bangsa yang amat padu, berdaya dan cohesive.

Sempena bulan Ramadan yang keramat ini insaflah Melayu dan Islam. Selain dari membaca al-Quran dan berterawih bacalah buku sejarah Islam dan dunia kerana sejarah itu bermuka dua: kedua melihat serentak: satu hikayat lama dan satu lagi meneropongkan masa depan.