Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online
Isnin 8 Disember 1997 8 Syaaban 1418
Zaman Mewah Sudah Berakhir

Pelajar ke luar negara dikurangkan

PETALING JAYA, Ahad - Penghantaran pelajar tajaan kerajaan ke luar negara akan dikurangkan sehingga 80 peratus tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata pelajar terbabit sudah dimaklumkan mengenai pembatalan itu dan mereka akan diserapkan dalam institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan.

Sebahagian besar pelajar itu akan diserapkan ke universiti swasta, manakala Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menyediakan 1,000 tempat untuk pelajar tajaan Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tahun depan.

Menurutnya, pelajar yang sedang mengikuti program di Pusat Persediaan Pelajar Institut Teknologi Mara kemungkinan diberi tawaran meneruskan pengajian di institut itu kerana ia kini menawarkan kursus ijazah.

"Kita akan mengurangkan pelajar ke luar negara dalam bilangan yang agak besar. Kita hanya hantar sebilangan kecil pelajar untuk program tertentu. Contohnya, penghantaran pelajar yang membabitkan memorandum persefahaman (MoU); program Dasar Pandang Ke Timur; Program Khas; serta pelajar tahun akhir yang tidak dapat diterima dalam sistem pendidikan tempatan.

"Ini bukan bererti kita mengurangkan bilangan pelajar yang ditaja kerajaan. Kita tidak lupa ramai pelajar Bumiputera memerlukan pembiayaan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Kebajikan Anak-Anak Yatim (Kebatim) 97, di sini hari ini.

Program seminggu itu dianjurkan oleh Kolej Kediaman Kelima Universiti Malaya. Seramai 55 pelajar yatim dan miskin akan dibimbing oleh siswa kolej itu sehingga mereka memasuki menara gading.

Najib berkata, beliau yang diarahkan oleh Kabinet untuk menyelaraskan penghantaran pelajar ke luar negara, kini berunding dengan Mara dan JPA untuk menentukan bilangan itu.

Jumlah terperinci pelajar yang mulanya dijadualkan dihantar ke luar negara tetapi akan diserapkan di institusi tempatan, akan diumumkan secepat mungkin.

Difahamkan JPA menaja kira-kira 4,000 pelajar di luar negara manakala Mara 6,000. Mara juga dilaporkan memperuntukkan RM500 juta untuk membiayai pelajar tajaannya setahun.

Sekurang-kurangnya 40,000 pelajar Malaysia menuntut di institusi pengajian tinggi asing manakala 10 institusi tempatan dianggarkan menampung 140,272 pelajar bagi sesi 1995/96.

Terdahulu, Najib berkata penubuhan Kolej Teknologi Bestari yang diusahakan oleh Badan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) adalah untuk memberi peluang lebih ramai pelajar miskin dan yatim melanjutkan pelajar ke peringkat sijil dan diploma.

Menurutnya, kolej yang akan beroperasi Mei depan itu akan menyediakan 40 peratus 200 tempat belajar kepada pelajar yatim dan miskin yang terbabit dengan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Kementerian memberi kelulusan operasi kepada kolej ini dengan hasrat ia akan membantu pelajar terbabit meningkatkan kemahiran pada peringkat sijil dan diploma.

"Kerajaan juga sedia membantu anak yatim yang melanjutkan pelajaran ke IPTA atau IPTS menggunakan kewangan daripada Tabung Pendidikan Negara. Dengan ini kita tidak meminggirkan pelajar kurang bernasib," katanya.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]