Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online

Kantin sekolah Selangor ditegah jual minuman gas

KLANG, Rabu - Semua pengusaha kantin sekolah di Selangor diarahkan supaya berhenti daripada menjual minuman berkabonat dan meletakkan mesin minuman bergas di kantin masing-masing.

Pengusaha kantin yang didapati mengabaikan peraturan itu akan dikenakan tindakan sama ada kontraknya dibatalkan atau didakwa di mahkamah mengikut Akta Makanan yang boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau dua tahun penjara atau keduanya sekali.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Hadi Alias, berkata larangan menjual minuman berkabonat dan menggunakan bahan pewarna itu sudah dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan kepada pengusaha kantin sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, untuk memastikan pengusaha kantin mematuhi peraturan itu, pengetua diminta memeriksa kantin di sekolah masing-masing dan memberi peringatan kepada mereka yang mengabaikan peraturan itu.

"Kita akan memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Daerah untuk mengingatkan pengetua sekolah mengenai larangan ini," katanya.

Mengikut garis panduan kantin sekolah, makanan dan minuman yang dilarang di kantin sekolah ialah yang melanggar Peraturan Makanan 1985 termasuk gula-gula dan biskut berkrim, semua jenis makanan yang dijeruk, semua jenis makanan yang berbentuk permainan atau dijual bersama permainan seperti cincin, gambar dan belon, rokok, makanan yang mengandungi alkohol dan bahan seumpamanya serta makanan yang melampaui tarikh hayat.

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]