Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian Online

Spekulasi mata wang haram: Mufti

KUALA LUMPUR, Rabu - Mufti Perak dan Wilayah Persekutuan sependapat menggunakan kaedah spekulasi dengan menjadikan mata wang sebagai komoditi perdagangan bagi memiskinkan orang atau negara lain, haram hukumnya.

Sehubungan itu, kedua-dua mufti berkenaan menyokong fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengenai pengharaman spekulasi mata wang yang bertujuan meraih keuntungan sepihak.

Bagaimanapun, mereka menghalalkan perniagaan yang dijalankan oleh pengurup wang dengan alasan pengurup wang menukarkan duit bagi memudahkan orang lain berurus niaga.

Mufti Perak, Datuk Harussani Zakaria, berkata perniagaan mata wang dengan mata wang lain dikira tidak sah kerana ia tidak dilakukan atas dasar memberi khidmat kepada orang lain.

"Saya menyokong tindakan MUI kerana dalam Islam, tidak boleh menukar mata wang untuk mendapatkan keuntungan dengan niat merugikan pihak lain. Bagaimanapun, ini pendapat peribadi dan semua mufti belum mengeluarkan fatwa mengenai isu ini," katanya hari ini.

Akhbar di Indonesia semalam melaporkan, MUI mengeluarkan fatwa haram terhadap tindakan menjadikan mata wang sebagai komoditi perdagangan bertujuan meraih keuntungan sepihak serta menjurus kepada tindakan spekulasi.

Ketua Umum MUI, KH Hasan Basri turut meminta semua lapisan masyarakat yang menyimpan dolar Amerika dengan niat memperolehi keuntungan besar menerusi perubahan nilai tukaran asing agar menukarnya kepada rupiah.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya, berkata usaha menjatuhkan negara lain melalui spekulasi perdagangan mata wang haram di sisi Islam.

"Persoalan sama ada wajib atau tidak bagi setiap muslim menyimpan dolar Amerika untuk mendapatkan keuntungan berlebihan dengan menukar kepada mata wang asal, bergantung kepada rakyat negara masing-masing.

"Saya berpendapat rakyat Indonesia wajib menukar dolar Amerika bagi membantu negaranya memulihkan kembali rupiahnya tetapi berlainan dengan keadaan di negara ini," katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan aman, orang Islam dibolehkan menyimpan dolar Amerika berbanding dalam keadaan kegawatan.

"Orang Islam tidak sepatutnya menyimpan dolar Amerika bagi mendapatkan keuntungan berlebihan apabila mata wang negara asal jatuh menjunam kerana ia boleh mengurangkan keyakinan orang ramai kepada mata wang terbabit," katanya.

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]