Berita Harian Online
Make your own free website on Tripod.com

Surah palsu dalam Internet

KUALA LUMPUR, Rabu - Pengguna Internet, khususnya umat Islam perlu berwaspada dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan dakyah menyesatkan menerusi 'surah palsu ciptaan manusia' yang menyerupai ayat al-Quran.

Menerusi Internet, golongan itu menyebarkan empat surah ciptaan palsu yang dinamakan 'Surat al-Wasaya' (The Comandments), 'Surah at-Tajassud' (The Incarnation), 'Surah al-Muslimoon' dan 'Surah al-Iman'.

Dakyah itu disebarkan dengan menggunakan tulisan menyerupai ayat al-Quran dengan terjemahannya dalam bahasa Inggeris, tetapi mengandungi mesej yang bertentangan dengan al-Quran, termasuk menghina Nabi Mohamad dan menganggap Nabi Isa bukan makhluk ciptaan Tuhan, sebaliknya 'ia sentiasa berada bersama Tuhan sejak awal dan selama-lamanya".

Satu daripada surah palsu itu yang dinamakan 'Surat-al-Muslimoon' menyebut kononnya pada hari kiamat, Tuhan telah berkata kepada hamba-Nya bahawa Ia menurunkan petunjuk menerusi kitab Taurat dan Injil, tetapi mereka tetap menyeleweng.

Justeru, hamba-hamba berkenaan menyebut bahawa mereka tidak menyeleweng, sebaliknya seorang lelaki (Nabi Muhammad) yang sudah membawa mereka ke jalan yang salah.

Lalu, Tuhan berkata kepada Nabi Mohamad bahawa dia sudah menggoda hamba-Nya sehingga mereka menjadi kafir. Bagaimanapun, Nabi Muhammad kononnya dikatakan mengakui kesalahan itu dengan berkata bahawa syaitan yang menggodanya.

Mengulas perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman, mengakui tindakan golongan tidak bertanggungjawab yang berusaha menyelewengkan umat Islam memang banyak kali berlaku.

Mereka menggunakan bahasa Arab untuk mengelirukan umat Islam yang mungkin menganggap tulisan berkenaan sebagai ayat al-Quran yang sebenar.

Justeru, beliau juga menasihatkan pengguna Internet khususnya umat Islam supaya tidak terkeliru dengan penyelewengan seumpama itu.

"Saya meminta mereka yang terbaca ayat seumpama itu supaya merujuknya kepada pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Jakim sentiasa memasukkan penjelasan yang sebenar menerusi internet bagi menangkis kegiatan seumpama itu.

Mei lalu, Dr Abdul Hamid berkata, Jakim melantik 30 pegawai agama khusus untuk mengendalikan penyebaran dakwah di dalam dan luar negara serta menangkis serangan musuh Islam melalui Internet.

Pemalsuan ayat al-Quran itu didedahkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) semalam yang meminta kerajaan bertindak bagi membanteras kegiatan itu.

[ Homepej | Berita | Bisnes | Sukan | Editorial | Hiburan ]

]