Make your own free website on Tripod.com

 

Antara menonton dan membaca filem

SELEPAS 102 tahun daripada Lumiere Bersaudara menayangkan filem pertama pada 28 Disember 1895 di Paris, filem memang lebih mudah ditonton tetapi semakin sukar dibaca.

Filem pada era Hollywood ini sarat dengan agenda. Medium ini tidak lagi hiburan untuk penonton semasa di pawagam tetapi mampu mengalih sudut pandangan dunia terhadap sesuatu isu. Kerana itu filem memang wajar diragui kejujurannya di sebalik teknologi.

Pengaruhnya cukup luar biasa untuk mencipta sesuatu dan membawa khalayak setuju dengan sudut pandangan tertentu. Itulah filem yang telah sekian banyak mencipta glamor, bintang dan kemewahan kepada warganya.

Filem juga tidak pernah jujur pada sejarah. Dan sememangnya filem bukan medium sejarah. Filem dan sejarah hanya satu pertemuan kecil di galur yang berbeza. Kerana itu memang wajarlah anak perempuan bekas Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser memprotes filem Naseer yang mempotretkan watak bapanya.

Dia sangsi dengan kejujuran filem terhadap maruah dan kewibawaan bapanya. Filem Naseer dikatakan boleh memberikan tanggapan mengelirukan tentang Gamal Abdel Nasser. Itulah filem namanya. Ia tidak pernah jujur pada sejarah walau label apa sekalipun diberikan kepada filem berkenaan.

Kepada kebanyakan orang, mereka sanggup bersusah payah ke pawagam kerana mahu menikmati hiburan. Bayangkan dalam kesesakan yang luar biasa di Kuala Lumpur dan kesukaran meletak kereta, khalayak terus membanjiri pawagam untuk menyaksikan Titanic, Tomorrow Never Dies dan banyak lagi filem yang gah publisitinya.

Selain sebahagian besar filem Melayu, hiburan dalam filem hanya satu lapisan nipis yang sengaja ditonjolkan. Tetapi filem itu sendiri mempunyai sudut pandangan, hasrat dan tidak kurang teori konspirasi mengenai sesuatu isu politik.

Tragedi pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy misalnya bukan lagi satu sejarah bagi pengarah Oliver Stone. JFK (1991) arahan Oliver Stone hanya meletakkan watak dan plot ada dalam warna sejarah.

Perlu diingat, menerusi JFK, Oliver Stone adalah revisionist yang memberi tafsiran baru terhadap tragedi itu. Oliver Stone yang terkenal dengan trilogi Vietnamnya membuat teori konspirasinya sendiri. Inilah yang sukar dibaca daripada filem jenis ini.

JFK lahir daripada tesis sekali gus teori konpirasi Oliver Stone mengenai pembunuhan Kennedy sejak 1963.

Selain watak dalam sejarah, yang penting bagi Oliver Stone adalah watak fiksi yang diletakkan dalam galur sejarah. Ini antara teori konspirasi yang hebat diperkatakan mengenai pembunuhan Kennedy.

JFK antara filem yang menjurus kepada paranoia politik sebagai motif sinematik. Secara mudahnya, paranoia yang banyak berlaku di kalangan tokoh politik kini diserapkan dalam bentuk popular di filem.

Tentunya filem-filem begini bukan sekadar hiburan atau penghasilan artistik menerusi sinematografi tetapi tentang budaya, intelektual sekali gus politik.

JFK menjadi filem yang mengutarakan tema paranoia yang digabungkan dengan kekuatan naratif dan nilai komersial. Demikianlah filem menjadikan tragedi sehebat malah serumit pembunuhan Kennedy ini sebahagian daripada mesej paranoia dalam pendekatan popular.

Tetapi membaca JFK tidak semudah menontonnya. Lalu tidak hairanlah JFK mendorong American Political Science Association mengupas filem ini dari sudut paranoia politik. Pertemuan yang berlangsung di Washington tidak lama dulu antara lain mengusulkan bahawa JFK sebuah filem paranoia politik.

Lesen kreatif mengizinkan filem melakukan sesuatu termasuk mengubah sudut pandangan serta fakta sejarah. Kerana itu tidak ada istilah true story dalam filem kerana yang menemui khalayak adalah sudut pandangan pembikinnya.

Lihat bagaimana filem menjadikan manusia seluruh dunia terlupa dengan tragedi kapal yang paling menyayat 83 tahun lalu dalam Titanic. Tragedi hanya menjadi latar kepada kisah percintaan yang tentunya boleh melariskan filem ini.

Pengarah Titanic James Cameron tentunya tidak berhasrat untuk membawa kembali sejarah tragedi itu dalam bentuknya yang asal. Sejarah Titanic sudah banyak diketahui.

Benarlah kata Cameron, Titanic bukan filem tragedi tetapi filem romantik dengan penampilan dua bintang remaja, Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet.

Terbaru akan muncul filem tentang tumbangnya bank yang tertua di Britain, Baring. Kisah Nick Leeson yang membawa kepada Baring kehilangan AS$1.4 bilion itu diterbitkan oleh sebuah syarikat filem British.

Filem Rogue Trader ini akan memulakan penggambaran di Singapura minggu ini. Tetapi harus ingat, ini bukan filem sejarah. Ini filem British tentang tragedi yang berlaku di Asia. Rogue Trader juga tentunya memerlukan kita lebih banyak membaca daripada menontonnya.