Make your own free website on Tripod.com

Berita Harian Online
Jumaat 26 Disember 1997 26 Syaaban 1418
Ilmu Panduan Hidup


Hakikat hubungan Malaysia-Amerika Syarikat

"Jangan diperbodohkan oleh 'wayang'. Ada jurang antara di retorik dan kenyataan. Hubungan ini bukanlah mudah, tetapi ini bukan hubungan yang berada dalam keadaan bahaya," kata Prof James Clad dari Universiti Georgetown.

Ada angka perdagangan Amerika Syarikat-Malaysia sebagai bukti. Eksport Amerika ke Malaysia meningkat sebanyak 149 peratus dalam tempoh 1990-1996, mencecah AS$8.5 bilion tahun lalu. Import Amerika Syarikat dari Malaysia meningkat sebanyak 238 peratus pada tempoh yang sama, mencatat jumlah AS$17.8 bilion pada 1996, menurut angka kerajaan Amerika Syarikat.

Sementara pertumbuhan yang perlahan dijangkakan di Malaysia akibat krisis kewangan, diramalkan pada empat peratus tahun depan oleh Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), ia belum lagi membabitkan angka perdagangan.

Jumlah eksport Amerika Syarikat ke Malaysia dari Januari hingga September tahun ini ialah AS$7.9 bilion, satu peningkatan mendadak sebanyak 29.3 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu, kata Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean.

Sementara itu, jumlah pelaburan Amerika Syarikat, khususnya dalam sektor pengeluaran, terutamanya elektronik ialah sebanyak AS$5.2 bilion pada akhir tahun lalu. Ini ialah peningkatan sebanyak 259 peratus sejak 1990, kata majlis itu.

Menurut Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (Mida), Amerika Syarikat adalah pelabur ketiga terbesar di Malaysia tahun lalu dengan jumlah AS$1.1 bilion dalam projek pelaburan yang diluluskan, di belakang Jepun (AS$1.3 bilion) dan Singapura (AS$1.9 bilion).

"Dengan semua ini berjalan dengan baik sekali, rakyat Amerika Syarikat tidak faham mengapa Dr Mahathir nampak sentiasa marah dengan Amerika Syarikat, dan saya sendiripun tidak faham. Perdana Menteri itu sudah berjaya memimpin negaranya selama 17 tahun. Beliau sepatutnya bertenang," kata Clad yang merujuk kepada kritikan Dr Mahathir yang kadangkala keras terhadap Amerika Syarikat dan Barat.

Media Amerika Syarikat masih belum memaafkan Dr Mahathir kerana kenyataan 'anti-Yahudinya' dan sering memaparkan laporan mengenai Malaysia tanpa lupa untuk memasukkan kenyataan Perdana Menteri itu yang dinafikan oleh Dr Mahathir.

Insiden di Terengganu itu menimbulkan bantahan daripada masyarakat Yahudi Amerika Syarikat, menyebabkan tiga anggota Kongres Yahudi (dua dari New York dan satu dari Florida - dua negeri Amerika Syarikat yang dikuasai Yahudi) mengemukakan satu draf resolusi yang tidak terikat mencemuh Perdana Menteri dan mahu beliau meminta maaf atau meletakkan jawatan.
Ahli politik Malaysia dan penyokong Dr Mahathir sebagai tindak balas, mengutuk tindakan anggota Kongres itu, manakala Majlis Tertinggi Umno mengeluarkan kenyataan keras mengkritik resolusi itu.

Draf resolusi anti-Mahathir itu mungkin akan dibentangkan pada sesi Kongres awal tahun depan, tetapi ramai di Washington percaya ia akan digugurkan sebelum sampai pada peringkat jawatankuasa kecil. "Umno sudah bertindak dengan cepat terhadap satu resolusi yang belumpun dipertimbangkan oleh Kongres Amerika Syarikat!" kata seorang pegawai Amerika Syarikat dengan perasaan geli hati.

"Malaysia berhak untuk menyatakan apa yang ia mahu, tetapi jangan lupa akan akibatnya. Kami mempunyai sistem politik yang digerakkan oleh pengundi," kata Clad yang mengikuti kerjaya Dr Mahathir selama 14 tahun.

Beliau, bekas seorang wartawan, menyifatkan Kongres Amerika Syarikat sebagai sangat tidak berpengetahuan mengenai hal ehwal dunia, dengan 60 peratus daripada mereka yang dipilih ke Kongres tidakpun mempunyai pasport, menunjukkan mereka langsung tidak pernah ke luar negara.

"Oleh itu, tidaklah menghairankan mereka tidak langsung tahu mengenai Malaysia. Sekiranya saya beritahu mereka bahawa agama rasmi Malaysia ialah Islam, mereka dengan segera berkata, ah... negara Islam seperti Iran. Selepas itu saya mungkin terpaksa menjelaskan kepada mereka mengenai sistem Malaysia, perbezaannya, kehalusannya. Amerika Syarikat tidak mengambil kira ini semua. Baginya... sama ada hitam atau putih. Baik atau jahat."

Clad, bekas wartawan Far Eastern Economic Review di Malaysia, pernah didenda RM10,000 pada 1985 kerana menyalahi Akta Rahsia Rasmi (OSA). Bagaimanapun, beliau masih menyukai Malaysia dan bersetuju dengan sesetengah pendapat Dr Mahathir.

Sementara itu, Ernest Bower, presiden Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-Asean, berkata resolusi itu mewakili pendapat sekumpulan kecil. Katanya, perkara itu tidak menjejaskan keputusan perniagaan Amerika kerana 'kenyataan Dr Mahathir tidak konsisten dengan tindakannya'.

"Pemimpin perniagaan (CEO) Amerika Syarikat melihat Dr Mahathir sebagai seorang ketua eksekutif negaranya yang berkebolehan. Kita melihat angkanya. Kita melihat trek rekodnya. Dan trek rekodnya sangat baik," kata Bower.

Dari segi ekonomi, Bower berkata, krisis kewangan tidak menggugat keyakinan pelabur Amerika Syarikat di Malaysia. Syarikat Amerika Syarikat terus mencari peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia.

"Secara ikhlas, kami fikir krisis itu sepatutnya berakhir sekarang. Kami tidak menjangka yang ekonomi Korea Selatan akan runtuh dan kelemahan dalam ekonomi Jepun. Soalnya, di mana paras paling bawahnya? Ia masih belum ditentukan lagi," kata Bower.

Walaupun dengan kemelut itu, Bower berkata, syarikat Amerika Syarikat tidak keluar dari Malaysia atau 'menganggap Malaysia tidak berguna lagi' (written off Malaysia). Dengan kedudukan dolar yang lebih kukuh, ada yang memperluaskan kedudukan mereka.

Intel Corporation baru-baru ini mengumumkan rancangan perluasan operasinya di Malaysia berjumlah RM1.4 bilion; Fibercore Inc, sebuah syarikat kecil dalam bidang teknologi tinggi yang berpangkalan di Massachusetts, mengumumkan projek usaha sama di Koridor Raya Multi Media (MSC) Malaysia berharga AS$43 juta, sementara Nhancement yang berpangkalan di California mengumumkan pelaburan dalam syarikat Malaysia, Advantis Network & System Sdn Bhd, bagi membekalkan perkhidmatan telekomunikasi dalam MCS.

Dengan pengurus dana sekali lagi 'menghidu' peluang, Bower meramalkan pertambahan pengambilan dalam dana pelaburan tahun depan, terutamanya daripada dana yang lebih besar.
Mengenai Akta Sekatan Iran-Libya (ILSA) yang menyebabkan siasatan Amerika Syarikat ke atas urusan Petronas dan syarikat minyak antarabangsa lain dengan Iran yang dipanggil 'negara pengganas', Bower berharap permintaan Iran supaya dialog diadakan akan memperbaiki keadaan.

"Kami bimbang dengan undang-undang melepasi wilayah - kami bimbang dengan undang-undang seperti ini yang menggugat hubungan dan urusan perniagaan." - Bernama

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Bisnes | Hiburan | Sukan ]