Berita Minggu Online

 

000000000000000

Oleh SHAHNON AHMAD

KADANG-kadang terasa benar juga seperti kata Sasterawan Daiman Kreko, bahawa aku ini bukan saja pemain garis, pemain warna tapi juga pengukir hati dan perakam jiwa.

Aku sendiri tidak pernah berfikir begitu. Benar ada siratan hati dan jiwa dalam garis dan warna tetapi bukan seperti yang dimaksudkan Kreko. Apalah yang dia tahu sangat tentang lukisan, tentang seni halus, kerana dia sebenarnya seorang sasterawan saja.

Seorang sasterawan, walau bagaimana hebat dan gah sekali pun, hanya pemain bahasa saja. Dan dengan bahasalah pula dia cuba bermain dengan manusia pun, bermain dengan kemanusiaan dan kebinatangan manusia pun.

Dia tidak bermain garis seperti aku. Tidak pula bermain warna seperti aku. Dengan garis aku bermain dengan manusia. Dan dengan warna aku bermain dengan manusia dalam 1,000 likunya.

Hari itu Kreko datang ke studioku untuk bermain. Memang sudah kami berjanji untuk sama-sama bermain. Dia bermain dengan bahasa. Aku bermain dengan garis dan warna. Dan bersamanya pula dia membawa Dol, penyanyi rock daripada kumpulan Mad Dog.

Aku kurang pasti mengapa Kreko membawa Dol, kerana kami hanya berjanji untuk bermain dua orang saja. Aku dan Kreko. Aku bermain dengan garis dan warna. Kreko bermain dengan bahasa.

Kini Dol pula yang dibawa bersama. Dol tidak boleh bermain dengan garis dan warna. Pun tidak boleh bermain dengan bahasa. Dol hanya boleh bermain dengan bunyi, dengan suara, nada dan irama. Dengan bunyi, suara, nada dan iramalah pula Dol memainkan manusia pun.

Lalu cepat-cepat kami memutuskan rundingan untuk bagaimana caranya bermain. Dol tidak bermain dalam erti kata bermain bersama kami dengan menggunakan bunyi, suara, nada dan iramanya.

Dol hanya menjadi alat untuk kami bermain. Aku memainkan Dol dengan garis dan warna. Kreko juga memainkan Dol dengan bahasanya, Dol setuju. Lalu kami dudukkan Dol di atas bangku bulat di dalam studioku itu dan kami pun mula bermainlah.

Sebenarnya aku kurang senang memainkan Dol dengan garis dan warnaku, kerana Dol sebenarnya tak ada apa-apa pun yang menarik perhatianku. Namun untuk menjaga hati Dol dan juga menjaga hati sahabatku Kreko, yang bersusah payah membawa Dol, aku bermain jugalah. Dan kami pun mulalah bermain.

Aku memulakan permainanku itu dari rambut di kepala Dol yang gerbang, gondrong, panjang, pintal memintal kusut masai itu. Setiap kali aku gariskan rambut-rambut yang kusut masai kepunyaan Dol itu, aku teringat pada sarang tupai di kampungku, entah berapa tahun yang lalu.

Aku masih kecil waktu itu. Dan aku bersama kawan-kawan di kampung memang nakal, suka menjolok sarang. Tak kira sarang apa, baik sarang tebuan, sarang lebah, sarang tupai, sarang murai atau sarang akup-akup di tiang rumah.

Sekali itu, kami jolok sarang tupai yang terletak di atas dahan mengkudu besar. Berkecai, berselerak, pintal memintal dan mengerbanglah sarang itu jatuh ke tanah, berselerak tabak.

Garisanku memang kasar-kasar dan berbelit-belit dengan warna yang gelap dan malap. Memang Dol lebih terkenal dengan rambut gondrongnya itu. Peminat dan pemuja Dol memang banyak, terdiri daripada anak-anak muda belasan tahun dan mereka memang sukakan Dol, tapi bukan suka kerana iramanya atau suaranya atau nadanya, tetapi kerana rambutnya yang gondrong itulah. Tak lebih daripada itu.

Sasterawan Daiman Kreko tidak berkata apa-apa. Aku tidak tahu bagaimana Kreko berjaya memainkan Dol dengan bahasanya apabila menggambarkan rambut Dol yang gondrong itu. Tapi biarlah Kreko selesaikan gambarannya dulu. Biarkan dulu Kreko dengan kreativiti dan sensitivitinya. Biar Kreko dengan bahasanya dan aku dengan garis dan warnaku.

Tapi aku sebenarnya tidak tertarik pada rambut Dol yang gondrong itu. Rambut itu tidak ada apa-apa pun selain gondrong kusut panjang dan busuk saja. Aku cuba juga menggunakan garis dan warna untuk memperoleh kebusukan itu, kerana di situlah sebenarnya terletak keunikan rambut Dol. Dan apabila Dol mendendangkan lagu rocknya dengan muzik yang ganas dan keras, dengan alat yang serba heavy dan disulami lagi dengan loncatan kukang di rimbanya, rambut itu terlonjak, terkial dan terkibas kiri kanan dengan hebatnya, macam dikepak puting beliung.

Aku cuba juga menggaris dan mewarnakan rambut itu untuk memperlihatkan makna dalaman lagu-lagunya yang gah dikatakan hebat itu, tetapi makna dalaman itu tidak juga tercapai.

Yang tercapai hanya garisan dan warna luaran rambut gondrong itu saja. Hitam. Panjang. Berbelit-belit. Pintal memintal. Kasar. Dan busuk bukan main.

Daripada rambut aku turunkan garis dan warnaku lagi ke bahagian lain di muka Dol. Dol setia duduk di atas bangku bulat. Memang Dol bekerjasama dengan kami pagi itu untuk menjayakan permainan kami berdua.

Aku dengan Sasterawan Daiman Kreko. Bagaimana Kreko bermain dengan bahasanya. Aku kadang-kadang ingin tahu lebih awal bagaimana Kreko menggambarkan rambut Dol dengan bahasanya itu.

Aku cuba bayangkan juga serba sedikit tetapi sebagai seorang pelukis memang aku ini tak dapat bermain dengan bahasa dengan baiknya. Biarkan. Kelak biar orang ketiga yang menilai karya kami. Apa salahnya kalau Dol sendiri yang menilainya.

Di muka Dol pula, yang kedua menarik perhatianku selain rambutnya yang gerbang macam sarang tupai kena jolok itu ialah subang di telinganya. Subang itu panjang berjela-jela dan ia cuma untuk sebelah telinganya saja, meskipun kedua- dua telinga Dol itu ada lubang di hujung bawahnya. Dan apabila garis dan warnaku menyentuh kertas untuk mempamerkan subang itu, kurasa subang itu pun tak ada apa-apa maknanya, selain makna luaran yang membawa kekosongan saja.

Mungkin subang panjang berkilat itu akan tersentak kiri kanan apabila Dol mendendangkan suara, nada dan iramanya bersama dengan loncatan kukang dan kangkang-kangkang kedua belah kakinya.

Memang hebat sintakan dan kilauan itu apabila loncatan kukang memuncak; lebih-lebih lagi apabila teriring pula dengan rambut panjang macam sarang tupai kena jolok itu.

Mengikut tinjauan kumpulan wartawan pop, memang rambut dan subang sebelah itulah antara ciri yang memaknakan peribadi Dol sebagai penyanyi dalam kumpulan Mad Dognya.

Kuturunkan lagi garis dan warnaku itu hingga ke tengkuk Dol, tapi hampir-hampir terkambus. Namun sebelum kujamahkan garis dan warnaku pada semak-semak di leher Dol, terlupa aku sebutkan tentang garisan dan warna pada kepala Dol yang terlilit secebis kain warna merah garang. Aku kurang pasti pula mengapa dahinya dililit sedemikian dan cuba memperkaitkan kain merah dengan lagu, suara, irama dan nada yang didendangkan, tetapi tak ada pula apa-apa maknanya.

Barangkali Kreko lebih indah memaknakan lilitan kain merah itu macam lanun itu; terutama mengarang tentang adunan antara kain merah, rambut gondrong dan subang sebelah itu dengan seni kata, irama dan loncatan kukang yang didendangkan Dol.

Di leher memang memayahkan garisan dan warnaku, kerana begitu banyak rantai dan begitu banyak pula warna yang membalut lehernya itu. Yang seutas itu panjang sampai tertampan pusat Dol.

Yang satu itu berbiji bulau-bulat besar macam buah getah yang lama dinaikkan lumut. Yang seutas lagi itu berbonggol- bonggol macam kulit katak puru terkena pijak.

Memang rantai-rantai yang menyemakkan leher Dol itu bergoyang dan mungkin bergerancang dan bergerincingkan juga apabila Dol berada di atas pentas mendendangkan lagunya. Dan kegerancangan serta kegemerincingan itu pasti terasa lebih serabut dan gerun apabila diiringi lagi dengan herot petot mimik muka yang berbagai-bagai, dengan sintakan rambut gondrong dan subang yang lanjut, serta loncatan kukang di rimba yang pastinya semakin ganas dan buas.

Aku garis-garis dan warna-warnakan bahagian tengkuk Dol dengan gopohnya supaya dapat menimbulkan reaksiku itu, tetapi di situ pun sebenarnya tak ada apa-apa juga yang bermakna selain goncangan, goyangan dan kegemerincingan yang sia-sia.

Lalu kupindahkan garis dan warnaku pada bahagian tubuh Dol. Sehelai singlet tak berlengan yang sudah banyak robek- robeknya. Ada dua tiga lubang yang sudah ditampung dengan kain jenis lain dan warna lain pula.

Di situ garis dan warnaku bermain lama-lama, cuba mengunyah dan meratah apa-apa yang dapat diberikan oleh Dol melalui singlet tak berlengan yang hapak itu. Nampak jelas bulu ketiak dan bulu dadanya.

Aku kira itulah tujuan Dol yang sebenarnya. Untuk mempamerkan bulu lengan, bulu ketiak dan bulu dadanya. Dan apabila garis dan warnaku melangkah jauh turun ke bawah, barulah jelas maknanya. Seluar yang dipakai adalah jenis sutera warna warni yang ketat dan sendat, bagaikan sarung nangka jenis lonjong bervirus kuman buah.

Di punggungnya terkoyak sana sini dan di kedua-dua lututnya pula seluar jenis itu sudah pun robek-robek penuh umbai- umbai. Dan apabila garis dan warnaku jatuh ke bawah ke kaki Dol, kasutnya memang jenis kasut but tebal yang sering digunakan kuli-kuli hutan belantara, menebang banir sepemeluk dua pemeluk.

Dan aku cuba akhirnya menggaris dan mewarnakan Dol dalam komposisinya yang lengkap, bersama lagu, suara, irama dan nadanya, bersama loncatan kukangnya dalam kelongsong sarang tupai kena jolok, bersama lagi dengan rantai gila menyemak leher, bersama baju singlet mempamerkan bulu ketiak dan bulu dada dan seluar yang koyak sana, koyak sini menonjolkan daging-daging khas yang sengaja hendak ditonjolkan itu.

Itulah Dol penyanyi rock daripada kumpulan Mad Dog yang terkenal dan amat banyak peminat dan pemujanya di seluruh negara. Aku pergi jauh dari itu lagi dengan garis dan warnaku itu. Aku bayangkan garis dan warnaku itu tiba-tiba luput ditelan zaman. Dan dengan sendirinya Dol yang berambut gondrong, bersubang lanjut, berantai gila, berbaju dan berseluar koyak rabak serta berkasut but jenis masuk rimba menebang banir sepemeluk dua pemeluk itu. Aku kikiskan garis dan warnaku itu habis-habisan.

Yang tinggal hanya kekosongan di atas kertas. Dan Dol kurasa sedang bertelanjang bulat di dalam studioku itu. Dol tak ada apa-apa lagi. Dol sebenarnya tidak wujud. Yang wujud hanya kepura-puraan yang tergambar melalui benda-benda mati. Rambutnya. Subangnya. Loncatan kukangnya. Jeritannya. Gelang dan rantainya yang kasar. Baju dan seluarnya yang robek-robek. Dan kasut butnya yang hanya sesuai untuk masuk hutan belantara menebang pokok sepemeluk dua pemeluk.

Lalu khayalanku itu kunyatakan melalui tindakanku mengoyak kertas lukisanku yang tadinya penuh dengan garis dan warna dan kubuangkan lukisan itu jauh-jauh ke tanah melalui tingkap studioku yang memang pun terselak sedikit.

Aku mengambil sehelai kertas lukisan yang lain yang masih putih tanpa garis tanpa warna dan kugariskan menjadi bulatan banyak-banyak: 000000000000000000000000000000 00000000000000000000000000000000000 000000000000000000000000000000000000 0000000000000000000000000000000000000 000000000000000000000000000000000000 00000000000000000000000OOOOOOO O0000000000000000000000000000000000 0000000000000000000000 000000000000000000000000000000000000000 000000000000000000000 00000000000000000000000000000000 00000000000000000000000000000000000 00000000000000000000000000 0000000000000000000000 00000000000000000000000000.

Rupa-rupanya Sasterawan Daiman Kreko pun nampak gelisah seperti aku juga. Aku nampak dia sekejap bangun sekejap duduk. Lalu kertas yang sudah ditulis dengan gaya bahasa sasteranya itu dikoyak, dikeronyok dan dibuang ke atas lantai dalam studioku. Aku tidak berkata apa-apa kerana aku tidak mahu mengganggui proses penulisan kreatif Kreko yang hebat itu. Aku memang tahu kemahiran Kreko bermain dengan bahasanya.

Aku selesaikan garis dan warnaku dengan lukisan 000000 yang sepenuh muka itulah. Dan kutunggu lagi membiarkan Kreko selesai kreativitinya. Dia terus juga bermain dengan bahasanya lagi walaupun bertimbun kertas yang dibuang dan dikeronyokkan. Apabila dia memasukkan penanya yang tajam itu ke dalam poket bajunya, dia menarik nafas panjang bagaikan satu kelegaan yang sekian lama ditunggu-tunggu.

Lalu dia pun pamerkanlah penulisan kreatifnya itu. Aku terus membacanya. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong. Kosong.

Tiba-tiba Sasterawan Daiman Kreko mengangkat kertasnya tinggi-tinggi dan ketawa kuat-kuat. Aku sendiri mengangkat karya lukisanku yang semuka penuh sendat dengan 000000000000000000000 itu tinggi-tinggi dan tutur sama ketawa kuat-kuat bagaikan berusaha menyambut kejayaan Kreko. Ketawa Kreko lebih kuat lagi apabila melihat karya lukisanku bagaikan dapat menangkap segala makna yang tersirat.

Dol yang masih berserabut dan berselekeh serta bergerbang atas bangku turut berdekah sama apabila melihat karya Kreko yang penuh dengan Kosong. Kosong. Kosong. Kosong dan karyaku yang juga penuh dengan 0000000000 000000000000000 bagaikan Dol juga dapat menangkap apa yang tersirat dalam kekosongan-kekosongan itu.

Kami berpelukan kerana kejayaan yang tercapai walaupun aku tahu di sebalik ketawa Dol itu sebenarnya yang ada hanya kekosongan saja dalam dirinya sebagai penyanyi. Yang membalutnya bukan suara atau lagu atau irama atau nada yang memaknakan kemanusiaan, tetapi hanya kepalsuan yang terdedah melalui rambut gondrong, subang lanjut, rantai dan gelang yang berbagai, baju dan seluar yang sendat dan ketat, serta kasut boot yang digunakan untuk masuk hutan belantara menebang banir sepemeluk dua pemeluk.

Dol sebenarnya sedang bertelanjang. Dia tidak ada makna apa-apa pun, baik yang tersurat baik yang tersirat, walaupun peminatnya berjuta-juta jumlahnya kerana peminat itu pun berada dalam kosong kosong kosong kosong dan 00000000000000 juga.

[ Home Page | News | Sports | Articles | Entertainment ]